Nuffnang

PANASSS!!! Apa Hal Khairy Sound Suria KLCC? @KhairyKJ @suriaklcc #KLCC


Kera dihutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan!!! Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Khairy Jamaluddin melalui kritikan beliau terhadap pengurusan Suria KLCC yang semakin melampau dan mengetepikan semangat nasional.

Khairy mengingatkan pihak pengurusan Suria KLCC supaya mempunyai semangat nasional yang tinggi dalam memberi peluang kepada jenama tempatan. Tindakan pengurusan Suria KLCC memaksa satu jenama terkenal tempatan berpindah dari premis sedia ada ke premis lain yang tidak strategik membuktikan sikap tidak bersungguh mempromosi jenama Malaysia, kata Khairy Jamaluddin.

Mengulas saman yang dilaporkan semalam difailkan BritishIndia (Asia) Sdn Bhd (BritishIndia), Menteri Belia dan Sukan itu mengingatkan pihak pengurusan pusat beli belah itu supaya mempunyai semangat nasional yang tinggi dalam memberi peluang kepada jenama tempatan.

"Ini bukan kali pertama jenama Malaysia dipaksa pindah atau diusir keluar dari Suria KLCC.

"Sebelum ini kedai-kedai tempatan dipaksa tutup atau pindah oleh pengurusan Suria KLCC walaupun mereka berjaya membayar sewa yang dikenakan," tulisnya di laman Facebook miliknya semalam.

Pengasas BritishIndia, Pat Liew berkata, syarikat yang menyewa di Suria KLCC sejak 1998 itu diberi empat hari untuk menerima tawaran tanpa syarat sama ada berpindah ke lokasi lain atau diletakkan ke tempat lain.

Khairy berkata, beliau difahamkan, jenama itu diminta pindah ke premis tidak strategik berbanding lokasi sekarang bagi memberi laluan kepada butik jenama asing.

"Saya tiada masalah untuk kita mempelawa dan menggalakkan jenama asing membuka outlet mereka di Malaysia.

"Ini amat penting untuk kita menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat dengan pengalaman membeli-belah yang setanding dengan bandar raya besar yang lain," katanya.

Ketua Pemuda Umno itu berkata, beliau pasti pengurusan Suria KLCC mahu mempromosikan pusat membeli-belah mereka sebagai destinasi membeli-belah kelas dunia dengan jenama-jenama antarabangsa yang popular.

Tetapi, pada masa sama katanya, Suria KLCC juga perlu memainkan peranan mempromosikan jenama Malaysia.

"Kalau pergi ke Suria KLCC hari ini, jenama tempatan semakin kurang di premis-premis strategik. Kebanyakannya 'disorok' di lokasi-lokasi pinggiran.

"Berita terbaru ini mengesahkan trend pengurusan Suria KLCC yang nampak tidak bersungguh mempromosikan jenama Malaysia," katanya.

Beliau berkata, sebelum dilantik sebagai menteri, beliau pernah menjadi pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan menerima banyak aduan daripada usahawan tempatan yang tidak dilayan pengurusan Suria KLCC.

"Usahawan ini tidak minta sewaan diberi secara percuma. Mereka sanggup bayar sewa Suria KLCC yang tinggi. Tetapi oleh kerana mereka tidak menjual jenama antarabangsa, mereka tidak dipandang oleh Suria KLCC," katanya.

Menyedari Suria KLCC dimiliki Petronas, Khairy berkata beliau percaya pengurusan tertinggi Petronas mempunyai semangat nasional yang tinggi.

Tetapi mungkin semangat tersebut tidak dikongsi pengurusan Suria KLCC, katanya.

"Mungkin pengurusan Suria KLCC perlu diingat yang pusat membeli-belah tersebut bukan hanya dibina untuk membawa jenama antarabangsa tetapi juga untuk menyediakan ruang kepada jenama Malaysia untuk bertapak dan bersaing dengan kedai dan butik dari luar negara.

"Apa salahnya mengimbangi butik dan kedai antarabangsa dengan jenama tempatan?" soalnya. – 19 Februari, 2015. Malaysian Insider.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top