KOTA KINABALU, 13 Feb – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyangkal dakwaan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya akan berlaku tsunami politik di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) yang akan memudahkan laluan pakatan pembangkang ke Putrajaya.
Beliau berkata majoriti rakyat Sabah terutama golongan belia menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Dakwaan terbaru ini menunjukkan Anwar benar-benar mahu merasai kerusi Putrajaya dan mempunyai keinginan menjadi pemimpin nombor satu negara, tetapi kita dalam pimpinan BN tidak sekali-kali terjejas atau gentar dengan gimik politik ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Bangunan UMNO, dekat sini hari ini..
Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar itu semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Keadilan Rakyat Kota Kinabalu Ahad lepas.
Sambil menyifatkannya sebagai politik murahan pembangkang, beliau mengingatkan rakyat supaya mengimbas pembohongan Anwar pada 16 Sept 2008 yang mendakwa pihaknya mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu peringkat Persekutuan, tetapi ternyata tidak benar.
Mengenai kempen pakatan pembangkang kononnya kerusi Parlimen Beaufort, Papar dan Tuaran dalam genggaman mereka, Rosnah yakin BN mampu mempertahankan ketiga-tiga kerusi itu pada pilihan raya umum yang akan datang.
“Puteri UMNO akan bekerja keras bagi membantu BN mencapai kemenangan di kawasan itu,” katanya.
Parlimen Beaufort kini diwakili bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Lajim Ukin.
Pada Julai tahun lepas, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua UMNO bahagian Beaufort dan mengetuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong pakatan pembangkang.
Parlimen Tuaran pula diwakili bekas Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) yang kini mengetuai badan NGO Angkatan Perubahan Sabah (APS) Datuk Wilfred Bumburing. Bumburing sebelum ini mengumumkan keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.
Sementara itu, Rosnah yang juga anggota Parlimen Papar berpuas hati dengan persedian Puteri UMNO Sabah bagi menghadapi PRU-13. Pakatan pembangkang terpaksa melakonkan sandiwara berterusan dengan kononnya ‘kuat’ dan mendapat sokongan sebagai taktik untuk mengelakkan jentera-jentera parti mereka tidak lari dan beralih kepada Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose menegaskan bahawa ura-ura kononnya pakatan pembangkang dapat menawan Sabah lantaran sokongan rakyat bertumpu kepada parti terbabit adalah tidak benar sama sekali.
“Pembangkang mahu perbesarkan isu ini kerana mereka sudah takut dengan Pilihan Raya Umum (PRU). Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib sudah pergi ke banyak tempat dan disambut dengan beribu-ribu orang sedangkan pembangkang yang turun padang tidak sedemikian dan kalau ada pun sampai beribu-ribu itu datangnya dari jentera parti mereka di seluruh Sabah dan bukannya orang tempatan,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujarnya, pakatan pembangkang terpaksa mengakui mereka kuat walaupun yang tersurat tidak sedemikian kerana sekiranya masyarakat sedar realiti sebenar kelemahan pakatan pembangkang maka tentunya mereka tidak akan mendapat sokongan malah jentera parti pun akan lari.
“Memang perangai manusia macam itu, dia mesti cakap kuat walaupun sebenarnya tidak. Kita tengok macam mana Lajim (Ukin) yang Anwar janjikan untuk bertanding di kawasan orang-orang Islam sedangkan bagaimana pula dengan kedudukan pemimpin-pemimpin pembangkang terdahulu di kawasan terbabit.
“Kawasan Kadazan, Dusun, Murut (KDM) pun begitu juga. DAP yang berpakat dengan SAPP pun tidak sealiran dan akhirnya jentera mereka semua akan keliru dan lari meninggalkan mereka.”
Tegasnya, beliau yakin bahawa BN masih mempunyai kekuatan dalam kepimpinan politik di Sabah dan pelbagai isu yang ditaburkan oleh pembangkang adalah perkara remeh-temeh yang sengaja digembar-gemburkan untuk mempengaruhi masyarakat.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kehadiran pendatang asing di Sabah diminta oleh Perdana Menteri diwujudkan dan ia tidak patut dipolitikkan. Perkara ini bukan isu lagi pun RCI masih dalam penyiasatan dan kita tidak boleh buat kesimpulan. Tidak ada apa-apa yang perlu dibangkitkan berkaitan penubuhan RCI ini.”
Dalam masa yang sama, beliau turut berpesan kepada semua ahli-ahli UMNO dan jentera parti agar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada PRU tanpa mengharapkan apa-apa jawatan sekali pun tidak tercalon.
“Saya mengambil contoh diri saya di bahagian Penampang walaupun UMNO tidak bertanding di tempat saya tetapi saya akan tetap bekerja keras demi untuk kemenangan BN,” tegasnya lagi. - MediaUMNO
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....