Nuffnang

KEBANGSATAN AIR ASIA - TONY DAN AZRAN TOLONG JAWAB!!!




Membaca kisah seorang ibu, Izan Suhaila Mohd Ali dan anak kecilnya yang baru berusia 14 bulan yang dilarang oleh kakitangan Air Asia dari menaiki penerbangan pulang ke Malaysia membuatkan mata penulis bergenang seketika.

Di tinggalkan di bumi asing bersama bayi kecil adalah satu perkara yang cukup tragis sekali untuk dikenang, ia amat zalim dan tak sepatutnya berlaku sedemikian tapi ia telah berlaku.

Tak sangka sifat kemanusiaan sudah semakin hilang disebabkan kepentingan perniagaan dan keuntungan, tiada tolak ansur dan budi bicara langsung.

Kejadian ini menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas Air Asia. Setakat mendesak pihak terbabit meminta maaf sahaja tidak menjamin ianya tidak akan berulang.

Lagi pun tak mustahil banyak lagi kes sebegini yang pernah terjadi tapi tidak mendapat perhatian umum kerana ia tidak terdedah di media.

Bagi yang belum membacanya, di bawah penulis copy paste semula artikel dari AgendaDaily disertakan sekali dengan tulisan dari wartawan TV3 Mazidul Akmar Sidik.

Selepas selesai membacanya, bayangkan ibu itu adalah isteri anda atau anda sendiri, dan bayi kecil yang mungkin baru dapat bertatih itu adalah anak anda.

*****


Ketika bos AirAsia X Azran Osman Rani yang dibelasah depan belakang dalam soal ‘kemelayuannya’, rakyat Malaysia pada Ahad dikejutkan dengan satu kejadian malang penumpang syarikat penerbangan murah tersebut.

Ini bukan konspirasi, tapi kisah benar menimpa seorang wanita rakyat Malaysia bersama bayinya yang terdampar dibumi asing berikutan sikap kurang mesra pelanggan syarikat penerbangan Air Asia di Vietnam malam Sabtu lalu.

Untuk rekod, selepas ding dong dan segala macam masalah, wanita malang itu bersama anaknya dibawa pulang oleh penerbangan MAS petang Ahad.

Siapa tahu mungkin kisah begini sudah selalu berlaku cuma semalam di Ho Chin Min, kebetulan ada wartawan TV3 Mazidul Akmar Sidik yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri apa yang berlaku dan melaporkannya dalam blog beliau.

Kisah tersebut kemudian tersebar di facebook dan twitter. Sepantas kilat, berbagai reaksi kemarahan rakyat Malaysia dihemburkan kepada pengurusan Air Asia.

Bosnya Tan Sri Tony Fernandes dalam satu kenyataan di twitter kata beliau kini berada di Jepun dan sedang meneliti laporan kejadian. Manakala beliau mengarahkan pekerjanya untuk mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian di Vietnam itu.

Ceritanya mudah, ibu muda berusia 36 tahun, Izan Suhaila Mohd Ali bersama bayinya Maryam Sofea Mohd Reza, 14 bulan bersama rombongan telah pergi bercuti di Vietnam menggunakan perkhidmatan Air Asia.

Bayi kecil itu demam campak sebelum itu, tapi doktor di Malaysia kata tidak ada masalah dan boleh pergi bercuti sejak Rabu 15 Mei lalu.

Cuma ketika hendak pulang, mereka ditahan oleh kakitangan Air Asia dan diberitahu tidak boleh naik kapal terbang tersebut selain kena tunggu di situ selama lima hari lagi.

Ada doktor yang kebetulan dok tunggu penerbangan yang sama periksa bayi malang itu dan dapati ia tidak demam lagi, cuma kesan hitam akibat campak saja yang kelihatan.

Beliau dan bayinya dipisahkan dari kumpulan, tanpa beg baju dan barang keperluan lain yang telah masuk dalam pesawat.

