Nuffnang

PAU2015 : "Kalau Runtuh UMNO Bererti Runtuhlah Melayu,” - Veteran UMNO


Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan menjadi titik pertemuan penting untuk menegakkan dan meneruskan perjuangan parti itu demi orang Melayu, agama Islam dan negara, kata bekas Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Hussein Ahmad.

Hussein, 82, berkata para pemimpin dan perwakilan harus menggunakan sepenuhnya peluang pada perhimpunan itu yang akan berlangsung dari 8 hingga 12 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, untuk memperkukuhkan perpaduan dan menghapuskan bibit-bibit perpecahan.

“Saya menyeru jangan ada antara pemimpin di semua peringkat cuba hendak adakan perpecahan dalam UMNO kerana perpecahan itu bererti runtuh dan kalau runtuh UMNO bererti runtuhlah Melayu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Hussein yang pernah menjadi ketua penerangan UMNO selama 14 tahun sejak 1982, berkata perpaduan dan semangat tinggi untuk merealisasikan perjuangan parti adalah amat penting terutama sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya merayu kepada seluruh anggota dan pemimpin UMNO jangan bercakap menuju kepada perpecahan parti kerana akibat perpecahan ini berat padahnya.

Hussein berkata beliau masih bimbang dengan perpecahan dalam parti sebagaimana yang pernah berlaku pada 1988 sehingga wujudnya parti serpihan UMNO iaitu Semangat 46 yang kemudiannya dibubarkan, dan ini harus menjadi pengajaran kepada seluruh anggota UMNO sekarang.

“UMNO sebuah parti yang berteraskan demokrasi tulen, kelebihan demokrasi tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan, dan demi mencapai matlamat perjuangan UMNO iaitu kepentingan bangsa, agama dan tanah air, seluruh anggota UMNO hendaklah bertoleransi, kalau dengan kaum lain kita sanggup bertoleransi apatah lagi sesama kita dalam UMNO,” katanya.

Veteran UMNO itu berkata sekiranya timbul sebarang masalah dan perbezaan pendapat di kalangan pemimpin adalah lebih baik dibawa berbincang atau “duduk semeja” kerana ia lebih berkesan dalam usaha untuk mengekalkan perpaduan.

“Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan kalau seluruh pemimpin dan anggota UMNO bersatu kerana UMNO parti demokrasi, selesaikan masalah dalam perjumpaan seperti buat ‘morning tea’ apa salahnya duduk semeja dan berbincang,” katanya.

Beliau percaya hasil daripada perhimpunan agung UMNO tersebut akan mewujudkan lonjakan berganda termasuk ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dalam mencorak hala tuju menghadapi PRU14.

“Mahathir, Abdullah (bekas Presiden UMNO Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi), Muhyiddin (Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib (Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak) dan seluruh anggota parti di semua peringkat harus tumpukan kepada perjuangan parti dan jangan sesekali utamakan kepentingan diri. UMNO dan Barisan Nasional akan menang pada pilihan raya umum kelak,” kata Hussein.

Sementara itu, beliau menekankan supaya jentera penerangan UMNO di semua peringkat bekerja kuat dengan strategi yang baik dalam memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan isu-isu semasa yang melibatkan parti dan negara kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa cuba untuk meracuni fikiran rakyat agar membenci kerajaan.

Beliau berkata untuk melahirkan jentera penerangan yang berkesan, mereka harus diberi kursus dan latihan dari semasa ke semasa.

Berikut laman sesawang/ portal bagi umno dan pergerakan di bawahnya:





Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top