Nuffnang

PENYELEWENGAN : Bukan Konspirasi Politik, Rasuah Tetap Rasuah - Khairy


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan berselindung dengan memberi alasan bahawa penahanan seorang pegawai kanan kementeriannya yang disyaki menyeleweng dana mencecah RM100 juta sebagai konspirasi politik.
Tegasnya, rasuah adalah jenayah maka siasatan secara menyeluruh serta telus perlu dilakukan terhadap kes berkenaan.

“Ini melibatkan jumlah dana yang besar dan akan mengundang kemarahan rakyat. Mereka berhak untuk marah dan saya amat kecewa.

“Rasuah tetap rasuah. Saya tidak boleh kata atau beri alasan bahawa ini adalah konspirasi politik untuk jatuhkan saya, kalau rasuah itu berlaku kita kena ambil tindakan, saya tidak akan berselindung di belakang alasan, salah tetap salah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pada 18 Mac lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sehubungan itu juga, satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompangan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.

Mengulas lanjut berhubung perkembangan kes tersebut, Khairy memberitahu, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan akan dibentangkan ke Kabinet Jumaat ini.

“Perdana Menteri juga telah mengarahkan supaya perkara ini diperbetulkan. Selaku menteri yang bertanggungjawab hari ini saya menjawab apa yang berlaku untuk kes yang berada di hadapan saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairy memberitahu, beliau bersetuju terhadap cadangan mengehadkan tempoh perjawatan pegawai di kementerian terutamanya yang melibatkan bahagian sensitif seperti kewangan dan perolehan.

“Mereka mesti dihadkan tempoh perkhidmatan di bahagian tersebut. Mesti ada pertukaran yang dibuat secara kerap,” katanya yang turut memaklumkan bahawa pegawai terbabit telah memulakan khidmat di kementerian itu sejak 1998.

LEBIH RAMAI INDIVIDU DIPANGGIL SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lebih ramai individu bagi memberi keterangan berhubung penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Azam Baki

Pengarah Bahagian Siasatannya, Datuk Azam Baki berkata, SPRM sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung penyelewengan tersebut.

“Buat masa ini tiada tangkapan terbaru. Untuk proses siasatan kita akan jalankan secara intensif termasuk memanggil mana-mana pihak yang terlibat yang sekarang ini sedang berjalan.

“Siasatan ini akan mengenal pasti berapa jumlah sebenar dana yang telah diselewengkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan seorang pegawai kanannya ditahan dan disiasat oleh SPRM berhubung isu penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sehubungan itu, satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan bagi mengenal pasti kelompongan dalam prosedur perolehan kementerian itu selain menambah baik proses tatacara kewangan dalaman.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top