GEORGETOWN - Seramai 60 sukarelawan Pusat Kesedaran Wanita Pulau Pinang (WCC) dan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) di sini hari ini menyertai kempen 'Satu Bilion Bangkit' bagi menghentikan keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia.
Peserta dari pelbagai peringkat usia berkumpul dalam suasana harmoni seawal 9 pagi dan bersemangat menari dengan diiringi lagu tema kempen 'Break The Chain' bagi tanda protes terhadap keganasan itu.
Naib Presiden WCC Lalitha Menon berkata gerak tari itu adalah bagi mengutuk penindasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan yang teraniaya.
"Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak tidak boleh diterima walau apapun alasan yang diberi terutamanya jika perbuatan itu dilakukan oleh orang yang sepatutnya melindungi kita sama ada anggota keluarga, rakan atau pihak berkuasa. Ia patut ditentang habis-habisan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
'Satu Bilion Bangkit' bermula sebagai satu seruan untuk bertindak berikutan statistik mengejutkan bahawa seorang daripada tiga wanita di dunia bakal dicederakan atau dirogol.
Lalitha turut merayu segenap lapisan masyarakat bekerjasama membantu mangsa keganasan yang tidak berdaya dengan melaporkan masalah itu kepada pihak bertanggungjawab.
WCC, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, memberi perkhidmatan percuma seperti kaunseling, tempat perlindungan sementara dan nasihat perundangan kepada wanita dan kanak-kanak perempuan bermasalah.
- Sinar Harian
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....