Nuffnang

MAK AIII.... Panjangnya Teks Ucapan Anwar Untuk Sidang Parlimen!!!



10 Mac 2015
Usul Menjunjung Kasih Ke Atas
Titah DYMM Seri Paduka Baginda
Yang Dipertuan Agong

Atas permintaan Ketua Pembangkang, saya mohon izin Tan Sri Yang diPertua Dewan Rakyat untuk Dewan ini bertafakur selama seminit dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah pulang ke Rahmatullah pada 12 Februari 2015 yang lalu. Almarhum pernah menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir (1967-1974) dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dari tahun 1974-1986, iaitu selama 19 tahun sebagai Ahli Dewan Rakyat. Almarhum juga memegang jawatan Menteri Besar Negeri Kelantan Darul Naim dari tahun 1990-2013 (23 tahun) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api (1986-1995) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka dari tahun 1995-2015 (29 tahun sebagai Adun). Dewan ini juga ingin merakamkan ucapan takziah kepada Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak sekeluarga. Al Fatihah.

A.   Muqadimah

Tan Sri Yang diPertua,

Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu'alaikum warahmatullahir wabarukatuh.

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
Terjemahan Surah Al-Maidah:8
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan inayahNya saya berpeluang mengambil bahagian membahaskan Usul Menjunjung Kasih di atas Titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung merupakan Ketua Negara dan Ketua Agama Islam; dan penjaga yang memastikan negara ini kekal kuat dan utuh serta payung dan puncak keadilan negara. Ini termaktub di dalam perlembagaan negara yang kami pegang teguh sebagai dokumen utama kenegaraan.
Dalam dewan yang mulia ini, saya laungkan pendirian Pakatan Rakyat bahawasanya kami berikrar dan menumpahkan taat setia dan penuh kasih yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Tan Sri Yang diPertua,
Seperti ikrar saya, saya akan pastikan suara Ketua Pembangkang Ahli Parlimen Permatang Pauh berkumandang dan tidak dilenyapkan walau jasad beliau kini terpenjara.
Saya sampaikan perutusan YB Ketua Pembangkang kepada Dewan Rakyat yang menjadi sebahagian dari ucapan saya:
Tan Sri Yang diPertua,
1.    Syukur ke hadrat Allah SWT, Dewan Rakyat dapat meneruskan fungsinya dalam hal ehwal dan urusan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga, Parlimen Ke13, mulai 9 Mac 2015 hingga 9 April 2015.
2.    Mewakili seluruh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, saya selaku Ketua Pembangkang merakamkan setinggi tahniah dan terima kasih di atas kesudian DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong untuk berangkat merasmikan pembukaan Penggal Ketiga, Parlimen Ketiga Belas pada 9 Mac 2015.
3.    Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan rasa kesal yang tidak terkata ke atas penganiayaan, fitnah, kezaliman serta pengenepian keadilan yang telah dilakukan ke atas saya. Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya segala usaha mengaib dan memfitnahkan saya yang terus berlarutan walaupun saya kini terpenjara.
4.    Saya juga mengutuk dengan sekeras kerasnya mereka yang berkuasa yang memperalatkan Jabatan Penjara dan semua instrumen Kerajaan demi menafikan hak saya untuk menjalankan tugas dan fungsi yang diamanahkan kepada saya sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat.
5.    Dalam Dewan yang mulia ini, saya ingin merakam setinggi penghargaan kepada Yang diPertua Dewan Rakyat yang mempertegaskan bahawa saya masih Ahli Parlimen kawasan Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang yang sah, di bawah perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
6.    Saya kesal bahawa permohonan melalui peguam saya yang dikemukakan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Penjara untuk membolehkan kehadiran saya dalam sidang Parlimen ini ditolak tanpa sebarang alasan.
7.    Saya ingin mengulangi penegasan saya pada 10 Februari 2015 dalam Mahkamah Persekutuan:[pause]
a.   Saya tidak bersalah atas tuduhan palsu dan fitnah ini tidak pernah berlaku.
b.   Fitnah ini satu rekayasa yang jahat datang dari satu konspirasi politik untuk menamatkan karier politik saya.
c.    Tidak menjadi satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri boleh mengeluarkan kenyataan rasmi bertulis mengenai keputusan yang cuma selang beberapa minit selepas penghakiman dikemukakan, malah sebelum hukuman dijatuhkan.
d.   Dalam tunduk akur kepada kehendak telunjuk tuan-tuan politik, hakim-hakim itu menjadi rakan jenayah pembunuhan kebebasan dan integriti badan kehakiman. Mereka telah menjual diri mereka kepada syaitan, memperdagangkan nurani mereka demi pulangan kebendaan, kedudukan dan jaminan jawatan.
e.   Mereka diberi peluang untuk menebus diri mereka dengan bertindak membetulkan kesilapan badan kehakiman yang lampau, mengembalikan kemuliaan dan mengukir nama baik mereka sebagai pembela sebenar keadilan.
f.     Sebaliknya mereka memilih untuk kekal dalam kegelapan, merosakkan akhlak sendiri dan menenggelamkan diri dalam lautan kebatilan. Mereka tenggelam dalam kehinaan diri dan menjerumuskan diri dalam hapak bangkai najis kezaliman menerusi apa yang disebutkan 'Istana Kehakiman'.
g.    Saya menerima pengorbanan ke penjara demi rakyat dan negara. Saya bersedia ke penjara dan apa jua akibat demi rakyat.
h.   Allah SWT adalah saksi saya dan saya bersumpah demi Allah, saya tidak akan mendiamkan diri. Saya akan terus berjuang melawan demi kebebasan dan keadilan. Saya tidak akan menyerah kalah!
