KUALA LUMPUR – Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan
bintang popular Korea Selatan Psy, yang dikenali dunia dengan lagunya
‘Gangnam Style’, pada Rabu menyatakan bahawa mereka tidak pernah diminta
atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan penyanyi itu di
Pulau Pinang baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama, Rabu, pengurusan itu
menegaskan bahawa berita dan artikel yang tersebar dalam Internet, yang
mendakwa sebaliknya, adalah anggapan semata-mata dan ternyata tidak
benar.
“Scooter Braun Projects ingin menegaskan bahawa kami tidak pernah
diminta atau dibayar oleh kerajaan Malaysia untuk persembahan artis itu
di Pulau Pinang, Malaysia baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.
Pengurusan itu turut menafikan dakwaan di beberapa blog kononnya
kerajaan Malaysia menaja persembahan artis itu pada Rumah Terbuka Tahun
Baharu Cina 1Malaysia di Pulau Pinang, Isnin lepas.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan
bahawa persembahan Psy di Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 1Malaysia itu
tidak melibatkan wang rakyat.
Beliau juga berkata orang ramai tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk
menonton persembahan artis yang turut mempopularkan gaya tarian lagunya
itu.
Persembahan Psy ialah kemuncak majlis yang dihadiri ribuan orang anjuran Barisan Nasional Pulau Pinang, di Han Chiang College.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....