Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menafikan beliau pernah mengadakan pertemuan khusus dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berbincang pemindahan wang ASD$1.103 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari Kepulauan Cayman ke Singapura.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, bahawa beliau memberitahunya yang wang itu tidak dipindahkan ke BSI Bank di Singapura, seperti yang didakwa.
“Saya tidak pernah mengadakan pertemuan (dengan Muhyiddin) khusus untuk membincangkan soal itu.
“Saya juga tiada bawa apa-apa dokumen tentang perkara itu kepada beliau,” katanya dalam sidang media Laporan Tahunan dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Bank Negara 2015, di sini, hari ini.
Namun, katanya, beliau memang banyak berurusan dengan Muhyiddin ketika beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri dan antaranya ialah ketika dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kos Sara Hidup.
“Daripada segi itu, jika saya ada berbincang (perkara ini) dengannya, ia secara meluas tentang apa yang berlaku. Ia sudah lama. Dan mungkin ketika itu pun saya tiada maklumat berkaitan apa yang anda (wartawan) sebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Zeti bertegas tidak akan sesekali membenarkan BNM terheret dalam politik berhubung isu 1MDB.
“Saya tidak akan terheret untuk buat kenyataan politik dan benarkan BNM terheret dalam politik isu ini. Saya hanya mahu menegakkan peraturan dalam sistem kewangan,” katanya lagi.
PENGGANTI BELIAU
“Sesiapa sahaja yang menyandang tugas itu perlu ada kepakaran. Kita berharap satu keputusan yang tepat (mengenainya) akan dibuat dan individu itu memiliki kelayakan tinggi serta mampu menggalas tugas dengan segera tanpa memerlukan tempoh lama mempelajari selok belok berkaitan.
“Keputusan itu dalam masa beberapa hari… ada lagi 38 hari, jadi anda perlulah bersabar,” katanya pada sidang media sempena pengumuman mengenai Laporan Tahunan BNM 2015 di sini, hari ini.
Beliau yang juga gabenor wanita pertama negara, menerajui BNM selama 16 tahun sebelum bersara pada April ini.
Zeti turut menyuarakan keyakinannya bahawa bank pusat itu akan terus berfungsi dengan baik selepas ketiadaannya kelak.
“Saya rasa, keseluruhan sistem serta aspek membuat dasar masih berfungsi. Malah, saya amat yakin ia akan berterusan berdasarkan apa yang menjadi kekuatan BNM selama ini.
“Tiada alasan pun untuk meraguinya. Prospek masa depan juga menarik dan banyak kerja yang perlu dilakukan. Kita perlu membuat persiapan bagi cabaran masa depan,” tegasnya.
Menurut Zeti, jawatankuasa tadbir urus BNM juga telah melaksanakan penilaian terperinci terhadap calon sesuai serta mengemukakan saranan kepada pihak kerajaan.
“Kita tidak menyatakan apa yang kami inginkan atau boleh mengulas apa yang dinilai jawatankuasa itu kerana ia adalah rahsia,” katanya ketika ditanya sama ada bakal penggantinya itu adalah kalangan ‘orang dalam’ BNM sendiri.
“Semua persiapan sudahpun dibuat. Saya sendiri sudah merancang untuk menulis buku,” katanya.
Ia sebagai jawapan kepada pertanyaan jika beliau ada membuat pertimbangan untuk terus menyambung khidmatnya bagi tempoh separuh penggal lagi.
-BERNAMA
orang REDHA ni pun kuat fitnah jugak. itu alim tu...kalau jahil guane gamok....
BalasPadam