Nuffnang

BEBASKAN ANWAR? Gesaan Badan PBB Tidak Berasas, Ketepi Hak Saiful


Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan kenyataan menggesa semua pihak agar menghormati hak pengadu kes Liwat II, Mohd Saiful Bukhari Azlan, serta proses perundangan di Malaysia dalam kes itu.

Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan segera kerana beranggapan perbicaraan kes liwat antara bekas ketua pembangkang itu dan Saiful tidak sah. 

"Bukannya kerajaan, tetapi mangsa itu, Saiful, seorang individu perseorangan dan pekerja Anwar, yang membuat laporan polis dan mengemukakan kes itu.

"Anwar disabitkan dengan satu jenayah, dan ia kes yang bersifat jenayah, bukan politik. Ia tiada kena mengena dengan kerajaan.

"Kami menyeru semua pihak termasuk mereka di luar negara agar menghormati proses perundangan, penghakiman mahkamah Malaysia, dan hak mangsa mendapatkan keadilan," kenyataan itu dipetik.

Menurut pejabat PM, keputusan akhir kes tersebut diperolehi mahkamah selepas proses perundangan menyeluruh yang lengkap dan memakan masa bertahun-tahun.

"Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan tentunya sudah mengambil kira semua bukti," katanya.

Ia turut menegaskan, sistem kehakiman Malaysia bebas di mana ramai tokoh kanan kerajaan pernah disabitkan bersalah di mahkamah.

Perkara itu sekaligus membuktikan kerajaan tiada kuasa untuk melangkaui proses dan keputusan mahkamah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pagi ini membacakan kenyataan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari PBB (UNWGAD) yang menyifatkan perbicaraan membabitkan Anwar haram dan beliau perlu dibebaskan serta-merta.

"Kumpulan ini mengeluarkan pendapat berikut: Pemenjaraan Anwar adalah arbitrari.

"Mengambil kira semua hal dalam kes itu, kumpulan kerja berpendapat, jalan untuk membetulkan keadaan adalah membebaskan Anwar dengan serta-merta dan memastikan hak-hak politik beliau yang dirampas kerana pemenjaraan beliau ini dikembalikan," kata kumpulan itu.

Kumpulan kerja PBB itu terdiri pakar dari 5 negara – Australia, Benin, Mexico, Korea Selatan dan Ukraine.

Anwar, 68, dijatuhi hukuman penjara 5 tahun pada Februari selepas didapati bersalah meliwat Saiful – tuduhan yang beliau nafikan dan sifatkan satu perangkap oleh kerajaan yang memerintah untuk mengekang pembangkang yang semakin mendapat sokongan rakyat. – 2 November, 2015.

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top