Nuffnang

Kaki Tangan Kerajaan Tidak Boleh Neutral Soal Dasar - Rais


KUALA LUMPUR - Semua petugas awam di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak boleh bersikap neutral atau berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat dan menyebarkan dasar kerajaan yang jelas kepada rakyat.

Malah, Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, mereka perlu memahami dan merealisasikan maklumat tentang dasar kerajaan, transformasi dan 1Malaysia supaya boleh difahami dan diterima oleh rakyat.


"Mereka (penjawat awam) menjadi penghuni barisan pertama menerangkan kepada rakyat. Jika mereka nampak was-was ataupun tidak jelas penyampaiannya, maka rakyat tidak akan yakin di atas kesungguhan kerajaan misalnya untuk mewujudkan skim ekonomi yang hebat, mendapat pendapatan tinggi ataupun pembelaan rumah atau ekonomi seperti yang dijuarakan menerusi transformasi kerajaan.
"Oleh itu, mereka tidak boleh neutral dalam tugas menyampaikan butir-butir ini walaupun dalam hati masing-masing mereka boleh membuat pilihan siapa atau parti apa yang hendak didukung.
"Tapi itu tidak menjadi soal atau tidak berkonflik dengan penjurusan kepada tanggungjawab menyampaikan berita dan maklumat yang jelas," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama petugas pilihan raya umum ke-13 di Angkasapuri di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rais turut mengingatkan rakyat agar memahami soal peralihan kuasa dalam konteks kepentingan orang Melayu sebagai penduduk majoriti di negara ini.
Justeru, beliau berharap orang Melayu tidak mudah tertipu dengan muslihat dari mana-mana pihak politik sehingga melepaskan kelebihan yang diwarisi sehingga hari ini.
"Orang Melayu mesti faham hal ini dan tidak bersetuju dengan mudah.
Contohnya, sudah wujud dalam isu kalimah Allah, di mana telah cuba dineutralkan oleh DAP dan pembangkang sehingga nampak seolah-olah mereka terumbang-ambing dalam pengertian," katanya.
Sementara itu, kira-kira 421 petugas PRU-13 hadir dalam majlis itu terdiri daripada agensi di bawah KPKK termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia(Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Terdahulu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menyampaikan taklimat mengenai pilihan raya.
Turut hadir, Timbalan Menteri KPKK Datuk Maglin Dennis d'Cruz dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Kamaruddin Siaraf. - Bernama
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top