Kementerian Pertahanan sentiasa menghargai khidmat dan pengorbanan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjayakan program Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) sejak ia dilaksanakan pada 1991.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak LIMA diadakan pasukan PDRM sentiasa bertugas menjaga keselamatan pengunjung dan memantau keadaan lalu lintas dari pagi hingga ke malam tanpa mengira keadaan cuaca.
Katanya komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan anggota keselamatan kedua-dua cabang perkhidmatan itu merupakan satu manifestasi semangat kerjasama yang tidak pernah luntur dalam usaha memastikan keselamatan lokasi pameran bebas daripada
pelbagai ancaman keselamatan yang tidak diingini.
"Kerjasama seperti ini amat penting agar imej negara sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur tanpa dicemari insiden negatif yang boleh menjejaskan reputasi negara khususnya dalam penganjuran LIMA bertaraf antarabangsa.
"Sehubungan itu saya mengarahkan pegawai di Kementerian Pertahanan memulakan majlis penghargaan kepada PDRM pada malam ini dan diteruskan sebaik program LIMA berakhir pada masa akan datang kerana tidak mahu sumbangan PDRM dianggap perkara remeh," katanya pada majlis makan malam penghargaan PDRM bertemakan 'Baktimu Dikenang' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab.
Justeru, Ahmad Zahid berkata semangat kerjasama ini dipereratkan lagi melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Selain program LIMA, PDRM dan ATM turut menjalankan rondaan bersama di laut dan darat dalam usaha mengurangkan kadar jenayah dan kedatangan pendatang asing tanpa izin," katanya.
Beliau berkata kerjasama ini menjadi paling bermakna apabila pasukan PDRM dan ATM bersama-sama menentang pencerobohan pengganas Sulu dari Selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini.
"Walaupun lapan anggota PDRM dan seorang anggota ATM terkorban dalam kejadian itu namun semangat kerjasama menentang musuh tetap membara kerana mereka tidak rela tanah air diceroboh," katanya.
Beliau menegaskan walaupun cara tabik kedua-dua pasukan keselamatan ini berbeza, namun semangat dan azam tetap satu iaitu bersatu mempertahankan kedaulatan negara. - BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....