B. Ucapan YDP Agong
8.    Hari ini hari pertama Dewan Rakyat membuka ruang bagi membahaskan Usul Menjunjung Kasih ke Atas Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 9 Mac 2015 kepada kedua-dua Majlis Parlimen.
9.    DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong menyentuh beberapa perkara dasar.
10.  Baginda bertitah bahawa tahun 2014 dipenuhi dengan dugaan dan cabaran - ada yang terpahat sahaja di ingatan, ada yang berterusan. Sudah satu tahun kita kehilangan MH370 yang pergi tanpa meninggalkan berita, keperitan kehilangan MH17 yang ditembak jatuh kemudiannya dan seterusnya musibah banjir besar yang telah melanda beberapa negeri di Utara dan Pantai Timur Malaysia, akan terus berada dalam ingatan rakyat Malaysia.
11. Barangkali kita boleh menganggap tragedi yang menimpa MH370 sebagai takdir. Tetapi tatacara kita menangani tragedi dan krisis ini amat mendukacitakan dan kenyataan ini sama sekali harus diakui.
12. Malaysia mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk bertindak awal diminit-minit pertama tragedi ini. Pakar penerbangan CNN Richard Quest berkata laporan interim tersebut mendedahkan kelemahan yang ada pada kawalan trafik udara di negara-negara Asia Tenggara.
13. Menurut laporan-laporan sebelum ini, Jabatan Penerbangan Awam telah menerima laporan mengenai kehilangan pesawat tersebut pada jam 1:30 pagi, tetapi hanya melancarkan misi mencari dan menyelamat pada jam 5:30 pagi, 4 jam setelah pesawat itu dilaporkan hilang!
14. Seterusnya, adakah siasatan lengkap dan teliti telah dibuat atas kehilangan pesawat ini? Salah seorang keluarga mangsa, Sarah Bajc, mempersoalkan hanya 120 orang sahaja yang disoal siasat oleh para penyiasat. Kata beliau kepada BBC, "That's less than our tiny underfunded private investigation has done," merujuk kepada sebuah inkuiri yang dibuat oleh keluarga-keluarga mangsa.
15. Oleh itu, adakah kerajaan bersedia untuk memperbaiki sistem radar negara agar peristiwa terlepas pandang MH 370 tidak berulang? Dan adakah kerajaan akan memastikan piawaian keselamatan sektor penerbangan termasuk memastikan penyenggaraan seperti tarikh lupus bateri pesawat diberikan perhatian?
16. Seterusnya kita tidak boleh menganggap bencana alam seperti banjir yang dialami oleh beberapa negeri di utara dan Pantai Timur Malaysia sebagai takdir semata-mata. Mungkin kita boleh persoalkan samada kita tersalah tadbir.
17. Tidak ada maknanya sekiranya kita hanya menganggap bencana-bencana ini sebagai hukuman daripada Tuhan sekalian alam, walhal kuasa untuk melakukan tindakan untuk mengelakkan kejadian-kejadian ini daripada berulang ada dalam tangan kita sendiri.Pentadbiran yang baik oleh kerajaan, dan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri perlu dipertingkatkan demi kebaikan rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kita perlu mengadaptasikan semangat kerjasama dan kesatuan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam Sahifah Al-Madinah dalam pentadbiran, demi Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera.
18. Satu perkara yang memberi harapan kepada masa depan kita daripada kejadian bencana-bencana ini adalah rakyat Malaysia bersatu hati bersama-sama membantu mangsa-mangsa tanpa mengira darjah keturunan mahupun fahaman politik.
19. Pada hemat saya, ini adalah Jatidiri Nasional (National Character) kita yang sebenar berteraskan semangat perpaduan walaupun cuba diretak belah dengan jarum perkauman dan pelampau dikalangan kita.
Tan Sri Yang diPertua,
20. Baginda juga bertitah mengenai kejayaan Malaysia menduduki salah satu kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta menjadi Pengerusi Asean. Perlantikan ini mesti dilihat sebagai satu peluang keemasan buat Malaysia supaya berusaha menjadi sebuah negara contoh dengan memperkukuhkan demokrasi tulen sebagai satu Iltizam ad-Daulah (national will).
21. Sebaliknya, sejak kejayaan Pakatan Rakyat mendapat kepercayaan daripada majoriti rakyat Malaysia pada Pilihanraya Umum ke 13, Peguam Negara lebih giat mendakwa, menyiasat serta cuba mencipta satu suasana ketakutan (climate of fear) kepada para pengkritik Kerajaan yang sebenarnya adalah rakyat yang cintakan kebenaran dan keadilan buat semua. Pemimpin-pemimpin Pakatan, ahli-ahli akademik, pengamal media bahkan pemimpin-pemimpin pelajar juga tidak terlepas daripada jerat Kerajaan menggunakan undang-undang drakonian Akta Hasutan 1948. Malangnya Perdana Menteri telah mungkir janji dengan mengekalkan Akta Hasutan warisan penjajah!
22. Kegagalan Malaysia dalam penghakiman Pulau Batu Puteh, kegagalan yang patut dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada Peguam Negara yang menggunakan bukti palsu dalam perbicaraan di Mahkamah Antarabangsa.
23. Malang, kegagalan terdahulu dikeruhkan dengan tindakan terpilih terhadap legislator pembangkang, termasuk Menteri Kanan Kerajaan Negeri!Hari ini merupakan hari ketiga YB Nik Nazmi, salah seorang Exco Kerajaan Negeri Selangor kini direman di bawah 'kesalahan' yang sama yang pernah membebaskannya dahulu.
24. Soalan saya: mengapakah wujud usaha mendakwa pimpinan Pakatan Rakyat dan para aktivis di bawah undang-undang yang didapati bertentangan dengan Perlembagaan (unconstitutional) dan tidak sah; sementara Menteri sanggup menawarkan pengurangan hukuman mati buat Sirul beserta surat perlindungan bagi warganegara Montenegro. Apakah yang sudah berlaku kepada keutamaan keselamatan negara?
