“Saya orang Sulu tidak gentar berjuang sekali lagi dengan mereka (pengganas) yang menggunakan helah untuk menembak ke arah kami,” demikian cerita anggota Komando VAT 69, Koperal Azman Ampong, 38, ketika berhadapan dengan lebih 20 pengganas dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo, 1 Mac lalu.
Menurutnya, dia bersama Koperal Mohd Tarmizi Hashim, 32, hanya berlindung di sebatang pokok kelapa sawit ketika ‘hujan peluru’ dilepaskan dari muncung Self Loading Rifle, AK Rifle dan M16 pengganas terbabit.
‘Ayau kaimu rindi, muik pa kaimu’ (Janganlah kamu di sini, balik lah kamu)’ ayat jelas dituturkan oleh seorang pengganas dalam bahasa Suluk ketika mereka berhadapan dalam jarak sembilan meter sambil memegang bendera putih.
“Ketika itu lebih kurang 36 anggota dan tiga pegawai dalam pasukan Bravo dan Charlie membuat rondaan risikan Op Daulat terserempak dengan enam pengganas bersenjata.
“Hanya kami berdua berada di barisan hadapan manakala di belakang Allahyarham ASP Zulkifli Mamat dan rakan-rakan lain. Enam pengganas telah memanggil rakan mereka yang lain dan membuat satu barisan di hadapan kami.
“Melihat kami tidak akan berganjak sedikit pun, terdengar takbir dua kali dan ketika itulah tembakan dilepaskan sejurus selepas musuh yang memegang bendera putih menyorok di belakang pokok,” katanya ketika ditemui di Majlis meraikan 180 Wira PDRM Op Daulat peringkat negeri di sini, malam tadi.
Katanya, beliau menyifatkan musuh dari Selatan Filipina itu sebagai pendendam dan suka bermain dengan tipu helah ketika berhadapan dengan pasukan keselamatan.
“Tidak semua orang Sulu jahat kerana saya sendiri berdarah Sulu. Malah saya akan berperang sendiri dengan mereka yang menggunakan helah menceroboh dan membunuh demi mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Bapa kepada empat anak ini berazam kembali ke medan pertempuran di tanah kelahirannya itu setelah insiden pencerobohan mengorbankan lapan rakan sepasukannya.
Sementara itu, Mohd Tarmizi yang sehingga kini masih mengingati setiap detik pertempuran itu menganggap ia sebagai satu pengalaman paling berharga sepanjang sembilan tahun menyertai pasukan VAT 69.
Katanya, dia bersama Azman cuba melepaskan tembakan ke arah musuh untuk pertahankan barisan rakan lain yang berada di belakang.
“Jarak kami dengan musuh tidak jauh, kami ambil peluang lepaskan tembakan ketika mereka tukar rifle magazine. Azman cedera di kanan, saya pula terkena di bahagian kiri.
“Saya yang cedera di bahagian kaki masih boleh lepaskan tembakan, namun setelah tangan pula ditembak, saya hanya mampu bertahan dan berdoa agar kami selamat,” katanya.
Mohd Tarmizi yang masih menggunakan tongkat untuk bergerak berkata, dalam pertempuran, mereka tidak meletakkan diri sebagai seorang suami, bapa atau anak, tetapi sebagai seorang anggota polis yang ingin pertahankan kedaulatan negara.
Sementara itu, Konstabel Mohammad Qaiyum Aiqal Zolkifli, 22, dengan penuh semangat bersumpah akan menuntut bela nasib rakan-rakan yang terkorban sekiranya negara diceroboh kembali.
Katanya, beliau yang dalam pasukan Delta diarah membantu pasukan Bravo dan Charlie yang diserang. Beliau terjatuh selepas terkena tembakan curi musuh.
“Walaupun cedera dan terjatuh, musuh masih tetap menembak ke arah saya. Ketika itu, rakan saya, Koperal Hairi menarik saya ke belakang sebatang pokok untuk berlindung.
“Saya terhutang nyawa dengan beliau yang sanggup ke depan untuk menyelamatkan saya sedangkan berisiko terkena tembakan. Insiden ini tidak mematahkan semangat saya.
“Selagi saya bernyawa, saya akan teruskan perjuangan untuk mempertahankan negara dan saya bersumpah pantang berundur walaupun selangkah demi negara,” katanya.
Ekoran tembakan peluru musuh yang menembusi dadanya, tiga tulang bahunya patah dan mencederakan paru-paru akibat serpihan itu dan masih mendapat rawatan di Hospital Tentera di Lumut.
Dalam kejadian 1 Mac lalu, dua anggota komando PDRM terkorban manakala 12 pencerobohan bersenjata maut dalam kejadian membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo.
Dua anggota Komando VAT 69 yang terbunuh dalam pertempuran itu iailah Asisten Superintendan Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....