Nuffnang

SPRM : Pelajar Luar Negara Digalakkan Buka Sekretariat


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggalakkan penuntut Malaysia di luar negara menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah bagi membantu meningkatkan kesedaran pentingnya menjauhi jenayah rasuah di kalangan generasi muda.

Syor ini dikemukakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed dalam pertemuan dengan wakil-wakil penuntut yang sedang mengikuti pengajian tinggi di Rusia, di ibu kota negara itu baru-baru ini.

Menurut Tan Sri Abu Kassim, Sekretariat Pencegahan Rasuah boleh bertindak sebagai pusat infomasi dan menganjurkan aktiviti pencegahan rasuah membabitkan penuntut Malaysia di luar negara.

"Saya yakin syor ini dapat direalisasikan kerana SPRM mahu generasi muda diberikan dengan maklumat terkini dan yang sesuai mengenai usaha yang diambil oleh SPRM bagi memerangi rasuah dan mewujudkan persekitaran bebas rasuah," kata beliau.

Pertemuan ini diadakan selaras dengan dasar Merakyatkan SPRM. Justeru, SPRM juga memberi tumpuan ke atas generasi muda khususnya pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi. 

Cadangan ini disambut baik oleh wakil pelajar dan Kedutaan Malaysia di Rusia. Kini terdapat lebih kurang 2,000 pelajar Malaysia di Russia.

Tan Sri Abu Kassim yakin penuntut Malaysia di Rusia akan menjadi perintis dalam usaha ini.

"SPRM sedia membantu dalam perkara ini. Pelajar Malaysia di Rusia diharap akan menjadi kumpulan pertama menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah," kata beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA) [International Association of Anti-Corruption Authorities].


Tan Sri Abu Kassim kini berada di Moscow untuk menghadiri mesyuarat IAACA.

Beliau juga berkata, buat masa sekarang SPRM mendekati mereka yang mengikuti pengajian tinggi melalui Sekretariat Pencegahan Rasuah yang ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awam, Institut Pendidikan Guru dan Institut Pendidikan MARA.

Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pengajian Tinggi Awam bermula tahun 2007. Ia disusuli dengan penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru dan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan MARA pada tahun 2013.

Sehingga Disember 2014, sebanyak 20 Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pengajian Tinggi Awam, Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan Guru (27) dan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institut Pendidikan MARA (55).

Selain memberikan penerangan berhubung isu-isu semasa, Tan Sri Abu Kassim juga telah menasihatkan agar penuntut di luar negara tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak tepat kebenarannya, khususnya yang disalurkan menerusi media sosial.

Selain dengan pertemuan bersama penuntut Malaysia, Tan Sri Abu Kassim juga mengadakan perjumpaan dengan pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia di Moscow.

Perjumpaan ini bertujuan untuk menerangkan usaha dan langkah yang diambil kerajaan Malaysia dan SPRM dalam membanteras rasuah di dalam dan luar negara.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top