Nuffnang

Masa Depan Negara Terletak Di Bahu Anak Muda - TPM



MUAR: Timbalan Perdana Menteri mahu golongan muda di negara ini supaya berganding bahu dengan kerajaan bagi memajukan negara menerusi pelbagai kegiatan kesukarelaan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, masa depan negara ini dan rakyat bukan hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, tetapi juga di bahu golongan muda dan belia.


“Kerajaan memberi pengiktirafan yang amat besar kepada anak-anak muda negara ini. Kita mahu menggembleng usaha anak-anak muda supaya bersama-sama memaju dan membangunkan negara ini menerusi kegiatan kesukarelaan,” 


Beliau berkata demikian di hadapan 20,000 anak-anak muda pelbagai lapisan yang terlibat dengan program “My Beautiful Malaysia” peringkat negeri Johor yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim di sini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Menurut Muhyiddin, tahun ini telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai Tahun Kesukarelaan Negara, dengan penyediaan peruntukan RM100 juta di bawah Dana Sukarela 1Malaysia kepada badan-badan sukarela.

Timbalan Perdana Menteri berkata, masa depan rakyat dan negara ini perlu diperjuangkan bersama, dengan anak-anak muda yang mempunyai ilmu, jiwa dan semangat yang merupakan aset penting kepada negara.

Pada masa yang sama, beliau meminta golongan muda di negara ini supaya tidak mudah terpengaruh dengan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan keharmonian di antara kaum serta kemajuan ekonomi yang dibina selama ini.

“Kita meminta anak-anak muda supaya terus bersama dengan kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional agar usaha kita untuk menjadikan Malaysia cantik, bersih, maju, sebagaimana yang kita banggakan,” katanya.

Selain majlis perasmian di Stadium Sultan Ibrahim, program “My Beautiful Malaysia” turut diadakan di sembilan daerah di Johor yang disertai kira-kira 100,000 anak muda.

Program peringkat kebangsaan yang menyaksikan anak-anak muda terlibat di dalam pelbagai kegiatan kesukarelaaan itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top