Nuffnang

MANTAN TKP SPRM : Lantik Panel Khas Timbang Syor Hasil Siasatan


DATO Sri Zakaria Jaffar yang bersara sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengurusan dan Profesionalisme, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesyorkan agar Peguam Negara membentuk sebuah panel yang terdiri daripada wakil pelbagai badan untuk mempertimbangkan hasil siasatan yang bakal dikemukakan oleh suruhanjaya itu berkenaan dengan kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap kes berprofil tinggi yang sedang disiasat oleh SPRM.

"Bagi pihak Peguam Negara, dicadangkan supaya melantik satu panel yang terdiri daripada seorang dari bekas Peguam Negara, seorang bekas hakim dan seorang wakil dari Majlis Peguam untuk mengkaji hasil siasatan kes ini," kata beliau ketika berucap pada Majlis Paluan Berundur sempena persaraannya di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Ia antara beberapa perkara disyorkan oleh beliau.

Beliau yang bersara selepas 33 tahun berkhidmat berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana pihak yang layak untuk bertindak membuat keputusan sama ada ada kes atau tidak untuk didakwa di mahkamah. 

"Perkara ini pernah dilakukan semasa bekas Peguam Negara disiasat oleh SPRM empat tahun yang lalu. Saya yakin Ketua Pesuruhjaya akan bersetuju kerana beliau yang telah mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kes yang melibatkan beliau dikaji oleh tiga orang hakim. 

“Kes yang dimaksudkan juga dibentangkan dalam mesyuarat khas yang dihadiri oleh ahli-ahli lembaga dan jawatankuasa (panel bebas) yang memantau perjalanan SPRM," kata beliau merujuk kepada lima badan bebas yang dibentuk untuk memantau SPRM sejak tahun 2009.

Selain itu, beliau juga mengesyorkan agar pasukan petugas khas yang dibentuk, melibatkan SPRM, PDRM dan Bank Negara Malaysia, sebelum ini diaktifkan semula bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan berkesan. 

"Baru-baru Jabatan Peguam Negara dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, pasukan petugas khas tidak dimansuhkan atau dibubarkan. Tetapi saya difahamkan pasukan petugas ini tidak bermesyuarat sejak (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Abu Kassim (Mohamed) kembali dari luar negara mendapatkan maklumat bagi memperkukuhkan siasatan akhir Julai 2015," katanya lagi.

Tan Sri Abu Kassim juga hadir pada majlis hari ini.

Dato Sri Zakaria berkata, pengharapan rakyat adalah ke atas SPRM dan titah Tuanku Raja-raja Melayu minggu lalu adalah amanah yang teramat penting mesti ditunaikan sepenuhnya. 

"Saya penuh yakin Tan Sri Abu Kassim bersama (Timbalannya) Dato Sri Shukri (Abdull) serta pegawai-pegawai SPRM tidak akan mengabaikan pengharapan dan amanah ini," kata beliau yang merupakan individu yang pertama menyandang jawatan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) iaitu sejak 2010.

Kata beliau, "baru-baru ini kita semua telah mengikuti pendirian yang dibuat oleh Majlis Raja-raja Melayu berhubung isu 1MDB."

"Walaupun SPRM tidak siasat kes 1MDB, tetapi mesej yang disampaikan oleh Majlis Raja-raja Melayu juga merujuk kepada kes SRC International dan dana RM2.6 bilion, yang bersangkut paut dengan 1MDB secara langsung dan secara tidak langsung. Tuanku Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat. 

"Selain itu, Tuanku Raja-raja Melayu juga mahu badan-badan penguatkuasaan serta institusi-institusi kawal selia seperti SPRM menyempurnakan amanah Ilahi dan kepercayaan rakyat secara telus, berkredibiliti dan berintegriti," kata beliau sambil menambah, "bagi saya kenyataan Majlis Raja-raja Melayu ini juga satu detik bersejarah."

"Kita ada sokongan rakyat. Kita ada sokongan Majlis Raja-raja Melayu. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak mengganggu siasatan SPRM.  

"Saya menghargai ketegasan yang dibuat oleh Tan Sri Ketua Pesuruhjaya di Dewan Tun Ismail ini pada 1 Oktober 2015. Saya yakin Tan Sri Ketua Pesuruhjaya akan terus menguatkan semangat untuk memastikan siasatan dijalankan dengan baik yang mungkin sebagaimana diharapkan oleh raja dan rakyat," tambah beliau.

Dato Sri Zakaria yang mempunyai pengalaman 24 tahun dalam bidang siasatan menarik perhatian bahawa beliau yakin SPRM tidak akan menghantar kes yang sedang disiasat tanpa mendapat keterangan daripada tiga orang yang sedang dicari berhubung siasatan kes SRC International.

"Kita tidak mahu memberi justifikasi kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk menolak cadangan penguatkuasaan sekiranya kita yakin terdapat kesalahan telah dilakukan oleh orang yang disiasat, hanya atau kerana ketiadaan keterangan mereka. 

"Sejarah siasatan kita seperti dalam kes Perwaja, kes Polimer, dan beberapa kes yang lain menunjukkan bahawa kita mempunyai keupayaan untuk mendapatkan kerjasama dari luar negara walaupun mengambil masa yang lama," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan keperluan undang-undang Malaysia, semua bantuan dan kerjasama dari luar negara yang hendak dipohon oleh SPRM perlu melalui kebenaran Jabatan Peguam Negara iaitu pemohonan Mutual Legal Assistance (MLA). 

"Oleh yang demikian, saya memohon Jabatan Peguam Negara dapat membantu SPRM sama seperti masa-masa lalu," kata beliau.

Oleh itu, katanya, beliau juga mencadangkan supaya sebelum syor siasatan kes ini  dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, SPRM membentangkan penemuan dan hasil siasatan kepada pihak panel bebas yang memantau perjalanan dan kerja SPRM terlebih dahulu.
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top