Nuffnang

PENYELEWENGAN DANA KERAJAAN : Kenyataan Media Khairy Jamaluddin


PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengatakan bahawa sebuah pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenalpasti kelompongan dan menambahbaik proses dan prosedur kewangan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menurut beliau, selain dari menunggu hasil siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), KBS telah mengambil inisiatif untuk membentuk sebuah pasukan penyiasat bebas yang akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

“Kita tidak perlu untuk tunggu hasil siasatan dari SPRM sepenuhnya.

"Kita boleh mula dengan siasatan oleh pasukan siasatan bebas ini untuk melihat kepada prosedur-prosedur dalaman dalam KBS yang mungkin, dalam kes ini dimanipulasi oleh kakitangan yang terlibat,” ujar Khairy dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy turut mengesahkan bahawa satu kes penyelewengan oleh pegawai kerajaan yang didedahkan oleh SPRM baru-baru ini adalah merupakan salah seorang pegawai yang berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“SPRM telah memaklumkan kepada saya beberapa minggu yang lepas bahawa satu siasatan sedang dijalankan ke atas pegawai tersebut.

“Saya telah menyatakan kesediaan KBS dan agensi-agensi di bawahnya untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh,” katanya.

Khairy juga tidak menolak kemungkinan kes seperti ini sememangnya membawa impak yang negatif terhadap KBS, maka dua tindakan akan dibuat termasuklah siasatan oleh SPRM yang dibuat melalui semua garisan undang-undang serta melalui mekanisma dalaman.

“Melalui mekanisma dalaman, kami akan minta pasukan siasatan bebas ini untuk membuat semakan dalaman tanpa penglibatan kakitangan KBS, dan semuanya akan ditentukan sendiri oleh KSN.

“Pihak KBS tidak akan mencampuri urusan ini,” jelas Khairy.

Enggan memberi sebarang komen berkenaan suspek, berdasarkan penyelewengan tersebut, beliau berkata perkara tersebut tidak dapat dikesan oleh KBS kerana suspek tersebut menggunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan dari pihak atasan dalam menjalankan kegiatannya.

Tambah beliau, kesemua suspek yang terlibat telah diarahkan untuk bercuti dan tindakan seterusnya sama ada mereka akan ditamatkan perkhidmatan hanya boleh diputuskan setelah disabit dengan kesalahan dan didakwa di mahkamah.

Seorang Setiausaha bahagian di sebuah kementerian ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 17 Mac lalu selepas disyaki terlibat dalam sindiket menyeleweng dana kerajaan berjumlah lebih RM100 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, lapan lagi suspek ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor.

Menurutnya, pegawai kerajaan berkenaan disyaki menjadi 'mastermind' yang mengarahkan salah sebuah agensi kementerian itu membuat bayaran kepada kira-kira 14 buah syarikat kontraktor bagi tujuan menjayakan program-program berkaitan sukan yang tidak wujud.Kenyataan Media Menteri Belia dan Sukan berkenaan penangkapan pegawai kanan kerajaan oleh SPRM - SUMBER

KENYATAAN MEDIA
Merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang isu penyelewengan oleh pegawai kanan kerajaan, saya ingin mengesahkan bahawa individu yang dirujuk adalah pegawai di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
SPRM telah memaklumkan kepada saya beberapa minggu yang lepas bahawa satu siasatan sedang dijalankan ke atas pegawai tersebut. Saya telah menyatakan kesediaan KBS dan agensi-agensi di bawahnya untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan ini dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh. KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan hasil siasatan. Saya akan terus menyokong usaha SPRM dalam membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Sementara itu, satu semakan segera terhadap segala mekanisme dalaman dan proses tadbir urus berkaitan penyaluran dana di KBS akan dilaksana. Bagi tujuan ini, saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkenaan penubuhan sebuah pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik proses dan prosedur kewangan dalaman KBS. Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam.

KHAIRY JAMALUDDIN21 MAC 2016
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top