Nuffnang

Krisis Air Selangor, Menteri Bidas Sikap Kerajaan Negeri


PUTRAJAYA, 31 Jan – Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air hari ini membidas kerajaan Selangor yang dilihat lebih berminat mempolitikkan isu bekalan air daripada membantu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelesaikan masalah berkaitan bekalan air.
Menterinya Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata tindakan Selangor membuat pengumuman mengenai punca gangguan bekalan air baru-baru ini adalah tidak wajar dan membelakangkan badan kawal selia perkhidmatan air negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Beliau berkata kerajaan negeri Selangor seharusnya menyerahkan tanggungjawab membuat siasatan mengenai punca sebenar kejadian kepada SPAN, dan menumpukan perhatian bagi membantu Syabas, yang 30 peratus dimiliki kerajaan negeri.
“Kerajaan persekutuan (sebaliknya), dan bukan Selangor; yang mengarahkan Syabas melaksanakan serta-merta, kerja-kerja pemasangan paip pintasan untuk menyelesaikan gangguan bekalan yang dihadapi penduduk beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini,” katanya semasa membacakan kenyataan media di sini.
Katanya kerajaan pusat juga mengarahkan Syabas melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Rumah Pam Wangsa Maju bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air di masa hadapan, kerana kerja pembinaan rumah pam baru oleh kerajaan negeri menggunakan pinjaman kerajaan persekutuan hanya akan siap pada tahun 2015.
Peter Chin berkata kerajaan pusat menerusi SPAN juga sedang meneliti beberapa langkah mitigasi tambahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko gangguan bekalan air yang serius sementara menunggu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 disiapkan.
Beliau berkata kerajaan negeri juga enggan memberi kebenaran bagi membaiki bumbung kolam air di Loji Rawatan Air Sungai Langat yang berada dalam keadaan kritikal, walaupun peruntukannya sudah disediakan Syabas.
“Sekiranya bumbung kolam air itu runtuh, sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk sekitar Ulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur akan mengalami ganguan bekalan air yang boleh berterusan mencecah berbulan lamanya,” katanya.
Menurutnya situasi ini merupakan sebahagian daripada halangan yang dihadapi kerajaan pusat ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air mencukupi tanpa ganguan.
“Oleh itu saya serahkan kepada rakyat utnuk menilai sama ada kerajaan negeri Selangor benar-benar serius untuk menyelesaikan masalah rakyat atau lebih berminat untuk mempolitikkan isu air ini dengan mengaitkan masalah ini dengan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor,” katanya.
Share this article

0 Komen:

Catat Komen

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top