Seorang Pegawai Tadbir di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan meminta dan cuba memperoleh layanan seks sebagai dorongan untuk membantu meluluskan permohonan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin di negeri ini.
Bagi pertuduhan pertama, Heris Saad, 56, didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses permohonan rumah PPRT di Kentucky Fried Chicken, Jalan Limbong Kapal di sini pada 10 November lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Heris juga dituduh cuba memperoleh suapan berbentuk layanan seks daripada seorang ibu tunggal sebagai dorongan untuk tujuan sama pada 13 November lalu di Hotel Royale Jalan Putra di sini kira-kira jam 2.45 petang.
Bagi pertuduhan pertama dia didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Dia juga didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan kedua.
Tertuduh, yang diwakili peguam Amir Faliq Mohd Jamil, mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Hakim Azhar Mokhtar menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes dan penyediaan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syahrul Khuzaimi Amiruddin.
– Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....