25. Pada 20 Februari lepas, media tempatan dan antarabangsa telah melaporkan bahawa Malaysia adalah antara negara yang tercorot dalam Laporan Integriti Pilihanraya (EIP) yang diterbitkan oleh Projek Integriti Pilihanraya yang berpengkalan di Universiti Harvard dan Universiti Sydney.
26. Malang apabila Malaysia sekali lagi menempa nama di mata dunia untuk perkara yang kita tidak diingini: EIP hanya memberikan Malaysia cuma 28 daripada 100 mata dalam sempadan kawasan pilihanraya - yang terburuk di dunia; sementara 33 daripada 100 mata dalam undang-undang pilihanraya - tersungkur benar kita di mata dunia. Inikah laungan pilihanraya kita adil dan saksama? Hemat saya, SPR telah gagal seratus-peratus dan memalukan negara!
27. SPR juga gagal untuk memastikan dakwat kekal yang digunakan dalam PRU13 kekal diantara 5 hingga 7 hari. Mejar Zaidi yang melaporkan kegagalan dakwat kekal ini supaya ia berfungsi dengan sepatutnya sebaliknya menjadi mangsa sementara Pengerusi SPR yang bertanggungjawab masih lagi selesa di kerusi empuk Suruhanjaya itu.
28. Ahli Parlimen Pandan juga pernah mendakwa dalam dewan bahawa pembekal dakwat tersebut  adalah 'rakan rapat' pemimpin tertinggi SPR, yang mendapat kontrak tersebut secara rundingan terus. Saya minta kerajaan dengan segera mendedahkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam skandal dakwat kekal ini. Mereka yang bertanggungjawab atas kegagalan ini mestilah didakwa kerana kes ini bukan sahaja melibatkan dana awam, malah kesahihan kerajaan dan institusi parlimen kita juga boleh dipersoalkan atas kegagalan ini.
29. Apakah Kerajaan akan meneliti semula rekomendasi Jawatankuasa Pilihan Khas Berkait Reformasi Sistem Pilihanraya dan memastikan kesemuanya dilaksana? Jelas, proses persempadanan harus dihentikan serta-merta sehinggalah masalah pokok diselesaikan bermula dengan pimpinan SPR yang baharu!
30. Kita menjunjung titah 'pemisahan kuasa' DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, lantas menolak pengawasan SPR di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tan Sri Yang diPertua,
31. Malaysia kini berada diambang kebejatan ekonomi. Kejatuhan harga minyak mentah dipasaran dunia memberikan kesan yang amat mendalam sehingga memaksa Kerajaan untuk membuat semakan semula terhadap Belanjawan 2015, setelah dianjurkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat walaupun cadangan Kerajaan tetap tidak memuaskan.
32. Hutang negara dan hutang isi rumah semakin meningkat. Sehingga akhir tahun lepas, hutang negara berada pada kira-kira 54.7 peratus berbanding KDNK, sementara  hutang isi rumah rakyat Malaysia sudah meningkat ke tahap 86.8 peratus berbanding KDNK pada akhir 2013 berbanding pertengahan tahun 2013 (82%), 80.5% pada tahun 2012, 72.4% pada 2009.
33. Kejatuhan harga minyak mentah ini tanpa melupakan kontroversi 1MDB serta nilai ringgit yang menjunam kepada sekitar RM 3.70. Sehingga kini, para menteri kabinet masih lagi mendabik dada mengatakan ekonomi Malaysia masih lagi dalam keadaan terkawal. Soalnya adalah dibawah 'kawalan' siapa? Siapa yang mengawal ekonomi negara sehingga 1MDB menjadi begitu besar - 'too big to fail' - yang bakal di'bail out' seperti projek-projek besar gajah putih lain? Siapa mengawal ekonomi negara sehingga aliran keluar wang haram meletakkan negara dalam senarai antara teratas dunia? . Laporan terkini Global Financial Integrity (GFI), mendedahkan bahawa aliran keluar 'wang haram' (illicit outflows) bagi Malaysia dianggarkan berjumlah USD48.93 billion bagi tahun 2012 atau rekod kumulatif sedekad (2003-2012) mencecah USD394.87 billion! Siapa mengawal ekonomi negara sehingga jurang kemiskinan dan pendapatan semakin melebar?
34. Rakyat memang tahu siapa yang 'mengawal ekonomi negara' dan rakyat sudah merasa bahang kejatuhan ini dalam kehidupan harian mereka. Kuasa membeli semakin mengecil berikutan harga barangan yang semakin meningkat, rakyat kebanyakan terutamanya bumiputra semakin terhimpit. Kesempitan hidup ini mempunyai kesan-kesan yang lebih bahaya. Rakyat menjadi pengemis di negeri mereka sendiri.
35. Kerajaan tiada alasan kukuh dan mengikut moraliti pentadbiran secara ekonomi untuk memperkenalkan cukai baharu yang bakal menghimpit dan membebankan golongan miskin dan berpendapatan rendah sedangkan ia secara berterusan gagal dalam pengurusan fiskal dan kewangan yang baik.  GST kerajaan ini hanyalah sebagai instrumen untuk mengalihkan beban daripada pelbagai kelemahan kronik kerajaan dalam urus tadbir fiskal dan tata kelola kewangan rakyat Malaysia.
36. Mengaku atau tidak, GST adalah satu perlaksanaan daripada kebuntuan kerajaan untuk menambah dan menjana pendapatan negara. Defisit fiskal tahunan Kerajaan telah berterusan sejak 1998 sehingga melebihi RM 40 bilion setiap tahun sejak tahun 2009 sehingga sekarang. Malah, hutang awam kerajaan yang tinggi iaitu terkini sebanyak RM569.333 (Q3 2014) dan nisbah kepada KDNK bersempadanan garis siling 55% yang ditetapkan oleh Dewan yang mulia ini.
