Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

KRISTIANISASI : 2 Pelancong Asing Cabar Kedaulatan Perlembagaan Negara!!!


Kebelakangan ini kita dihebohkan dengan cerita mengenai dua orang gadis warganegara Kanada dan New Zealand yang giat menyebarkan kefahaman tentang agama Kristian. Puteri Balqisha melalui laman media sosial telah memuat naik sebuah kisah mengenai kegiatan mereka yang berlaku di Selayang.

Ketika dia sedang makan tengah hari, dia telah didatangi oleh dua orang wanita. Pada mulanya, dia mengingatkan bahawa mereka ingin bertanya tentang Malaysia, sebaliknya mereka mula menceritakan tentang agama Kristian dan Yesus (Nabi Isa). Bahkan, mereka memujuk lagi dengan mengatakan bahawa nama-nama mereka dan juga Puteri Balqisha telah tertulis untuk masuk Syurga dan dijamin oleh Tuhan mereka.

Bukankah itu adalah kata-kata dan perbuatan yang boleh digolongkan dalam kegiatan mendakwah orang bukan Islam terhadap orang Islam? Tidak menghairankan langsung jika pendakwah Kristian ini menjadikan sasaran mereka orang Melayu Islam. Ini adalah berdasarkan bukti-bukti yang ada seperti penggunaan komik yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dan juga melalui pemilihan “mangsa” mereka secara selektif.

Sebagai penegasan kembali, Perkara 11(4) di dalam Perlembagaan Malaysia telahmelarang sebarang aktiviti penyebaran agama bukan Islam terhadap orang Islamdan ini seiring dengan Perlembagaan Malaysia yang mengangkat agama Islam sebagai Agama Persekutuan di bawah Perkara 3(1). Walaubagaimanapun, agama-agama lain bebas dianuti dan dipraktikkan oleh penganut-penganutnya. Ini tidak bermakna penyebaran agama lain selain Islam terhadap orang bukan Islam tidak dibenarkan sama sekali. Apa yang ingin ditegaskan di sini adalah larangan menyebarkan agama bukan Islam terhadap orang Islam.

Di Selangor pula, Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Dalam Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen) telah menetapkan kesalahan bagi seseorang yang memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan;

Seksyen 6 telah menjadi kesalahan jika mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam;

Seksyen 8 juga menetapkan kesalahan bagi membahagikan di tempat awam terbitan mengenai ugama bukan Islam kepada orang berugama Islam;

dan Seksyen 9 (1) juga melarang orang bukan Islam daripada menggunakan dalam penulisan atau ucapan, mana-mana daripada 25 perkataan yang terkandung dalam Bahagian 1 Jadual berkaitan agama bukan Islam.

Melihat kepada kaedah dan konteks perbuatan dua orang gadis ini, kita dapat rumuskan bahawa perbuatan mereka dapat dikategorikan sebagai cubaan atau gerakan mendukung kristianisasi. Modus operandi mereka yang menyasarkan orang Melayu Muslim di tempat awam dan berbekalkan bahan bacaan yang telah diterjemahkan kepada Bahasa Melayu adalah bertepatan dengan konteks cubaan atau gerakan mendukung dakyah Kristianisasi.

Kita dapat lihat dari insiden dan fakta tersebut bahawa, kedua-dua orang wanita itu telah melakukan kesalahan yang bercanggah dengan Seksyen 4 Enakmen tersebut dengan cubaan untuk mempengaruhi dan memujuk seseorang yang beragama Islam supaya mengubah keimanannya; mereka bertindak menunjukkan kelebihan agama Kristian serta menjanjikan Syurga buat penganutnya.

Mereka juga bersalah di bawah Seksyen 6 kerana mendekati orang Islam untuk memberi pendedahan terhadap agama mereka; perbuatan ini dilakukan dengan sengaja mendekati orang Islam di tempat terbuka atau awam.

Mereka juga telah melanggar Seksyen 8 Enakmen tersebut kerana membahagikan di tempat awam terbitan mengenai ugama bukan Islam; iaitu penggunaan buku komik berkaitan agama Kristian yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Apa yang menggusarkan kita adalah bukan sahaja kedua-dua gadis berbangsa asing ini tidak menghormati Perlembagaan negara kita iaitu sebuah negara Islam yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan tetapi mereka juga tidak mengendahkan larangan yang berkuat kuasa di negeri tersebut. Bukankah apabila mereka masuk ke negara kita, mereka dikehendaki untuk menghormati dan mematuhi segala peraturan dan perundangan di dalamnya?

Gerakan Kristianisasi merupakan agenda yang sangat membimbangkan kerana dapat menggugat pegangan dan aqidah seseorang Muslim. Sekali lagi diingatkan bahawa semua agama dapat dipraktikkan secara aman, tetapi apabila cubaan demi cubaan gerakan Kristianisasi dilakukan terhadap Melayu Muslim, ia adalah bercanggahan dengan apa yang telah termaktub di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan juga Enakmen negeri.

Oleh itu I-Peguam menyeru pihak berkuasa tempatan terutamanya JAKIM dan jabatan agama Islam negeri supaya memantau sebarang aktiviti yang menjurus ke arah atau mendokong gerakan dakyah Kristianisasi serta menguatkuasa undang-undang dan Enakmen negeri yang sedia ada demi memelihara kepentingan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

Memelihara akidah umat Islam tidak kurang penting daripada menjaga keamanan negara dari ancaman ekstrimis ISIS atau bahaya pengedaran dadah kepada masa depan negara.

Oleh Akmal Ghani & Danial Ariff Shaari (SUMBER)
Share this article

1 Komen:

  1. Cabaran utk para dai bekerjalah lebih keras dan ikhlas jika org kafir pun blh approach di kedai2 mkn jgn kita terlalu selesa berceramah di masjid-masjid. Mengharapkan elaun dan imbuhan.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top