Beberapa minggu yang lalu, Dato’ Razali Ibrahim menyatakan bahawa 200,000 mahasiswa layak mengundi pada Pilihan raya Umum ke 13 yang akan
berlangsung dalam bila-bila masa. Angka 200,000 tidaklah begitu besar
jika dibandingkan dengan jumlah yang bakal mengundi pada PRU iaitu di
jangka 12 juta rakyat Malaysia tetapi ia tetap memberi satu impak dalam
sejarah politik tanah air.
Dalam erti kata lain, kuasa 200,000 pengundi ini patut dijadikan salah
satu daripada pertimbangan yang perlu disukat dan ditimbang oleh
parti-parti politik. Justeru dengan jumlah 200 000 daripada 5.2 juta
pengundi muda jika gagal disukat dengan baik keperluan dan kehendak
mereka bakal menyebabkan kehilangan pengaruh sesebuah parti politik itu.
Sebenarnya kuasa orang muda khususnya mahasiswa universiti dalam
menentukan klimaks politik tanah air bukanlah satu perkara yang baru.
Waima kejayaan Barack obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat
juga dikatakan memperoleh undi yang melebihi pencabarnya kerana
sokongan orang muda. Sokongan orang muda akhirnya yang meletakkan
seseorang Presiden atau Perdana Menteri serta kuasa orang muda jugalah
yang boleh menjatuhkan mereka.
Kuasa undi golongan mahasiswa dan belia
amat ditagih oleh parti-parti politik kerana sokongan mahasiswa serta
belia mencerminkan parti politik itu masih relevan serta diterima oleh
masyarakat. Pemikiran mahasiswa yang matang dalam membuat justifikasi
menjadikan faktor undi mereka dianggap bernilai.
Dalam era terkini, maklumat mengenai idealisme dan fahaman-fahaman
bukanlah sesuatu yang asing bagi orang muda. Di mana-mana sahaja orang
muda di seluruh dunia boleh mengakses serta berkomunikasi mengenai
idelisme mereka. Sebab itu salah satu usaha perlu dilakukan oleh parti
politik ialah menyediakan pentas untuk orang muda berpencak akan
idea-idea yang mereka peroleh dari pelbagai sumber.
Seandainya kita
bandingkan keadaan politik pada zaman pra kemerdekaan, idea-idea
perjuangan ketika itu diperoleh daripada pengalaman aktivis yang
belajar di luar negara sama ada dari Barat, Mesir atau pun Indonesia,
kini faktor globalisasi membuka seluas-luasnya ruang kepada orang muda
untuk memperoleh idea-idea dari seluruh dunia dan ia tidak terhad. Satu
persoalan yang yang boleh dibahaskan ialah sejauh mana idealisme
mahasiswa dan orang muda mampu disesuaikan dengan aspirasi kebangsaan?
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Ia dibina berlandaskan
sejarah. Penghujahan mengenai negara ini wajar berlandaskan sejarah yang
membentuk hubungan erat antara tiga kaum terbesar serta etnik-etnik
Borneo yang bergabung membentuk persekutuan. Justeru memahami sejarah,
akan memudahkan orang muda memahami aspirasi kebangsaan atau aspirasi
nasional.
Pertembungan idea libealisme yang didukung oleh Barat dengan pemegangan
idea aspirasi kebangsaan dilihat akan membentuk konflik yang perlu
disesuaikan mengikut senario dalam negara. Kecenderungan untuk mengikut
serta mengambil terus idea-idea demokrasi serta fahaman-fahaman luar
dilihat akan menghakis kefahaman mengenai aspirasi kebangsaan yang
menjadi tunjang perbentukkan Malaysia. Misalnya keistimewaan orang
Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan Malaysia di bentuk atas
nilai sejarah dan bukan bersifat apartheid seperti yang dihujahkan oleh
mana-mana buah pihak.
Apabila menyedari daya kompetitif bumiputera yang terkebelakang dalam
aspek ekonomi serta pendidikan, Tun Abdul razak memperkenalkan Dasar
Ekonomi Baru untuk mengubah keadaan ekonomi bumiputera supaya mampu
bersaing dengan kaum-kaum lain. Idea ini dibentuk atas kesedaran
aspirasi kebangsaan dan sudah pasti ia akan ditohmah serta ditolak oleh
golongan liberalis berdasarkan idea keadilan sama rata yang dipelopori
oleh Barat.
Dalam memahami keinginan orang muda, ia perlu hadir dengan
pengikhtirafan suara mereka. Orang muda mahukan penglibatan mereka dalam
penggubalan dasar serta polisi negara. Mereka mahukan partisipasi dan
tugas serta peranan kerajaan menyediakan platform ini. Partisipasi yang
diperlukan oleh golongan muda atau mahasiswa ini penting supaya mereka
berasa dihargai dan berpendapat bahawasanya masih ada pihak yang
mendengar suara hati mereka.