37. Menurut Laporan Tahunan Audit Negara, ketirisan, pembaziran, korup, pecah amanah dan lain-lain kesalahan telah menyebabkan kerugian negara yang dianggarkan sehingga RM28 bilion hingga RM40 bilion setiap tahun.
38. GST tidak akan memberikan impak positif kepada kerajaan. Menurut Bajet 2015 seperti yang telah dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada 10 Oktober 2014, kutipan dari GST dianggarkan bernilai RM23.22 bilion, selepas menolak pengecualian GST yang dianggarkan RM.8 bilion, pemansuhan SST yang dianggarkan RM13.8 bilion serta BR1M sebanyak RM4.9 bilion, kutipan GST hanyalah RM690 juta sahaja.
39. Cukai GST hanyalah kegagalan kerajaan yang tidak mendapat kepercayaan rakyat. Kerajaan Malaysia sewajarnya menjadikan cukai GST sebagai jalan terakhir dan berusaha untuk membanteras pembaziran dan meningkatkan urus tadbir yang baik dalam perbelanjaan operasi (OPEX). Malangnya, kerajaan terus membiarkan negara di heret oleh pelbagai unsur-unsur penyelewengan dan pecah amanah. Ini antara satu daripada pelbagai sebab mengapa kepercayaan rakyat hilang kepada kerajaan
Tan Sri Yang Di-Pertua,
40. Malah, pesakit Malaysia yang menggunakan penjagaan kesihatan swasta yang memerlukan bantuan perubatan perlu membayar caj tambahan apabila GST dikuatkuasakan. Terdapat juga ubat-ubatan kawalan yang digunakan untuk merawat pesakit kanser, penyakit buah pinggang dan pesakit HIV yang dikenakan cukai GST dan akan meningkatkan kos ubat-ubatan.
41. Buku pula, hanya buku teks, buku latihan, buku ilustrasi kanak-kanak  kamus dan buku teks agama yang tidak dikenakan GST. Bagaimana pula dengan buku-buku yang lain? Empat puluh tujuh negara daripada lima puluh satu negara telah menyenaraikan buku-buku sebagai barangan berkadar sifar, ataupun memberi kadar istimewa untuk buku-buku, mengapa tidak Malaysia?
42. Melaksanakan GST April ini adalah bala berganda kepada rakyat. Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian membantah perlaksanaan GST yang akan terus menghimpit rakyat berpendapatan rendah. Jika ini tetap ditolak Kerajaan, setidaknya ia wajib ditangguh sehingga rakyat lebih bersedia iaitu apabila pendapatan median bagi rakyat adalah 2 kali ganda berbanding dengan pendapatan median pada masa ini  (RM4,258).
43. Adakah kerajaan bersedia menangguhkan GST sehingga rakyat terbanyak lebih bersedia apabila pendapatan median meningkat? Adakah kerajaan bersedia menyelaraskan pelepasan GST terhadap senarai keperluan asas rakyat seperti perubatan, perkhidmatan kesihatan, buku-buku terbitan dan lain-lain lagi?
Tan Sri Yang Di-Pertua,
44. Sudahlah tidak cukup dengan beban GST, kerajaan juga berhasrat menandatangani perjanjian TPPA (Trans Pacific Partnership Agreement) yang jelas akan terus meningkatkan harga perubatan dan sara hidup rakyat Malaysia.  Sehingga hari ini, janji Perdana Menteri yang hanya akan menandatangani TPPA jika ia memanfaatkan rakyat masih tidak terbukti dengan laporan Komprehensif Kos Faedah yang masih tidak dibentangkan untuk penelitian rakyat.
45. Saya ingin ingatkan bahawa beberapa harga ubat telah pun meningkat antara 20% hingga 50% pada tahun 2014 dan dijangka bakal naik mendadak pada tahun ini! Ini belum mengambil kira kesan dasyat GST dan TPPA.
46. Oleh itu, adakah kerajaan berani membentangkan laporan Komprehensif Kos Faedah TPPA pada sesi Dewan kali ini? Adakah kerajaan berani membentangkan keseluruhan isi kandungan TPPA pada sidang dewan kali ini? Demi menyahut saranan Baginda mengenai 'pemisahan kuasa'; adakah kerajaan berani membentangkan perjanjian TPPA untuk diratifikasikan oleh Dewan ini kelak - bersesuaian dengan masa mencukupi bagi meneliti 800 muka surat perjanjian yang sarat dengan bahasa guaman? Ingat, seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Padang Serai, ahli-ahli parlimen bersidang pada hari pertama tanpa sebarang Rang Undang-Undang di tangan? Mahupun dilampirkan menerusi laman sesawang Parlimen Malaysia. Adakah wujud keseriusan membahaskan sebarang Rang Undang-Undang yang bakal mencorak nasib rakyat?
Tan Sri Yang Di-Pertua,
47. Di sini saya ingin menegaskan dan memperingatkan semua perancang yang terlibat dalam Rancangan Malaysia ke-11 untuk bertumpu kepada keadilan sosial dan peluang-peluang yang samarata buat rakyat apabila RMK-11 dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun ini.
48. Setiap individu rakyat Malaysia berhak ke atas kekayaan dan peluang-peluang penjanaan ekonomi di dalam negara.
49. Walaupun  EPU meletakkan pengukuhan pembangunan inklusif sebagai salah satu teras dalam perangkaan RMK-11, kita harapkan ini bukanlah sekadar nama sahaja. Tidak ada makna sekiranya rakyat Malaysia kekal miskin walaupun negara dianggap berpendapatan tinggi. Ingat, Bank of America Merrill Lynch telah memberikan amaran bahawa Malaysia akan menjadi rakyat majoriti muda tetapi miskin (Young and Poor Nation) menjelang tahun  2030 sekiranya polisi-polisi yang ada pada masa ini diteruskan dan tidak diperbetulkan.
