PENGALAMAN BERNILAI...Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Norsyafawati Abdul Wahab, 25, (kanan) bersama juruterbang jet pejuang Rafale, Fabrice 'Tom' Valette berjalan menuju ke kawasan pelepasan bagi menaiki jet pejuang tersebut sempena Pameran Antarabangsa Aeroangkasa dan Maritim Langkawi Ke-13 (LIMA '13), hari ini. Syafa merupakan wanita kedua bukan tentera di dunia yang diberi peluang untuk menaiki jet pejuang Rafale.
Foto: foto BERNAMA
Wartawan wanita pertubuhan berita nasional, BERNAMA, Norsyafawati Ab Wahab hari ini mencipta sejarah apabila menjadi wanita kedua bukan tentera di dunia diterbangkan dengan pesawat pejuang Rafale di Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2013.
Pesawat buatan Perancis, yang dikeluarkan untuk pasaran eksport itu, direka khas dengan keupayaan untuk melaksanakan semua bentuk misi ketenteraan di ruang angkasa dengan sempurna.
Namun, bagi wartawan Meja Ekonomi itu yang baru-baru ini menyambut hari lahirnya yang ke-25, awal Mac lalu, ini bukanlah penghalang bagi beliau untuk mencuba pengalaman bernilai itu yang dianggap sebagai satu cabaran baru bagi dirinya.
Sebelum ini, saya sebagai pemberita hanya menulis mengenai pesawat Rafale. Sekarang, saya sendiri dapat merasai kehebatan jet pejuang ini, walau pun pada awalnya agak gugup sebab memang tidak menjangka saya terpilih."
"Tetapi, selepas mendengar taklimat dan tunjuk ajar yang diberikan pihak Rafale, saya mendapat keyakinan dan selepas merasai sendiri menaiki pesawat itu, pada saya ia memang sesuatu yang amat berbaloi untuk dicuba," katanya kepada Bernama.
Selepas sesi taklimat, beliau diberi peluang menaiki pesawat itu selama 30 minit yang dikendalikan oleh juruterbang Rafale berpengalaman, Fabrice "Tom" Valette, di ruang udara LIMA 2013 yang disaksikan oleh ribuan penonton.
"Memang terbaik, lebih-lebih lagi bila Tom menerbangkan pesawat ini serendah mungkin, hampir mencecah permukaan air laut. Semasa penerbangan, saya memang tidak rasa langsung tekanan. Memang rasa selamat."
"Kalau diberi peluang lagi, pasti saya akan cuba lagi. Pengalaman ini secara tidak langsung memberi motivasi pada diri sendiri, tidak ada yang mustahil jika ada semangat dan keberanian yang tinggi."
Pada 2011, pembaca berita RTM Hanim Muhili, 32, menjadi wanita pertama diberi peluang menaiki pesawat itu, sekali gus mengiktiraf keupayaan wanita di Malaysia.
Manakala, bagi juruterbang yang lebih mesra dikenali sebagai Tom, Norsyafawati mempunyai keberanian yang tinggi, setanding keupayaan seorang tentera.
"Beliau sangat selesa. Beliau tidak menjerit malah terlalu menikmati penerbangan itu," kata Tom, yang mempunyai pengalaman menerbangkan pesawat melebihi 23 tahun atau 3,700 jam penerbangan.
Rafale, yang menjadi kebanggaan Perancis, merupakan pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) tunggal yang digunakan oleh tentera udara dan laut negara itu dan kini, turut menarik minat kerajaan India untuk memiliki teknologi yang sama.
Pada masa ini, perbincangan dikatakan sedang berlangsung antara pihak pengeluar Rafale, Dassault Aviation dan kerajaan India dalam usaha mencapai persetujuan dalam pembelian 126 pesawat itu pada kos AS$10 bilion.
Pada masa yang sama, Rafale International, syarikat gabungan Dassault Aviation, Snecma (Kumpulan Safran) dan Thales turut membida untuk menawarkan pesawat itu kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk program penggantian pesawat pejuang MiG-29N.
TUDM, sebelum ini pernah berkata ia menyasarkan untuk menggantikan sepenuhnya MiG-29N dengan pesawat yang lain pada 2015 dan berhasrat untuk memberi keutamaan kepada pesawat strategik yang berupaya melakukan penerbangan jarak jauh dan pesawat medium seperti MRCA.
LIMA 2013, yang berlangsung hari ini sehingga 30 Mac dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi.
- BERNAMA
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....