Nuffnang

GAMBAR : Kemalangan Kereta Perisai Korbankan 2 Anggota, 2 Parah!!!



Berita sedih buat pasukan keselamatan negara pada Ramadhan kali ini.

Dua anggota tentera masing-masing berpangkat Sarjan dan Koperal maut manakala dua lagi parah apabila kereta perisai yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Kilometer 232.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Kuala Kangsar hari ini.


Sarjan Bayong anak Burma mati di tempat kejadian manakala Koperal Che Mohd Patanah Che Ismail meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

Dua anggota tentera yang parah, iaitu Koperal Sharifuddin Abdullah dan Lans Koperal Freaddy anak Barlabas, menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Ismail Darus berkata pihaknya menerima panggilan berhubung nahas itu, yang berlaku pukul 6.30 petang, kira-kira 15 minit kemudian dan lapan anggota dikejar ke tempat kejadian.

"Setiba di tempat kejadian, kita dapati sebuah kereta perisai berada dalam keadaan terbalik dan ada mangsa tersepit. Kesemua mangsa telah dikeluarkan anggota tentera yang berkonvoi bersama-sama," katanya ketika dihubungi di sini.

Ismail berkata kereta perisai itu dipercayai terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya sebelum terbalik.

"Apabila kita lihat kesemua mangsa telah dikeluarkan, kita segera membuat kawalan dan memastikan tumpahan minyak yang berlaku tidak mencetuskan kejadian lebih buruk.

"Apabila mangsa dibawa ke hospital, kita terus lakukan pembersihan kawasan kejadian," katanya.

Beliau juga berkata kereta perisai itu sedang berkonvoi dari Sungai Petani, Kedah ke Gemas, Negeri Sembilan bersama-sama kenderaan lain pasukan tentera.

"Kereta perisai yang terlibat dalam kemalangan itu diuruskan pihak tentera sendiri," katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Ghuzlan Salleh, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA














AL-FATIHAH BAGI MANGSA YANG BERAGAMA ISLAM
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top