50. Demi menyahut saranan Baginda mengenai 'pemisahan kuasa'; adakah kerajaan bersedia mendengar dan melibatkan Pakatan Rakyat yang mewakili majoriti rakyat dan menjadi sebahagian cabang legislatif untuk menjadi penimbang-tara didalam merangka RMK-11 oleh cabang eksekutif?
51. Jangan kita lupa; Perdana Menteri juga memegang portfolio Kewangan, dan beliau mengawal 1MDB selaku Pengerusi Lembaga Penasihat badan tersebut; tambahan lagi walau beliau dengan penuh bersemangat mengulangi kesediaan supaya 1MDB diaudit oleh Ketua Audit Negara, Perdana Menteri juga merupakan Ketua MACC/ SPRM yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang juga menyelia soal gaji. Bagaimana pula mana-mana badan ini mampu menyiasat ketua atau Boss mereka? Justeru, berkali-kali disebut, SPRM haruslah benar-benar dijadikan independen. Dan sehinggalah kelemahan fundamental ini diperbaiki, sehingga itulah kita tidak boleh menerimapakai sebarang siasatan.
52. Adakah kita percaya bahawa Peguam Negara, yang tidak mampu mengawal kehilangan Pulau Batu Puteh, termasuk Timbalannya yang dibelenggu dengan dakwaan qazaf di beberapa negeri termasuklah dakwaan menipu dan menokok nambah bukti mahkamah, mampu menyelamatkan negara daripada skandal dan letupan 1MDB?
53. Tan Sri Yang Di-Pertua,
54. Tarikh hitam 10 Februari 2015 menyaksikan kezaliman sekali lagi berulang terhadap Ketua Pembangkang Malaysia. Pada hari yang sama, Perdana Menteri yang semakin celaru untuk mempertahankan singgahsana kuasanya, memperkenalkan berbagai hasil terbaru penjenamaan semulanya, iaitu Indeks Syariah Malaysia.
55. Indeks, yang menurut PM menggunapakai konsep Maqasid Syariah yang memelihara lima perkara; termasuklah pemeliharaan bangsa!
56. Tan Sri Yang Di-Pertua,
57. Maqasid Syariah adalah merupakan tunggak syariah dalam usaha mewujudkan kebaikan, menolak keburukan dan mengelakkan kemudaratan.
58. Memelihara keturunan bukan memelihara bangsa. Ada perbezaan ketara di sini. Saya peringatkan agar Perdana Menteri jangan mempermainkan agama. Rasulullah s.a.w dalam khutbah terakhir-nya pernah mengatakan bahawa, "Semua manusia itu dari Adam dan Hawa. Seorang Arab tiada kelebihan dari seorang yang bukan Arab mahupun seorang bukan Arab mempunyai kelebihan daripada seorang Arab; seorang yang putih tiada kelebihan dari seorang yang hitam dan seorang yang hitam tiada kelebihan dari seorang yang putih melainkan takwa dan amal salih."
59. Ulama manakah yang telah Perdana Menteri rujuk untuk mengeluarkan Indeks Shariah ini yang diumumkan serta merta selepas pemenjaraan Ketua Pembangkang? Saya rujuk beberapa ulama kontemporari dan maqasid universal yang mereka pilih: daripada Sheikh Rashid Rida, kepada Ibn Ashur, Mohammad Al Ghazali hinggalah kepada Yusuf Al Qardhawi dan Sheikh Taha Jabir - tidak ada di antara mereka yang memberi ruang kepada pemilihan bangsa atau warna kulit sebagai objektif maqasid negara.
60. Tan-Sri Yang Di-Pertua,
61. Isu pemerintahan dan politik – kita mendapati bahawa sharak telah datang dengan keadilan dan mewajibkannya dalam segala aspek kehidupan, datang dengan al-ihsan dan mewajibkannya dalam segala perkara, dan datang dengan syura serta musyawarah, legitimasi pilihanraya dan menghalang kediktatoran, datang dengan kebaikan dan mengeji monopoli, datang dengan kesamarataan, tawaddu' dan mengharamkan keangkuhan dan kemelampauan, datang dengan memelihara harta-harta awam dan tidak didekati melainkan dengan cara yang terbaik, menolak monopoli, penggelapan wang, menolak rasuah, menolak kezaliman, menolak tangkapan dan menakutkan rakyat dengan undang-undang zalim, menolak pembaziran, Islam datang dengan membantu orang yang lemah, memberdaya hak-hak, kemuliaan dan hajat mereka, datang mencegah orang-orang yang kuat, menghalang mereka dari kezaliman dan permusuhan, dan Islam datang untuk merealisasikan keamanan dan menolak ketakutan untuk memberi Keadilan.
62. Ibn Al-Qayyim menegaskan bahawa Syariah adalah mengenai keadilan dan kebijaksanaan. Jika benar Malaysia mahu mengikut Maqasid Syariah, Perdana Menteri wajib memperjuangkan kebebasan, keadilan dan juga demokrasi yang benar. Bukannya terus mempertahankan kontroversi 1MDB, terus membela golongan elit yang makan rasuah dan selainnya. Malah, kedudukan Malaysia dalam Indeks Demokrasi yang menduduki tempat ke-67 di mana Malaysia dikategorikan sebagai demokrasi tempang sangat memalukan. Pakatan Rakyat sedia membantu untuk memperbetulkan pengetahuan Perdana Menteri mengenai Maqasid Syariah.
63. Tan Sri Yang Di-Pertua
64. Dilaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri akan membentangkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dalam sesi parlimen kali ini. Akta ini akan memperkenalkan semula penahanan tanpa perbicaraan. Kami dari Pakatan Rakyat melihatkan ini sebagai percubaan Kerajaan untuk memperkenalkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri.