Golongan orang muda atau mahasiswa bukan sahaja mahukan idea mereka
diiktiraf tetapi mahukan partisipasi serta penglibatan mereka diambil
kira oleh pihak pentadbir. Kerana itu mungkin bagi mahasiswa kewujudan
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan menjadi medan terbaik untuk
berpartisipasi dalam penentuan polisi negara yang melibatkan dunia
mahasiswa serta masyarakat Malaysia amnya. Langkah menyediakan platform
ini menterjemahkan makna ‘zaman kerajaan mengetahui semua sudah
berakhir’.
Pengiktirafan seperti ini menjadikan penghakupayaan
mahasiswa lebih dihargai serta diperlukan dalam menggubal polisi serta
memperbaiki polisi yang sedia ada. Ia masih menjadi pentas yang relevan
untuk melibatkan mahasiswa dalam masa yang sama mendidik mahasiswa
supaya menyalurkan pandangan dengan cara penuh kehormat serta berhikmah.
Pendekatan yang diguna pakai oleh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Abdul Razak seperti memperkenalkan 1M4U menarik perhatian
orang muda semula ke dalam arus perdana. Sebelum ini ternyata banyak
bakat orang muda serta keinginan orang muda gagal diterjemahkan dengan
baik. Kerja-kerja sukarelawan yang begitu penting dalam membentuk jati
diri orang muda yang matang serta bertanggungjawab menjadi kayu ukur
kematangan golongan mahasiswa serta belia dilihat begitu penting dalam
menterjemahkan partisipasi orang muda. Ini satu langkah permulaan yang
baik dan ia diperlukan penambah baikkan dari masa ke semasa.
Barangkali apa yang penting bagi orang muda serta golongan mahasiswa
bukanlah mengukur pihak mana yang mampu memberi dan memenuhi kemahuan
orang muda tetapi ia lebih kepada bagaimana platform yang diberikan
mampu memenuhi keperluan orang muda. Ini yang lebih utama. Ia mestilah
sesuatu yang realistik sesuai dengan keadaan ekonomi serta sosial
berbanding menjanjikan sesuatu yang indah tetapi belum tentu mampu
direalisasikan dengan baik. Mahu atau pun tidak pertimbangan secara
academia atau intelektual masih diperlukan dalam membantu golongan
mahasiswa dan orang muda justifikasi yang tepat dan tidak sekadar
berasaskan emosi dan menjadi ‘pak turut’ terhadap hujah yang lebih
bersifat populis.
Pemimpin-pemimpin sekarang perlu datang dalam kalangan yang memahami
keinginan serta aspirasi orang muda. Golongan mahasiswa dan orang muda
mula menolak ‘kebangsawanan’ pemimpin sebaliknya menerima pemimpin yang
boleh duduk bersimpuh dan berbual seperti tiada batasan protocol. Inilah
yang dimahukan dari kalangan orang muda. Gaya kebangsawanan ini sudah
tidak relevan dan ditolak oleh golongan mahasiswa dan pemimpin yang
diidamkan ialah dalam kalangan yang boleh minum teh tarik, dan berborak
di warung berbanding di coffee house kegagalan menyesuaikan diri
mereka akan menyebabkan mereka hilang sokongan serta undi daripada
golongan ini.
Lihat sahaja pendekatan kempen yang dilakukan oleh Barack
Obama, pendekatan beliau yang santai akhirnya membawa persepsi yang
positif dalam kalangan pengundi muda di sana bahawa bakal Presiden
mereka ialah mudah didekati. Ada dalam kalangan ahli politik yang
berhujah, usia bukanlah penentu kemenangan calon parti politik.
Namun senario yang berlaku terkini ialah golongan belia serta mahasiswa
kelihatan bosan dengan wakil rakyat yang sudah berusia dan gagal
memberikan sumbangan terbaik pada rakyat. Wakil rakyat yang seperti
inilah wajar dipertimbangkan oleh kedua-dua parti adakah masih sesuai
diturunkan ke dalam gelanggang pilihan raya berasaskan umur mereka dan
persepsi yang bakal timbul dalam kalangan pengundi muda adakah mereka
ini mampu menjana dan mendukung aspirasi serta keinginan orang muda.
Tuntasnya, dalam menarik hati undi golongan mahasiswa yang berjumlah
kira-kira 200 000 pengundi dari jumlah orang muda iaitu 5.2 juta, satu
usaha komprehensif perlu dilakukan. Orang muda amat mementingkan
idealisme dan demokrasi serta menolak politik yang tidak matang seperti
caci mencaci dan melabel pihak seteru.
Amalan politik yang matang bukan sahaja boleh membantu golongan ini
untuk membuat keputusan yang tepat tetapi ia juga boleh melahirkan
pelapis kumpulan masyarakat yang cakna akan tanggung jawab mereka. Dalam
menghadapi cabaran globalisasi, pertembungan idea-idea baru, nilai
aspirasi kebangsaan atau nasional tetap masih penting dipertahankan. Ini
kerana kelahiran Malaysia adalah dari sejarah yang melambangkan
toleransi serta penerimaan antara kaum dan ini harus terus dipelihara.
Biodata
Kolumnis : Ku Amirul Faiz Ku Seman,Mahasiswa Tahun 4 Universiti Utara
Malaysia.Yang Di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara
Malaysia (UUM),Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
(MPPK)
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....