KUALA LUMPUR, Rabu – Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula mengingatkan bangsa Melayu yang terlalu teringin untuk menjadi wakil rakyat agar tidak terpedaya dengan lamaran bakal dibuat oleh DAP, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau berkata, DAP dikatakan akan meletakkan calon Melayu di beberapa kerusi Parlimen pada PRU dalam usaha mereka menumbangkan UMNO, terutama Barisan Nasional (BN).
Katanya, tindakan DAP itu jelas sekadar sandiwara untuk menunjukkan kepada rakyat terutama orang Melayu bahawa parti itu bukannya rasis.
Tetapi katanya, barisan kepemimpinan tertinggi parti itu termasuk di peringkat negeri majoritinya dibarisi oleh pemimpin Cina, manakala orang Melayu sekadar menjadi tukang sorak.
“Saya berharap mana-mana pemimpin Melayu yang gila nak jadi YB, agar tidak mudah memasuki perangkap DAP kerana mereka sekadar dijadikan alat untuk memecahbelahkan orang Melayu,” tegasnya dalam entri terbaharu laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my
Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan bangsa Melayu supaya tidak tertipu dengan strategi parti rasis dan cauvinis DAP yang mendakwa mereka tidak anti-Melayu dan anti-Islam.
Malah, dakwaan itu jelas bertentangan dengan tindakan parti itu sebelum ini yang sering mempertikai dan mempersoalkan hak keistimewaan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, percaya DAP adalah parti cauvinis berasaskan kaum kerana kepemimpinan tertinggi parti itu tidak menggambarkan komposisi kaum di negara ini.
Syed Ali berkata, DAP lebih aggresif untuk mencari mana-mana calon Melayu yang bersedia menjadi ‘pak sanggup’ berikutan terputusnya hubungan politik parti itu dengan PAS.
Katanya, ketika PAS di dalam pakatan rakyat, DAP tidak berdepan laluan sukar untuk meraih undi pengundi Melayu di sesetengah kawasan kerana faktor sokongan dan kerjasama dengan PAS.
“Kini PAS sudah memutuskan perkongsian kuasa dengan DAP termasuk PKR dan parti Amanah, mahu tidak mahu parti itu terpaksa mencari mana-mana pemimpin politik Melayu untuk dijadikan pak sanggup,” katanya.
Syed Ali mengingatkan, orang Melayu yang bersedia menjadi ‘pak sanggup’ kepada percaturan politik DAP boleh diibaratkan sebagai petualang yang sengaja merosakkan masa depan bangsa.
“DAP sudah jelas dan terbukti sebuah parti yang hanya memperjuangkan kepentingan politik satu kaum, jadi bagaimana boleh ada orang Melayu yang tergamak menyertai parti itu,” katanya.
Beliau mempersolkan bagaimana sensitiviti sesetengah orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP sedangkan parti itu tidak pernah secara terbuka menjelaskan akan membela nasib orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Orang sebegini barangkali hanya memikirkan laba politik dan gila untuk diangkat sebagai wakil rakyat sehingga sanggup menjual harga diri dan maruah bangsa Melayu,” tegasnya. - SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....