65. Dikhabarkan tujuan POTA diperkenalkan ialah untuk mencegah aktiviti-aktiviti keganasan berdasarkan faktor bukti minimum termasuk intipan elektronik ke atas suspek. Merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Akta ini hanya akan digunakan ke atas suspek-suspek pengganas.
66. Kenyataan ini mengingatkan jaminan Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman yang mengatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak akan digunakan ke atas Pembangkang, dan tidak akan digunakan untuk seteru-seteru politik yang sah. Jaminan itu nyata meleset apabila akta tersebut digunakan untuk menyumbat pemimpin pembangkang ke dalam kem Kamunting.
67. Pertama, saya dan juga ahli Parlimen Pakatan Rakyat menentang dengan tegas cubaan kerajaan untuk memperkenalkan semula undang-undang drakonian ini. Undang-undang seperti ini akan memberikan peluang kepada kerajaan untuk disalahgunakan sebagai asbab menangkap pengkritik-pengkritik kerajaan. Seterusnya, dengan berbekalkan bahan bukti yang minima akan hanya menjurus ke arah siasatan yang sambil lewa, dan dakwaan yang lemah. Siasatan yang lengkap perlu dilakukan untuk mendakwa suspek-suspek pengganas dengan jayanya.
68. Cadangan kami selain daripada menggugurkan penahanan tanpa pembicaraan, ialah meluaskan skop definasi ancaman "Keselamatan Nasional" dengan memasukkan korupsi dan terrorisma ekonomi dalam rang undang-undang tersebut.
69. Adakah benar sebanyak US$700 juta telah dipindah milik kepada sebuah syarikat dibawah seliaan Jho Low, seseorang yang didakwa mempunyai hubungan rapat bersama keluarga Perdana Menteri?
70. Hutang 1MDB pada hujung tahun lepas berada pada nilai kira-kira RM42 billion. Hutang boleh menjerumuskan lagi ekonomi Malaysia sekiranya tidak dapat dilunaskan berikutan dakwaan bahawa jaminan kerajaan ke atas pinjaman tersebut, yang dikatakan berjumlah sekitar RM20 billion.
71. Menteri Kewangan perlu memberikan penjelasan yang terperinci akan kebenaran dakwaan jaminan kerajaan ke atas hutang 1MDB dan jaminan dibuat diatas terma bagaimana?
72. Bayangkan, bagaimana Dewan Rakyat sendiri meluluskan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act) - adakah Perdana Menteri selaku Pengerusi Badan Penasihat 1MDB hingga kini sudah bertindak menyiasat keluaran dana beratus juta yang dipindah dari Petrosaudi ke 1MDB - yang didesak Jho Low ini tanpa kelulusan Bank Negara Malaysia? Ahli Parlimen Pandan bakal memperbetul kekhilafan Perdana Menteri menerusi laporan polis atas kesalahan-kesalahan berikut:
a.   melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (Anti Money Laundering Act)
b.   pecah amanah (criminal breach of trust) yang melibatkan tiga individu terbabit dengan 1MDB sejak 2009 lagi; Perdana Menteri, Jho Low dan Dato Shahrol Halmi.
73. Sudah tentu kesemua ini boleh dianggap sebagai ancaman yang besar kepada negara. Soalnya, bilakah dapat rakyat menyaksikan tindakan pasca sebarang siasatan yang diumum? Adakah Menteri Dalam Negeri bersedia memasukkan terrorisme ekonomi dan korupsi dalam perbahasan lanjut tentang faktor-faktor yang menggugat kestabilan serta keselamatan negara?
74. Sekiranya Menteri berkenaan tidak mengendahkan cadangan ini, adakah Barisan Nasional atau parti komponennya bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatan kuasa bi-partisan untuk merangka rang undang-undang Akta Pencegahan Korupsi dan Keganasan Ekonomi?
Pakatan Rakyat - Iltizam Politik Bersama
Agenda Reformasi Negara Adil
Tan Sri Yang Di-Pertua,
75. Dalam komitmen untuk membina sebuah negara demokratik yang adil untuk semua; Pakatan Rakyat berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan yang membentuk aqad perjanjian asas kenegaraan. Tambahan pula, Rukunegara harus menjadi teras ideologi kenegaraan.
76. Penyatuan rakyat natijah dari asas rukunegara dan perlembagaan persekutuan, perlu dikekal dan diperkukuhkan dengan suatu iltizam yang disandarkan kepada prinsip-prinsip kemanusiaan, mendaulatkan kuasa rakyat, keadilan proses undang-undang, keadilan ekonomi, menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta keterbukaan kepada segala yang baik dari semua budaya.
77. Perlu kita kukuhkan iltizam politik bersama untuk memastikan Pakatan Rakyat kekal utuh dan seterusnya menzahirkan sebuah negara adil yang kita impikan. Pakatan Rakyat perlu terus dikukuhkan berpandukan kepada Dasar Bersama asas kesepakatan politik (common policy framework) dengan satu matlamat, satu perjanjian dan satu tekad, demi membina sebuah negara adil.
