Nuffnang

Pengundi Luar Negara, 1,574 Layak Mengundi PRU13


KOTA KINABALU, 6 Feb (Bernama) -- Seramai 1,574 rakyat Malaysia di luar negara sudah mendaftar untuk mengundi setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata negara paling ramai rakyat Malaysia mendaftar ialah Australia iaitu 350 orang diikuti United Kingdom dengan 258 orang, Amerika Syarikat (108), China (88) dan Qatar (86) sejak pendaftaran secara talian terus dilancarkan pada 21 Disember lepas.

"Keputusan yang dibuat oleh SPR bagi membolehkan semua rakyat Malaysia di luar negara, tidak termasuk pegawai kerajaan dan pelajar luar negara, mendaftar secara talian terus, faks dan e-mel sangat berkesan.

"Kita anggarkan sekitar 100 rakyat Malaysia luar negara mendaftar dengan SPR setiap hari, dan kita harap trend ini berterusan. Setakat ini, SPR tidak menerima apa-apa bantahan atau kritikan daripada rakyat Malaysia di luar negara berkaitan dengan proses pendaftaran ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat pelantikan kepada tiga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pemerhati tempatan pilihan raya umum ke-13 bagi Sabah dan Labuan di sini Rabu.

Tiga badan NGO itu ialah Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sabah, Majlis Belia Sabah dan Gabungan Persatuan Cina Sabah.

Abdul Aziz berkata antara syarat untuk rakyat Malaysia mengundi dari luar negara ialah mereka mestilah mendaftar sebagai pemilih terlebih dahulu dan kembali ke negara ini dalam masa 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran parlimen.

"Pada pandangan SPR, syarat yang kita tetapkan itu amat berpatutan. Tujuan kita adakan syarat ini ialah supaya mereka tidak terputus hubungan budaya, keluarga dan negara, dengan rakyat Malaysia luar negara.

"Kita tidak mahu rakyat Malaysia yang duduk di negara luar selama 20 atau 30 atau 15 tahun tidak balik-balik (ke negara ini)...tidak pernah balik tengok adik-beradik, dan tidak tahu apa budaya sekarang, orang seperti ini tidak patut diberi peluang mengundi.

"Itu sebab kita beri syarat ini dan syarat seperti ini adalah biasa dikenakan oleh semua negara di dunia ini," katanya.

Abdul Aziz berkata rakyat Malaysia di luar negara yang telah mendaftar sebagai pemilih dan ingin mengundi melalui pos boleh memuat turun borang permohonan (Borang 1B) menerusi lawan web SPR di http://www.spr.gov.my.

Bagi mengelak penyelewangan, beliau berkata pada masa proses pengundian di luar negara, ejen parti boleh hadir dan menyaksikan proses itu.

"Parti boleh melantik sesiapa saja ejennya di sana, namun kertas undi itu hanya boleh dibuka di hadapan ejen calon di Malaysia," katanya.

Sebelum ini, cuma pelajar luar negara dan pekerja kerajaan dan pasangan dibenarkan mengundi sebagai pengundi luar negara.

-- BERNAMA

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top