Nuffnang

KONTROVERSI AGAMA : Pelajar di Sabah Dipindahkan Ke Sekolah Baru



Sekolah SMK Kinarut menjadi tumpuan selepas laporan mendedahkan bahawa anak perempuan Jilius didakwa memeluk agama Islam tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapanya.

Pelajar perempuan yang terlibat dalam kemelut kontroversi kerana “memeluk” agama Islam tanpa kebenaran ibu bapa, akhirnya akan dipindahkan ke sekolah lain selepas perayaan Tahun Baru Cina ini.

Ketika ini, pelajar berusia 16 tahun itu dan tiga lagi adik beradiknya yang lain bersekolah di SMK Kinarut yang berlokasi kira-kira 20 km dari Kota Kinabalu.

Bapa remaja itu, Jilius Yapoo dan isterinya sudah memutuskan keempat-empat anak mereka dipindahkan di sebuah sekolah di Papar atau di Kiulu, selepas Tahun Baru Cina ini.

Bapa saudara remaja itu, Michael Frederick memberitahu media, ibu bapa pelajar itu akan berbincang dengan anak perempuan mereka dan tiga adik-adiknya yang lain berusia di antara 13 dan 15 tahun berhubung sekolah yang akan dipilih.

“Mereka mempertimbangkan untuk memilih SMK Majakir di Papar atau sebuah sekolah lain di Kiulu,” kata Michael yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung di Kaiduan.

Sekolah SMK Kinarut menjadi tumpuan selepas laporan mendedahkan seorang pelajar perempuan memeluk agama Islam tanpa pengetahuan kedua-dua ibu bapanya.

Pelajar itu yang asalnya beragama Kristian, mencetuskan kontroversi selepas dilapor membaca Kalimah Syahada sekali gus mengisytiharkan dirinya masuk Islam serta memakai tudung, semuanya tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Pelajar itu didakwa dipengaruhi oleh bekas warden asrama sekolah berkenaan yang kini sudah dipindahkan ke tempat lain.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jalaluddin Abdul Rahman berkata, gadis itu menyatakan keinginannya untuk memeluk agama Islam sejak berada di Tahun Enam.

Katanya, polis sudah memulakan siasatan ke atas insiden itu selepas bapa gadis berkenaan membuat laporan yang anaknya sudah memeluk agama Islam.

Hasil siasatan polis mendapati remaja itu masih beragama Kristian.

Jilius yang bekerja sebagai penoreh getah menegaskan bahawa anaknya akan kekal sebagai seorang Kristian sehinggalah dia mencapai usia 18 tahun, di mana dia boleh membuat keputusan sendiri agama yang dipilihnya selepas itu.

Beliau juga sebelum ini mendakwa, anaknya diislamkan secara paksa di sekolah itu selepas dipengaruhi warden sekolah itu.

Menurut Jilius, beliau akan menghabiskan sebanyak masa yang ada bersama keluarganya dan akan cuba meyakinkan anaknya untuk kekal dalam agama yang dianutinya sekarang sehinggalah dia mencapai usia yang membenarkan untuk membuat keputusan sendiri.

Beliau juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah kerana membenarkan penukaran agama anaknya yang masih dibawah umur tanpa persetujuannya.

Pengetua SMK Kinarut, Joharah Abdullah menyatakan sekolah tidak tahu mengenai kes tukar agama itu sehinggalah laporan polis dibuat oleh si bapa.

Menurut undang-undang, agama anak yang masih di bawah umur hanya boleh diputuskan oleh ibu bapanya.

Di bawah undang-undang agama Islam pula, selepas mengucap Syahada, ia sudah cukup menjadikan seseorang itu sebagai Islam.

Namun, di bawah Perlembagaan, jelas menyatakan bahawa kanak-kanak bawah umur masih memerlukan kebenaran daripada ibu bapanya untuk menukar agama.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top