Selamat Hari Malaysia
Insiden Lahad Datu, Sabah yang menggemparkan negara awal tahun ini menyedarkan semua betapa pentingnya kedaulatan negara dipelihara.
Ancaman boleh berlaku pada bila-bila masa apabila adanya peluang tetapi jika negara sudah bersedia bersatu dan rakyat sedar akan faktor penting itu, apa jua pun ancaman dan cabaran tidak akan menggugat keharmonian yang wujud.
"Banyak boleh dipelajari daripada insiden Lahad Datu dan ia telah menjadi satu kayu ukur sejauh manakah integrasi Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Ghapa Harun.
Beliau mengakui bahawa insiden itu walaupun satu detik hitam bagi negara, ia merupakan iktibar kepada semua.
Satu Suara
Selain menyelami erti kemerdekaan dan pemangkin meledakkan semangat patriotisme, ia juga sebagai medan menyaksikan keutuhan perpaduan rakyat yang bersatu 'suara' di bawah payung Malaysia bangkit mempertahankan kedaulatan negara.
Boleh diumpamakan adik beradik, hubungan terjalin antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sejak penggabungan Malaysia pada 16 September 1963 cukup besar kesannya.
Menurut Abdul Ghapa, tanpa mengira fahaman dan kecenderungan politik, rakyat berbilang kaum rasa tercabar dengan insiden Lahad Datu.
Mereka bangkit mempersoalkan kewajaran pencerobohan dan tidak mahu membiarkan Sabah terlepas begitu sahaja dan diperintah pengganas.
Rasa marah semakin menggelojak apabila tragedi hitam itu turut meragut nyawa lapan anggota polis dan dua tentera dalam Operasi Daulat serta mencederakan mereka yang sudah meninggal.
Berpegang teguh kepada semangat perpaduan walaupun terpisah oleh Laut China Selatan dari sudut geografinya, rakyat berbilang kaum mempersoalkan akan ke manakah perginya nilai kemanusiaan kumpulan penceroboh itu sehingga sanggup bertindak sedemikian rupa.
"Mereka marah, rasa terancam seolah-olah rumah sendiri telah diceroboh orang. Rasa marah itu adalah tanda baik kerana itu membuktikan bahawa rakyat kita masih patriotik dan bersatu apabila kedaulatan negara tercabar," katanya.
Simpati Kukuh 1Malaysia
Remuk hati, terasa begitu hiba dan simpati menyelubungi diri rakyat Malaysia meratapi pemergian wira negara yang gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Ada sehingga mengalirkan air mata tatkala melihat wajah sugul isteri bersama anak-anak kecil yang tidak tahu akan ertinya, menanti setia ketibaan jenazah suami yang gugur di perbatasan.
Mereka tidak ada senjata untuk turut serta berjuang tetapi meluahkannya dalam pelbagai cara sebagai sokongan padu kepada rakyat Sabah.
Ada yang mengutip dana, bersolat hajat, menerbitkan drama dan dokumentari berkisar mengenai insiden itu, bertafakur sebelum memulakan sesuatu program serta memastikan bekalan makanan bagi penduduk yang terpaksa berpindah ke penempatan sementara sentiasa mencukupi.
"Apabila berlakunya insiden yang merupakan satu pencabulan kedaulatan Malaysia, sudah tidak ada beza dan jurang yang kita ini orang Sabah, Sarawak mahupun Semenanjung," kata Abdul Ghapa.
Perdana Menteri sendiri turut meluangkan masa bertemu keluarga anggota terkorban bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor jelas memperlihatkan timbang rasa dan penghargaan kepada wira negara.
Semangat 1Malaysia
Selain itu, insiden Lahad Datu juga menjadi medan menyerlahkan penerimaan rakyat Sabah, Sarawak dan Semenanjung apabila saling bekerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain.
Kesepaduan kerjasama digambarkan menerusi penghantaran tentera dari Semenanjung, petugas media dan agensi berkaitan diterima baik oleh penduduk sana.
Ini membuktikan bahawa penduduk Sabah bukanlah sebuah negeri asing bagi penduduk Semenanjung. Dengan jalinan kebersamaan ini tanpa adanya sempadan kaum, mengukuhkan lagi semangat 1Malaysia.
Usaha Bersama
Dalam aspek keselamatan, tiada jurang pemisah mempertahankan kedaulatan negara, melindungi keselamatan orang awam.
Najib sendiri menegaskan bahawa Sabah akan terus dipertahankan sebagai sebuah negeri dalam Malaysia dan tiada pihak yang patut mempertikaikan kedudukan mutlak itu.
Bagi memastikan Sabah tidak dirampas pengganas, kawalan keselamatan telah dipertingkatkan demi kesejahteraan penduduk Sabah. Ini termasuklah penghantaran tentera dari Semenanjung dan mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).
ESSCOM, merupakan agensi penguatkuasaan bagi Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah.
Jasamu Dikenang
Tragedi berdarah ini selain menyaksikan penyatuan suara, ia juga membuka mata masyarakat akan kesedaran peranan anggota keselamatan dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara, kata Abdul Ghapa.
Ada segelintir berpandangan peranan tentera hari ini dilihat seperti tiada kepentingan, sekadar beraksi di pembarisan, pameran, ekspo serta pemberian bantuan.
"Orang ramai leka apabila berada dalam keadaan aman, tiada ancaman. Pasukan ini hendaklah sentiasa diberi penghargaan oleh masyarakat dan dianggap sebagai satu unsur penting dalam kewujudan sesebuah negara," katanya. - Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....