78. Asas kesepakatan ini adalah merangkumi beberapa perkara iaitu persetujuan untuk membentuk sebuah sistem demokrasi yang lebih telus dan tulen. Hal ini dimantapkan lagi dengan persetujuan untuk memacu ekonomi berprestasi tinggi, mampan dan adil bagi memastikan kehidupan rakyat yang lebih bermaruah, moden dan efisien tanpa mengenepikan keperluan pemeliharaan alam sekitar
79. Justeru, kebersamaan  untuk memastikan perpaduan dan keadilan sosial dipertahankan, serta pembangunan insan diutamakan terutamanya dalam bidang pendidikan untuk wanita dan golongan muda. Hal ini juga melibatkan persetujuan dalam polisi berkaitan hubungan persekutuan-negeri serta dasar luar negara.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
80. Agenda Reformasi untuk membina Negara Adil akan berpandukan kepada beberapa prinsip asas memperkukuhkan struktur ekonomi dan institusi demokrasi iaitu;
a.   Prinsip Decentralisation (Pengagihan Semula Kuasa serta Sumber)
b.   Prinsip Divestment (Pelupusan-milikan Saham Kerajaan)
c.    Prinsip Diversification (Mempelbagaikan Sumber Ekonomi)
d.   Prinsip Fiscal Discipline (Disiplin Fiskal)
e.   Prinsip Democratisation (Pendemokrasian)
81. Pertama; Prinsip Decentralisation (Pengagihan Semula Kuasa serta Sumber)
82. Tujuan prinsip ini adalah untuk mengupayakan semua tahap kerajaan bermula daripada peringkat terbawah yang paling rapat dengan rakyat. Ini termasuk:
a.   Merangkakan semula perkongsian hasil cukai antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri dengan kadar yang lebih adil
b.   Mengembalikan Pilihanraya Kerajaan Tempatan
c.    Penyaluran Royalti Minyak kepada kepada negeri-negeri tanpa kecuali
d.   Menghormati hak-hak kerajaan negeri, sebagai contoh hak kerajaan negeri Selangor untuk membatalkan perjanjian Kidex dan perjanjian Air Selangor dengan Kerajaan Pusat yang baru diumum Ahli Parlimen Gombak.
83. Kelantan yang diperintah PAS 43 daripada 58 tahun semenjak merdeka dan Terengganu ketika diperintah PAS dari 1999-2004 telah dinafikan hak Royalti Minyak. Dan yang paling ironis, apabila Terengganu Investment Authority (TIA) yang penubuhan asalnya untuk menyalurkan wang royalti melepasi kerajaan negeri bertukar menjadi 1MDB yang sedang ditenggalami kontroversi demi kontroversi pula.
84. Kedua; Divestment (Pelupusan-milikan Saham Kerajaan)
85. Tujuan prinsip ini adalah mengembalikan nilai dan prinsip kebertanggungjawaban (accountability) serta daya saing (competitiveness) didalam sektor ekonomi domestik melalui:
a.   Menjual syarikat berkait kerajaan (GLC) - dengan  nilai pasaran  saham 36% atau  RM530 bilion kepada pihak pengurusan bersama Koperasi Kakitangan syarikat tersebut. Ini akan menaikkan produktiviti, inovasi dan seterusnya keuntungan syarikat.
b.   Menghapuskan konsep kawalan majoriti sektor swasta supaya mampu menjana ekonomi mampan.
c.    Memperluaskan sumber cukai pendapatan melalui keuntungan syarikat
86. Ketiga; Diversification (Mempelbagaikan Sumber Ekonomi)
87. Tujuan prinsip ini adalah untuk merangka keupayaan mengembangkan ekonomi negara diperingkat antarabangsa serta memberikan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui:
a.   Inovasi dalam sektor-sektor baru  seperti sains dan teknologi nano
b.   Fokus pelaburan sektor swasta dalam pembinaan modal insan serta penyelidikan dan pembangunan. Kerajaan perlu merancakkan lagi aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan menambahkan lagi peruntukan daripada 1% kepada 3% KDNK dengan kadar segera
c.    Malaysia juga kaya dengan sumber asli bio-diversiti yang berpotensi untuk memberikan hasil yang lumayan. Oleh yang demikian, dengan mengusulkan satu Akta Perlesenan dan Paten Sumber Biodiversiti Negara (National Biodiversity Licensing and Patents Act) agar semua sumber asli termasuk kod genetik menjadi Hak Intelek Negara seperti mana hasil petroleum dijadikan Hak Sumber Asli Negara. 
88. Keempat; Fiscal Discipline (Disiplin Fiskal)
89. Tujuan prinsip ini adalah memperkemaskan pengurusan fiskal negara melalui:
a.   Mengurangkan defisit bajet kita dari 4% ke 2% .
b.   Mengurangkan hutang negara termasuk hutang yang dijamin kerajaan (contingent liability) dari 65% KDNK ke 30% KDNK
c.    Menubuhkan Jawatankuasa Polisi Fiskal Parlimen yang memantau prestasi perbelanjaan melalui program 'Outcome Based Budgeting' Belanjawan Berorientasikan Hasil  serta konsep Keterbukaan Inisiatif Belanjawan  (Open Budget Initiative)
90. Kelima; Democratisation (Pendemokrasian)
91. Tujuan prinsip ini adalah untuk meletakkan negara kita menuju masa depan dengan lebih mantap dan mampan melalui;
a.   Mendesak ke arah proses pilihanraya yang bersih agar telus dan adil
b.   Reformasi sistem parlimen termasuk penubuhan jawatankuasa tetap parlimen memantau semua kementerian termasuk penggubalan dasar dan akta-akta, hak meratifikasikan perjanjian antarabangsa agar kedaulatan negara tidak tergadai serta peluang mengusulkan perundangan oleh pembangkang agar prinsip pemisahan kuasa untuk fungsi timbang-tara pentadbiran negara berjalan lancar
c.    Badan Kehakiman yang bebas dan mandiri agar keadilan dan hak 99.9% rakyat diutamakan lebih daripada kepentingan golongan 0.1%
d.   Kebebasan media sebagai saluran suara menjadi pemantau serta pembela hak rakyat dan bukan sahaja sebagai alat propaganda kerajaan mesti diwujudkan.
e.   Memansuhkan undang-undang drakonian yang tidak demokratik
92. Oleh yang demikian, adakah kerajaan bersedia meminggir kepentingan individu dalam UMNO dan bergerak untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat dalam melaksanakan Agenda Reformasi demi membina Negara Adil lagi saksama yang memenuhi aspirasi rakyat untuk masa depan yang lebih baik?                                                    
Petisyen mendapat Ampun dan Qazaf - Keyakinan kepada Prinsip dan Proses Perlembagaan
Tan Sri Yang Di-Pertua,
93. [Permatang Pauh] ingin mengesahkan bahawa suatu petisyen mendapat ampun telah dikemukakan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada hari Selasa, 24 Februari 2015. Petisyen ini difailkan atas nama 3 anggota keluarga saya – YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, YB Ahli Parlimen Lembah Pantai (Nurul Izzah) dan Nurul Nuha.
