KULAIJAYA – Lima sekeluarga maut manakala seorang lagi parah selepas kereta jenis Honda Accord yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 17.9 menghala ke utara Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira semalam.
Mereka yang terkorban dalam kejadian pukul 4 petang itu ialah P. Pavai, 65, serta dua anaknya, R. Selvarani, 46, dan R. Gita, 43.
BEGINILAH keadaan kereta Honda Accord yang remuk selepas merempuh tiang papan tanda hingga mengorbankan lima sekeluarga di Kulaijaya, Johor semalam.
Dua cucu Pavai iaitu G. Viknes, 19, dan A. Akash, 7, pula mati ketika dikejarkan ke Hospital Temenggung Ibrahim, Kulaijaya. Viknes merupakan pemandu kereta itu.
Anak Gita, G. Vinithaa, 16, pula kritikal dan kini dirawat di Hospital Pakar Johor.
Kosmo! difahamkan mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke bandar Kulai setelah bersembahyang di salah sebuah kuil di Masai pada pukul 11 pagi.
Ketua Polis Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila kereta itu terbabas lalu merempuh tiang penunjuk jalan di bahu kiri jalan.
“Akibat rempuhan itu, tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala seorang kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan terbabit. Dua lagi maut ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....