Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini telah membuat pengumuman untuk membina Jambatan ketiga di Klang pada awal tahun ini. Malahan, dengan nada berpolitik, Menteri Besar menuduh projek ini akan dilaksanakan kerana ianya gagal dibuat oleh Barisan Nasional (BN) dahulu.
Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, difahamkan juga sejumlah RM 300 juta akan diperuntukkan bagi tujuan pembinaan jambatan tersebut.
“Hakikatnya, ini merupakan gula-gula politik bagi tujuan memancing undi semata-mata. Kerajaan Negeri sengaja mengaitkan Barisan Nasional dengan hal ini hanya kerana Kerajaan Barisan Nasional memulakan upacara pecah tanah. Namun setelah mereka mengambil alih pemerintahan, tanggungjawab membina jambatan memang sepatutnya di bawah Kerajaan Negeri.
“Strategi ini juga sebenarnya dilihat sebagai sengaja untuk mengalihkan isu-isu setempat yang lebih penting di Klang terutamanya Projek Tebatan Banjir yang dikatakan akan dibina. Malah difahamkan juga, peruntukan untuk projek ini sebanyak RM5 juta telahpun diluluskan oleh pihak Kerajaan Negeri,” ujarnya dalam sidang media di sini, hari ini.
Tambahnya, selain itu, Kerajaan Negeri juga pernah berjanji akan membina Pusat Kebudayaan di Klang namun sehingga kini tiada sebarang kemajuan berhubung projek tersebut.
Pada tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 bilion untuk projek Pemulihan Sungai Klang. Namun sehingga hari ini masih tiada sebarang tanda-tanda projek tersebut akan dijalankan.
“Nampaknya, janji untuk membina Jambatan Ke-tiga ini juga bakal menerima nasib yang sama. Kerajaan Negeri hanya berjanji untuk mengalihkan isu-isu yang membelengu mereka yang tidak mampu ditunaikan.
“Rakyat sudah mulai sedar bahawa janji-janji yang ditaburkan oleh pemimpin Pas, DAP PKR hanyalah janji populis untuk memenangi pilihanraya. Sebagai Kerajaan yang memerintah Selangor ini, Pas, PKR dan DAP sepatutnya tidak terus mengelirukan rakyat dengan janji-janji politik mereka sebaliknya bertindak menunaikan janji tersebut lebih-lebih lagi apabila Janji Manifesto 2008 masih banyak yang belum tertunai,” tambahnya yang juga Setiausaha UMNO Negeri Selangor. -MediaUMNO
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....