Nuffnang

TRAGEDI KG SIMUNUL - CATATAN WARTAWAN UTUSAN


Fatimah Ipong, 39, leka melipat baju di dalam bilik. Sesekali dia menjenguk kepala melihat anak bongsunya, Hafiz Osman, 6, yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Entah kenapa dalam kedamaian perkampungan air Kampung Simunul, Semporna, Sabah bersaksikan lautan biru tidak mendamaikan hatinya malam itu.

Sejak tengah hari tanggal 2 Mac, kelibat sekumpulan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlegar-legar di kawasan kampung meresahkan hatinya.

"Adakah rondaan pasukan polis ada kaitan dengan serangan pengganas Kiram di Lahad Datu semalam," wanita berketurunan Bajau itu bermonolog sendiri.

Tatkala fikirannya semakin hanyut memikirkan situasi itu, Fatimah kemudian dikejutkan dengan bunyi tembakan yang berlarutan di luar rumahnya.

Perasaan takut menyelubungi Fatimah. lantas naluri seorang ibu menyebabkan dia segera mendapatkan Hafiz yang sudah mula menangis ketakutan.

Dua beranak itu pantas bersembunyi di dalam bilik. Jantung Fatimah mula berdegup kencang, manakala seluruh tubuhnya mula menggigil ketakutan. Dia sempat mengerling jam di dinding bilik yang menunjukkan pukul 7.20 malam.

Dalam ketakutan itu, tiba-tiba pintu rumahnya ditolak kuat. Fatimah semakin cemas bimbang pengganas memecah masuk rumahnya. Namun dia segera menarik nafas lega tatkala mendengar suara yang amat dikenalinya.

"Kumpul semua barang penting," jerit suami Fatimah, Osman. "Bila tembakan sudah reda, kita kena keluar dari sini, Simunul sudah tidak selamat," sambung suaminya yang sebelum itu keluar ke surau dengan dua anak lelaki mereka yang lain.

Selepas hampir tiga jam bersembunyi di dalam bilik, akhirnya lima beranak itu memberanikan diri keluar dari rumah sekitar pukul 11 malam walaupun rumah mereka dengan lokasi pertempuran dipisahkan kira-kira 20 buah rumah.

Perlahan-lahan mereka menyelinap dalam kepekatan malam untuk mencari tempat yang lebih selamat iaitu ke rumah salah seorang saudara di darat.

Ketakutan dan kebimbangan Fatimah adalah perasaan yang turut dikongsi oleh saya tidak lama kemudian.

Sehari selepas kampung Fatimah diserang pengganas Kiram dalam kekejaman yang maha dahsyat, saya menerima arahan untuk segera terbang ke Semporna bersama jurufoto, Riduan Rizal Ahmad.

Apa tidaknya ketika itu situasi di Simunul sangat tegang dan mencemaskan berikutan enam anggota polis dibunuh dalam serangan malam 2 Mac lalu.








Namun, dalam ketakutan dan kegelisahan dengan keselamatan diri, saya menguatkan diri untuk menyahut cabaran pertama melaporkan berita di zon serangan pengganas.

Sebaik tiba di Semporna, saya melaporkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah itu dan sebelum keesokkannya misi memasuki kampung Simunul dimulakan.

Tanpa berbekalkan baju kalis peluru, saya dan jurugambar mengambil keputusan memasuki kampung tersebut tepat pukul 1 tengah hari.

Sebaik menjejak kaki di kawasan lapang yang merupakan gelanggang bola keranjang, mata dijamu dengan suasana kecoh penduduk yang sibuk mengangkut barang keperluan rumah masing-masing.

"Kami mahu pindah, kalau tidak pindah… nanti mundu (pengganas/lanun dalam bahasa Sabah) datang dan bakar kampung kami," kata seorang penduduk Nazmah Datugis, 40.

Ketakutan jelas terpancar di wajah penduduk yang berpindah ke rumah sanak saudara termasuk Nazmah.

Ada di antara penduduk yang ditemui memaklumkan akan menetap di rumah saudara di Tawau yang jarak perjalanan yang memakan masa satu jam 30 minit.

Dalam keadaan saya dan jurufoto 'menempel' watak sebagai tukang sibuk ketika penduduk berpindah, kelihatan beberapa penduduk yang merupakan ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) sedang sibuk menguruskan mayat pengganas Kiram yang berjaya ditembak pasukan keselamatan.

Saya kemudian melihat jurugambar dengan penuh makna sambil dalam hati menyatakan: "Kita perlu masuk ke dalam kampung walau apa jua pun untuk mendapat gambar pengganas Kiram tersebut."

Saya bersama jurugambar meniti titian dari Lorong 5 dengan penuh kegusaran. Penduduk kampung yang berada di kiri kanan titian itu melihat kami 'dari atas hingga bawah' dengan penuh tanda tanya.

Sebaik mencecah jarak 20 meter ke dalam, saya mula merasakan suasana di kampung tersebut bukan seperti berada di Malaysia. Perasaan takut, cemas, 'cuak', gementar semuanya ada pada ketika itu. Hendak diikuti hati mahu saja pulang semula dan duduk sahaja di bilik hotel. Namun, tugas yang diamanahkan terpaksa dipikul dan dengan memujuk hati sendiri bahawa ini merupakan pengalaman yang tidak akan aku lupakan

Lebih menarik perhatian saya apabila terlihat beberapa tubuh milik pengganas Kiram yang berada di atas titian yang baru sahaja di bungkus dengan plastik hitam oleh ahli JKKK kampung tersebut. Bau busuk usah dikata. Sangat meloyakan.

Dalam sibuk meniti titan tersebut, mata saya tertumpu ke arah beranda sebuah rumah. Pilu hati apabila kelihatan organ dalaman yang dipercayai milik salah seorang anggota keselamatan yang maut dalam pertempuran pada 2 Mac lalu.





Ketika berjalan menuju ke kawasan 'pertempuran' yang kira-kira 100 meter dari hadapan Lorong 5, kampung tersebut, saya turut melihat kesan darah di atas titian usang itu.

Rumah di kawasan itu juga rapat-rapat menyebabkan saya berfikir sejenak bagaimana keadaan pasukan keselamatan pada malam itu yang cuba mempertahankan negara bermati-matian menumpaskan musuh.

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top