Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad tampil menjawab 15 soalan anak Menteri Besar Johor, Akmal Saufi Mohamed Khaled yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Berikut adalah jawapan beliau berhubung derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri dan juga mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB):
1. Ketika Perdana Menteri menerima dana sejumlah RM2.6 bilion, adakah Datuk Seri sedia maklum sejumlah wang telah memasuki akaun Datuk Seri?
Jawapan: Bukan sahaja Perdana Menteri tahu tapi Bank Negara pun tahu.
2. Apakah bukti duit tersebut merupakan derma dan bukan duit berkaitan 1MDB mahupun pihak yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB?
Penyiasatan telah dijalankan. 1MDB pernah menafikan ada duitnya yang dimasukkan ke dalam akaun dana politik Perdana Menteri, Presiden UMNO ataupun Pengerusi Barisan Nasional (BN).
3. Adakah sumbangan tersebut merupakan sumbangan kepada kerajaan dan adakah untuk UMNO atau tujuan peribadi?
Untuk politik, iaitu UMNO dan BN.
4. Jika duit tersebut adalah sumbangan buat UMNO, adakah kepemimpinan UMNO terutamanya Majlis Tertinggi mengetahui tentang derma itu?
Selama saya dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri, soal derma tidak pernah dibangkit atau didedahkan kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi dan perhubungan negeri.
5. Jika Majlis Tertinggi UMNO tidak mengetahui, adakah ini bermaksud UMNO tidak akan mengetahui kewujudannya jika Datuk Seri tidak memaklumkan kewujudannya?
Sama seperti jawapan bagi soalan keempat.
6. Bilakah Datuk Seri bercadang untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi jika tidak didedahkan kepada Majlis Tertinggi?
Sama seperti jawapan bagi soalan keempat.
7. Andai kata derma tersebut merupakan derma peribadi kepada Datuk Seri dan bukan kepada UMNO, adakah Datuk Seri menerimanya ketika memegang jawatan sebagai salah seorang ahli jemaah menteri?
Perdana Menteri sudah menyatakan derma itu bukan untuk peribadi.
8. Bolehkah seorang menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri menerima derma apabila sedang memegang jawatan di dalam kerajaan?
Adakah Menteri Besar dilarang mencari dana politik?
9. Adakah duit derma tersebut perlu diisytiharkan kepada rakyat dan ahli Kabinet yang lain?
Sejak bila derma politik dan dana politik perlu didedah kepada semua pihak. Namun, keadaan ini boleh diubah dengan undang-undang supaya dana politik harus telus. Buat masa ini, tidak ada undang-undang lagi. Saya sokong diadakan kerangka undang-undang untuk dana politik sesuai dengan transformasi yang dicadangkan di bawah program transformasi kerajaan.
10. Adakah Gabenor Bank Negara dan cendekiawannya sedar akan pergerakan duit sejumlah RM2.6 bilion ke dalam negara?
Tentulah Bank Negara sedar dan tahu tentang pergerakan duit ini.
11. Adakah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedar mengenai sejumlah duit yang telah diterima Datuk Seri?
LHDN tentunya sedar kerana penderma tidak dikecualikan dari cukai pendapatan tetapi penerima tidak kena bayar cukai ke atas derma yang diterima.
12. Jika ya, adakah Datuk Seri telah membayar sebarang cukai pendapatan berdasarkan nilai duit tersebut?
Sama seperti jawapan bagi soalan ke-11
13. Adakah seorang Perdana Menteri boleh mendapat pengecualian cukai?
Elaun menteri, Perdana Menteri dan menteri besar tidak dikecualikan daripada cukai, yang dikecualikan cukai pendapatan ialah elaun wakil rakyat sahaja.
14. Jika Datuk Seri Najib mendapat pengecualian cukai, adakah pengecualian tersebut kepada gaji Perdana Menteri atau apa saja derma yang diterima beliau?
Derma politik tidak dikenakan cukai tetapi penderma tidak dikecualikan dari cukai. Hanya selepas 1 April 2015, derma lebih dari RM500,000 dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi tidak jelas sama ada derma politik dikecualikan.
15. Jika derma tersebut adalah bagi tujuan kerajaan, mengapa Kementerian Kewangan tidak mengetahui kewujudannya?
Tidak ada siapa pun yang mengatakan derma itu untuk tujuan kerajaan. Jadi tidak timbul soalan ini.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....