Nuffnang

HINA ISLAM : Mahkamah Sivil Pun Tolak Permohonan Kassim Ahmad!!



Bekas aktivis politik dan sosial, Dr Kassim Ahmad gagal dalam cubaannya mencabar keputusan pendakwa untuk menghadapkannya ke Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya Syariah atas tuduhan menghina Islam dan tidak mematuhi arahan pihak berkuasa agama.

Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas), Datuk Zaleha Yusof menolak permohonan Kassim untuk mendapatkan semakan semula kehakiman bagi mencabar keputusan tersebut dan memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara itu (permohonan kebenaran).

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (JPN) terhadap permohonan Kassim itu.

Kassim diwakili peguam Rosli Dahlan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pendakwa Syariah Wilayah Persekutuan Ibrahim Deris, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Kerajaan Malaysia, yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan Kassim itu.

Suzana memberitahu pemberita bahawa mahkamah membenarkan bantahan itu kerana bersetuju dengan hujah JPN bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Suzana berkata hakim berkenaan juga memutuskan bahawa perkara itu terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Bercakap kepada pemberita, Rosli berkata beliau akan segera mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu memandangkan Mahkamah Syariah Putrajaya telah menetapkan Khamis ini sebagai tarikh untuk mendengar kes Kassim.

Pada 27 Mac, Kassim mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan menghina Islam dan mengingkari perintah pihak berkuasa agama.

Rosli berkata Zaleha menolak permohonan Kassim untuk mendapatkan kebenaran memohon mendapatkan semakan semula kehakiman kerana beliau terikat dengan keputusan mahkamah Persekutuan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Pada 9 Julai, AGC memfailkan bantahan awal dengan alasan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Kassim kerana terdapat satu kes jenayah syariah melibatkan beliau, yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Pada hari berkenaan, Suzana berhujah bahawa Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa kerana perkara berkenaan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Kassim, 81, memfailkan permohonan pada 26 Jun, bagi memohon, antara lain, writ perintah certiorari bagi mengetepikan keputusan ketua pendakwa syarie pada 27 Mac untuk mendakwa beliau kerana menghina Islam dan mengingkari perintah pihak berkuasa agama di Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya.

Beliau juga memohon agar prosiding kesnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan semula kehakiman.

Kassim turut memohon perintah bagi mengetepikan tindakan dan keputusan pegawai penguatkuasa Jawi, yang didakwa menyerbu, menggeledah dan merampas bahan penerbitan serta membuat pemeriksaan, menahan dan memindahkan beliau dari Kedah ke Wilayah Persekutuan.

Di samping itu, beliau juga memohon perintah untuk mengetepikan sebarang waran tangkap, geledah, rampasan dan bon yang mempunyai kaitan dengannya; perisytiharan bahawa tindakan pegawai dan pendakwaan Jawi terhadapnya adalah ultra vires dan bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Akta Syariah Wilayah Persekutuan dan Enakmen Syariah Kedah; dan perisytiharan bahawa kesalahan melanggar fatwa yang dikeluarkan di Wilayah Persekutuan, hanya terpakai bagi penduduk Wilayah Persekutuan. – Bernama
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top