94. Petisyen ini difailkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan mendapat ampun dari DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang berasaskan alasan pengenepian prinsip-prinsip keadilan (miscarriage of justice ) dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah ke atas diri saya.
95. Ianya dipersembahkan kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong sejajar dengan kuasa mutlak Agong bagi mengampun, menangguhkan dan melegakan hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
96. Seperti yang termaktub dalam Perkara 3 (5) Walau apa pun apa-apa jua dalam perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai Hal Ehwal Agama Islam.
97. Tambahan pula, saya juga pernah mengemukakan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam saman terhadap jabatan itu. Dan laporan qazaf yang dilaporkan oleh wakil badan bukan kerajaan(NGO), Pendakwah Bebas dan wakil mahasiswa ke atas kenyataan terbuka Tan Sri Shafee Abdullah di Selangor dan juga di Pulau Pinang patut disiasat di bawah Seksyen 36 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan juga Seksyen 41 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Pulau Pinang) 1996. Tindakan ini jelas membuktikan kepercayaan saya kepada ketinggian dan kedaulatan SPB YDPA sebagai ketua agama dalam perlembagaan persekutuan.
98. Hujah saya ini diperkukuhkan lagi dengan serangan susulan yang biadap di luar mahkamah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Mana mungkin pasca penghukuman dakwaan jahat dan fitnah terhadap saya dilakukan secara berterusan dengan terus mengaibkan dan menokok tambah?
99. Tidakkah ini bertentangan dengan etika dan tatatertib mahkamah dan guaman serta peraturan perundangan?
100.              Bagaimana boleh dibiarkan dendam kesumat ini  berterusan untuk  mengheret wibawa sistem keadilan?
Tan Sri Yang Di-Pertua,
101.              Kredibiliti kehakiman negara ini amat terjejas. Rata-rata badan antarabangsa dan  negara mengkritik hebat pensabitan hukuman tersebut. Secara khusus, ia mengundang kecaman hebat daripada International Commission of Jurist (ICJ) yang merupakan badan pemantau perlindungan hak asasi menerusi kedaulatan undang-undang (Rule of Law).
102.              Penghukuman ini juga mengundang kritikan daripada badan-badan antarabangsa seperti International Federation for Human Right (FIDH), Al-Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood), Inter Parliamentary Union (IPU), Human Rights Watch (HRW) dan Amnesty International (AI).
103.              Beberapa negara turut memberi pandangan mempertikai penghakiman dan penghukuman, antaranya: kerajaan Australia, Jerman, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, United Kingdom dan New Zealand.
Tan Sri Yang Di-Pertua,
104.              Saya difahamkan kerajaan Switzerland pula akan membawa kes saya ke Persidangan Hak Asasi UN di Geneva kelak. Saya merakamkan setinggi penghargaan terhadap pendirian kerajaan-kerajaan dan badan-badan antarabangsa kerana menzahirkan pendirian yang konsisten mempertahankan prinsip keadilan sejagat.
105.              Dalam konteks ini, saya terpanggil untuk memetik kenyataan mantan Presiden Turki Abdullah Gul, "as a friend of Malaysia and Malaysian people, I would like to encourage the Malaysian government to reconsider the impact of this verdict on its international standing and its commitment to human rights ".
106.              Saya sedar bahawa dalam konteks sistem perundangan negara ini, penghakiman berakhir dengan keputusan mahkamah. Namun saya yakin bahawa keadilan tidak berakhir disitu. Ia dimuktamadkan dengan iltizam dan hati nurani rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran.
107.             "Under due process of law, the finality of judgment rests with the court. Nevertheless, in the philosophy of jurisprudence, the finality of justice relies on the will and the conscience of the people for justice and truth."
108.              Kepada para konspirator, saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah gentar dengan permainan politik kotor, jijik dan amat terkutuk. Saya yakin dan percaya rakyat tidak akan mudah terpedaya dengan politik murahan yang dicanangkan selama ini untuk memusnahkan karier politik saya dan menghalang kemaraan Pakatan Rakyat membebaskan Putrajaya daripada kebobrokan, kebejatan, kegelojohan dan kerakusan kuasa Barisan Nasional.
109.              Saya boleh dipenjarakan untuk lima tahun lagi. Saya sudah melalui dua tahun tahanan ISA. Saya sudah melalui ujian fitnah sehingga merengkok di dalam penjara selama enam tahun. Jika tindakan Barisan Nasional ini bertujuan untuk melemahkan dokongan rakyat terhadap agenda reformasi, saya pertegaskan pada hari ini, dalam Dewan yang mulia ini, kebangkitan rakyat akan merobohkan tembok kepalsuan, fitnah, kezaliman dan rasuah Kerajaan Barisan Nasional.
110.              Saya kini dipenjarakan. Mungkin ramai lagi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat yang akan terhukum. Namun, saya yakin dan percaya kerakusan kuasa Barisan Nasional ini tidak mungkin berupaya memadamkan bara, api dan obor perjuangan rakyat.
ANWAR IBRAHIM
AHLI PARLIMEN PERMATANG PAUH
KETUA PEMBANGKANG DEWAN RAKYAT
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top