Nuffnang

Rakyat Perlu Sokong ATM Gempur Penceroboh

Krisis pencerobohan di Lahad Datu, Sabah yang sudah masuk minggu keempat ini akan sampai ke kemuncaknya jua setelah pendekatan berlembut melalui rundingan demi rundingan dan tolak ansur langsung tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan. 

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kini sedang berada dalam keadaan siap siaga untuk bila-bila masa sahaja melaksanakan operasi membanteras kumpulan penceroboh di Lahad Datu bagi menumpaskan kesemua pengganas yang mengaku sebagai 'tentera Kesultanan Sulu'. Beberapa batalion pasukan keselamatan sudah pun berada di bumi Sabah bagi mengembalikan hak ketenteraman rakyat negeri itu yang sedikit tergugat gara-gara pencerobohan tersebut.





Tindakan ketenteraan ini terpaksa juga diambil berikutan pertumpahan darah yang selama ini cuba dielakkan atas nama kemanusiaan ternyata dipandang sepi oleh kumpulan penceroboh, apatah lagi bila mana 8 nyawa di pihak anggota keselamatan telah terkorban sejak dua tiga hari lalu. Sementara itu, dukungan dan sokongan masyarakat setempat tika ini amat diperlukan bagi menjayakan operasi penting ini. Ia menuntut kerjasama yang tinggi lebih-lebih lagi segelintir daripada kumpulan penceroboh ini mungkin merupakan penduduk tempatan dan ada juga yang menyamar sebagai penduduk setempat. 

Sebarang maklumat musuh perlu segera dilaporkan kepada pihak berkuasa, manakala apa sahaja pergerakan anggota keselamatan yang bertugas perlu disembunyikan dan elakkan dari penyebaran kerana dikhuatiri akan menyebabkan musuh mengintai peluang memasang perangkap. Satu contoh bentuk kerjasama yang mantap ditunjukkan oleh rakyat Sabah yang wajar dijadikan ikutan ialah kejadian yang berlaku di kampung Sri Jaya, Simunul, Sampoerna beberapa hari lalu. 

Seorang penceroboh yang merupakan pengikut MNLF dan terlibat dalam kejadian pembunuhan 6 orang anggota polis dalam serangan hendap sebelumnya telah berjaya dibunuh oleh penduduk setempat. Keberanian mereka bertindak sedemikian sesungguhnya amat dialu-alukan demi mengembalikan semula ketenteraman negeri dan negara yang dicintai sekaligus menafikan dakwaan kumpulan penceroboh kononnya rakyat sabah menyokong mereka. 


Sementara menanti saat genting yang akan menentukan hidup dan mati anggota pasukan keselamatan kita ini, sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadrat Illahi, mudah-mudahan urusan jihad ke arah mengembalikan ketenteraman ini beroleh kejayaan. Mereka semua sanggup meninggalkan kampung halaman masing-masing dan datang dari pelusuk negara termasuk dari Semenanjung dan Sarawak, membuktikan ikatan persaudaraan kita rakyat Malaysia sentiasa terjalin erat. 

Jika ada individu atau kelompok yang cuba memperlekehkan jasa bakti pengorbanan anggota keselamatan kita, tentu sahaja mereka itu agen atau kelompok yang perlu ditentang malah tak mustahil mereka termasuk dalam golongan penyokong kumpulan penceroboh. Maka wajar bagi kita selaku rakyat Malaysia yang bermaruah dan mempunyai jati diri menentang mereka, tidak di kira sama ada ketika berdepan mata atau sewaktu golongan itu cuba bermaharajalela dalam dunia maya sekali pun. 

Inilah masa dan detiknya yang akan menguji sejauh mana kuatnya semangat patriotisme kita semua, justeru itu seluruh rakyat tanpa mengira yang berada di Sabah, Sarawak mahupun di semenanjung, ayuh semua sama-sama mendukung dan menyokong pasukan keselamatan kita. Ingat!!! Bersatu Teguh Bercerai Roboh.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top