KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberi jaminan senarai daftar pemilih adalah bersih dan proses pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan menjadi yang terbaik.
Beliau berkata SPR membersihkan senarai daftar pemilih dengan bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana JPN mempunyai bidang kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu adalah warganegara atau bukan warganegara.
"Daftar pemilih yang kita ada sekarang iaitu sekitar 13.3 juta pengundi (termasuk di Sabah) sehingga Disember tahun lepas, adalah bersih. Pilihan raya umum ke-13 mungkin panas, mungkin mencabar tetapi tidak terkotor," katanya.
Beliau berkata meskipun timbul pelbagai persepsi ekoran pendedahan baru-baru ini dalam siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah, namun SPR yakin proses PRU-13, terutama di Sabah akan menjadi yang terbaik.
Persepsi itu tidak seharusnya wujuh hanya semata-mata berdasarkan kenyataan satu atau dua orang saksi kerana terdapat lebih 100 orang yang akan memberikan keterangan kepada RCI, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai pemerhati tempatan pilihan raya umum ke-13 bagi negeri Sabah dan Labuan di sini Rabu.
Tiga NGO itu ialah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah.
Abdul Aziz berkata empat pegawai SPR akan dipanggil menjadi saksi dalam sesi pendengaran RCI itu termasuk daripada bahagian komputer, pengurusan, pendaftaran dan pengarah SPR Sabah.
Sehubungan itu, Abdul Aziz meminta semua pihak supaya mengelak daripada membuat sebarang kesimpulan tentang perkara yang disebut dalam prosiding RCI itu.
Katanya SPR telah memperkenalkan pembaharuan dalam usaha mengemaskini serta memperbaiki proses pilihan raya, termasuk penggunaan dakwat kekal, undi awal, wujudnya akses media bagi parti-parti politik, pemerhati antarabangsa dan pemerhati tempatan.
Katanya SPR akan membelanjakan kira-kira RM52 juta bagi mengurus pilihan raya umum di Sabah yang mempunyai pengundi berdaftar seramai 969,497, dan menurutnya RM400 juta diperuntukkan bagi mengurus pilihan raya umum di seluruh negara.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berharap NGO yang dilantik sebagai pemerhati pilihan raya dapat menjalankan tugas dengan jujur dan profesional, sekali gus menjadikan pilihan raya tersebut terbaik daripada segi sistem, proses dan pembaharuan pilihan raya.
Katanya sebanyak 16 NGO dilantik sebagai pemerhati pilihan raya di seluruh negara iaitu lima di Semenanjung, lapan di Sarawak dan tiga di Sabah.
- BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....