Nuffnang

Ke Arah Kepolisan Bertaraf Dunia


Penyetarasan gaji dan gred anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penjawat awam merupakan antara langkah penting ke arah pelaksanaan strategi Kepolisian Kelas Dunia (WCP).

Strategi itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Dalam Negeri dan PDRM menyediakan orang ramai dengan perkhidmatan kepolisian lebih baik di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ia juga merupakan penanda aras yang akan memantau input dan hasil PDRM berbanding dengan pasukan polis di negara maju seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Hong Kong, dan berfungsi sebagai garis panduan untuk pegawai kanan polis dan pembuat dasar berkaitan perkara yang perlu diperbaiki dan bidang utama yang diberi keutamaan.

Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyetaraan gaji dan gred PDRM dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), melibatkan 109,209 anggota dan pegawai polis, dilihat mampu menyuntik semangat dan kesiapsiagaan anggota PDRM dengan mendapat imbuhan setimpal tanggungjawab mereka.

Penolong Pengarah Pengurusan Maklumat Sumber Manusia Bukit Aman, Datuk Aishah Mohammad dalam temu bual dengan Bernama berkata selain penyetaraan gaji dan gred, PDRM juga akan mengkaji deskripsi tugas yang lebih mesra rakyat selari dengan visi dan misi menjadikan PDRM "agensi peneraju" dalam penguatkuasaan undang-undang.





Antara program mesra rakyat yang telah dilancarkan ialah program turun padang pucuk pimpinan PDRM seperti program "tinjuan mesra" serta "omnipresence" atau kehadiran anggota PDRM di kawasan awam, katanya.

Aishah berkata PDRM juga akan mengkaji semua aspek termasuk sumber manusia, logistik dan kewangan dalam menjadikan PDRM bertaraf dunia.

Beliau berkata PDRM juga akan memastikan anggotanya bukan sahaja cergas daripada segi fizikal tetapi juga mahir daripada segi taktikal dan kompetensi serta mempunyai daya pemikiran bertaraf dunia.

Mereka akan diberikan latihan bersesuaian dengan keperluan zaman moden ini, selain akan dibekalkan dengan peralatan senjata yang canggih dalam menjalankan tugasan mereka yang semakin mencabar, katanya.

Katanya perancangan sumber manusia juga akan dilakukan dengan bersistematik supaya cabaran-cabaran baharu dapat ditangani, dengan semua anggota PDRM perlu menjalani latihan meningkatkan kecekapan supaya setanding dengan pasukan polis negara maju.

Aishah berkata pihaknya telah ke Jabatan Polis New York untuk belajar mengenai pengurusan anggota polis dan penggunaan peralatan dan senjata di bandar raya Amerika Syarikat itu bagi dijadikan penanda aras bagi PDRM mencapai status kelas dunia.

PDRM kini berusaha memastikan setiap anggotanya berpengetahuan dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih profesional kepada masyarakat, dan yakin untuk menjalankan rondaan berseorangan dengan dilengkapi senjata serba canggih, katanya.

Kembali kepada topik penyetaraan gred PDRM dan JPA, katanya ianya amat sesuai dilaksanakan memandangkan tanggungjawab berat dipikul anggota polis terutama di peringkat pegawai.

Contohnya serangan bersenjata di Lahad Datu, Sabah memperlihatkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai 'ground commander' untuk menangani isu tersebut.

Beliau berkata pegawai PDRM bukan sahaja bertanggungjawab mengenai pengurusan, tetapi juga berhadapan dengan pengurusan taktikal dalam menangani sesuatu kes jenayah.

Selain itu, mereka juga harus mempunyai pemikiran secara menyeluruh termasuk mengetahui cara untuk menyusun strategi operasi, katanya.

Katanya penyetaraan gred juga akan mengatasi masalah kenaikan pangkat di dalam PDRM yang sebelum ini hanya bergantung kepada kekosongan jawatan sahaja dan juga perlu bersaing dengan kemasukan baharu.

"Untuk anggota naik pangkat ke peringkat Superintenden memerlukan sehingga 20 tahun, tetapi bagi sesetengah penjawat awam lain di bawah skim JPA yang baru masuk tetapi gajinya lebih besar dari Superintenden.

"Paling ketara kepada pegawai polis yang bertugas sebagai 'ground commander'," katanya.

Beliau berkata disebabkan kesukaran untuk naik pangkat, tidak mustahil seseorang yang cemerlang dalam pekerjaannya boleh patah semangat untuk bekerja lebih-lebih lagi jika sudah berkhidmat lebih 10 tahun.

- BERNAMA

SELAMAT MENYAMBUT HARI POLIS
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top