Nuffnang

MENDIANG MICHAEL SANGGUP BERHENTI KURSUS INSPEKTOR KESIHATAN UNTUK JADI POLIS



Serian, 4 Mac - Sanggup berhenti kursus inspektor kesihatan yang telah diikutinya selama empat bulan apabila permohonan untuk
menjadi polis diterima.

Minat ASP Michael Padel untuk berkhidmat dalam pasukan keselamatan negara merupakan impiannya sejak kecil dan akhirnya beliau gugur sebagai wira negara.

"Dia anak yang 'nakal' (lasak), suka kepada pekerjaan yang mencabar dan berminat menyertai pasukan keselamatan beruniform hingga sanggup berhenti dari kursus inspektor kesihatan yang telah berjalan selama empat bulan apabila
permohonan untuk memasuki polis diterima.

"Saya percaya mendiang mewarisi darah 'pahlawan' dari ayahnya, mendiang Padel Sano yang juga seorang tentera (meninggal pada tahun 1983)," kata ibu mendiang, Elizabeth Inat Rau.

Dengan penuh kesedihan, wanita berumur 62 tahun itu berkata pemergian mendiang yang merupakan anak bongsu dan lelaki tunggal dalam keluarga amat dirasai dan seluruh keluarga amat bersedih.

"Saya terima berita sedih ini 7 malam semalam (Ahad) dan masih terkejut," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bidayuh Tebakang dekat sini, hari ini.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi seluruh anggota keluarga, saudara-mara serta penduduk kampung apabila berita kematian Michael yang terkorban dalam serangan hendap oleh kumpulan penceroboh bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah diterima.

Sejak semalam rumah keluarga mendiang yang biasanya kosong dan hanya meriah pada perayaan Hari Gawai dan Hari Krismas, dipenuhi sanak-saudara dan penduduk yang bergotong-royong menyediakan persiapan ketibaan mayat mendiang yang dijangka tiba hari ini dan akan disemadikan pada Rabu.

Mendiang Michael yang telah berkhidmat sebagai polis lebih 10 tahun dan mula bertugas di Semporna setahun lepas, meninggalkan seorang isteri, Jabah Mingku, 35, yang berasal dari Simunjan, Sarawak dan seorang anak lelaki Macluie Michael berusia 11 tahun.

Turut terkorban dalam serangan hendap itu ialah Supt Ibrahim Lebar dari Bukit Aman, Sarjan Detektif Baharin Hamid dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau, Kpl Salam Togiran (IPD Tawau) dan L/Kpl Mohd Azrol Tukiran (PGA Tawau).

Kakak Sulung mendiang, Vivian, 42, berkata walaupun faham dengan tugas adiknya sebagai polis yang sentiasa berhadapan dengan situasi genting, namun melahirkan rasa sedih dan terkilan mendiang terkorban dalam insiden yang disifatkan sebagai 'di luar kuasa pihak polis'.

Bapa saudara mendiang Bincent Najuh Rimo, 68, berkata Michael telah menunjukkan minat untuk bertugas dalam pasukan beruniform sejak kecil.

"Mendiang memang berminat nak bekerja dalam pasukan beruniform sejak kecil. Saya seorang tentera, saya masih ingat masa kecil mendiang Michael pernah cakap nak pakai 'baju hijau' macam saya juga," katanya.

Bagi dua rakan sekampung mendiang, Moses Bijai, 35, dan Ah Cho, 43, berkata pemergian mendiang bukan sahaja kehilangan besar kepada keluarga malahan kepada seluruh penduduk kampung.

"Mendiang Michael ini sangat baik dan rapat dengan penduduk kampung. Kalau dia balik sini, dia mesti anjurkan aktiviti-aktiviti yang libatkan penduduk kampung. Penduduk kampung dan rakan-rakan umpamakan mendiang macam 'ketua', bila dia balik mesti ada saja aktiviti mendiang buat.

"Orang kampung memang pandang tinggi dengan mendiang dan sokong apa saja aktiviti yang dia buat. Contohnya masa dia balik sambutan Hari Gawai tahun lepas, dia adakan majlis BBQ, berkaraoke, live band, dan aktiviti sukan berakit, mendiang ajak semua penduduk kampung tak kira bangsa dan agama untuk turut
serta," kata mereka. - BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top