Nuffnang

VIDEO : Rompakan Bersenjata Di Terengganu, Seorang Ditembak!!




BESUT - Seorang lelaki nyaris maut setelah ditembak seorang penjenayah dalam satu kejadian samun di sebuah kedai telefon bimbit di Kampung Seberang Kastam dekat Kuala Besut di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nor Hasmadi Mohd Noor, 29, terkena tembakan di bahagian perut apabila salah seorang daripada dua penjenayah terbabit melepaskan tembakan ke arahnya.

Penjenayah itu dipercayai bertindak demikian dalam usaha melarikan diri selepas motosikal yang dinaiki mereka dipegang mangsa sebaik merompak kedai telefon terbabit.

Menurut Nor Hasmadi, sebelum kejadian dia yang berada di dalam kedainya tidak jauh dari tempat kejadian telah melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai telefon itu.

“Kira-kira jam 2.55 petang, saya tak sedap hati apabila nampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan meninggalkan motosikal dalam keadaan enjin dihidupkan, manakala tiada nombor pendaftaran dipamerkan di bahagian belakang motosikal.

“Saya hubungi salah seorang pekerja di kedai telefon itu, namun panggilan saya tidak dijawab menyebabkan saya tambah mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.

Pegang motosikal suspek

Nor Hasmadi berkata, kemudian dia bersama seorang rakan pergi ke arah kedai terbabit dan ketika menghampiri tempat kejadian, dua suspek berkenaan keluar sambil membimbit bungkusan besar dengan memakai topi keledar merah.

Katanya, suspek terus menaiki motosikal dan ketika itu dia tidak tahu lelaki itu memiliki pistol lalu menghampiri mereka.

“Ketika saya pegang motosikal suspek, salah seorang daripada mereka marah saya dengan mengatakan ‘mu jangan campur hal aku’ dan pada masa sama rakan saya yang berada berdekatan memberitahu suspek ada barang (pistol).

“Saya terus bertindak merapati suspek dan salah seorang mengeluarkan pistol lalu melepaskan tembakan ke arah saya,” katanya.

Bagaimanapun Nor Hasmadi bernasib baik kerana tembakan itu tidak tepat mengenai perutnya, sebaliknya terkena sisi menyebabkan calar kecil sahaja.

Dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan termasuk mangsa lain dalam kejadian tersebut.

Polis giat buru suspek

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi berkata, kejadian samun tersebut berlaku ketika tiga pekerja wanita di kedai telefon itu berada di kaunter dan telah didatangi dua suspek dipercayai bersenjatakan sepucuk pistol meluru masuk ke dalam kedai.

Menurutnya, suspek dikatakan mengarahkan pekerja memasukkan kesemua telefon bimbit yang dipamerkan di rak kaca ke dalam beg plastik yang dibawa.

“Sejurus kemudian suspek melarikan diri dengan motosikal yang diletakkan di hadapan kedai dan kejadian dilihat oleh seorang lelaki yang datang membantu namun, dia diacukan pistol dan suspek melepaskan satu tembakan ke arah mangsa.

“Mangsa hanya mengalami luka kecil di perut dan dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, mangsa tidak mengecam wajah suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dan memburu kedua-dua penjenayah terbabit.

Katanya, jumlah kerugian dialami pemilik kedai tersebut masih dalam siasatan, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api.




Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top