Kasihan melihat kesusahan yang dihadapi oleh si ibu dan anak, orang ramai pakat-pakat hulur duit untuk pasangan tersebut.

Berdasarkan cerita yang dipetik dari blog Mazidul, kakaitangan Air Asia yang mengiringi pasangan itu ke stesen teksi sambil meminta maaf.

Dan wanita itu serta anaknya terpaksa pergi beli baju sendiri selain balik ke hotel yang pernah mereka huni.

Cuma hari ini, cerita yang kecil sudah jadi besar, sampaikan melibatkan pihak kedutaan dan wakil tourist Malaysia juga syarikat penerbangan MAS.

Menurut Mazidul, kakitangan MAS telah ke hotel tersebut dan membawa keluarga malang itu ke hospital untuk pemeriksaan.

Dan pada petang Ahad, ibu dan anak itu sudah selamat mendarat di KLIA menggunakan pesawat MAS.

Di bawah kami siarkan semula cerita yang dipetik dari blog Mazidul.

IBU DAN BAYI SENGSARA DI VIETNAM : AIR ASIA USAH LEPAS TANGAN

Kira-kira jam 8.45 malam tadi (Sabtu), mengikut waktu tempatan di Vietnam, saya terlihat penumpang pesawat AK 1455, warga Malaysia dihampiri oleh kakitangan lelaki Air Asia. Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 9 malam ( 10 malam waktu Malaysia ).

Setelah beberapa minit berlalu, perlahan saya kemudian mendekati kumpulan penumpang itu dan mengajukan soalan.

“Ada masalah apa puan?”

“Kakitangan Air Asia ini berkata, anak saya dilarang menaiki pesawat kerana dia demam campak. Kami sekeluarga, dua belas orang, datang ke Ho Chi Minh pada hari Rabu lalu. Kami memang ada membawa bekalan ubat demam, jadi bagi kepada dia kalau dia demam. Dia sudah tidak demam lagi,” ujar ibu bayi, Izan Suhaila Mohd Ali, 36 tahun.

“The mother and the baby had to stay here for five days. They cannot board the aircraft,” arah kakitangan Vietnam Air Asia berdiri di sebelah saya.

Mereka bimbang sekiranya deman terbabit menjangkiti penumpang lain.

Menurut ahli keluarga Izan, semua beg pakaian mereka telah dimasukkan ke dalam pesawat. Setelah bercuti selama empat hari, kandungan beg bercampur aduk dan barangan keperluan asas Izan dan anaknya, Maryam sukar dipisahkan.

Bayi, Maryam Sofea Mohd Reza, berusia 14 bulan.

Lalu saya terangkan keadaan sebenar kepada kakitangan syarikat penerbangan tambang murah itu.

“So, all twelve had to stay then ,” balasnya.

“I understand the situation, law is a law but don’t forget, these are human beings not dogs or cats. If she were going to stay here for another five days, she and the baby need cloth to wear. Please refer this matter to your superior again before making further decision,” balas saya.

Tidak lama kemudian, muncul seorang penumpang MELAYU memperkenalkan dirinya sebagai pegawai perubatan ( medical doctor ) datang menghampiri dan menyentuh tubuh Maryam.

“Dia kena chicken pox tetapi sudah tidak demam lagi. Hanya tinggal kesan tompokan hitam sahaja di tubuh,” ujar doktor terbabit.

Namun kenyataan beliau tidak dihiraukan oleh petugas di situ.

Beberapa minit kemudian tampil pula jururawat wanita tempatan dan pantas menyelitkan jangka suhu di bawah ketiak bayi itu sebanyak dua kali.

“Apabila kita bertanya, berapakah suhu badan Maryam, dia membisu,” ujar kakak Izan, Norhamiza.

Saya perhatikan, airmata jernih mula bergenang di bawah dua kelopak mata Izan sambil dia terus mendakap erat anaknya mengalami sindrom down.

Barangkali dia bak tidak mampu mempercayai cabaran didepaninya tatkala itu amat getir. Tambahan pula suami tersayang tidak bersamanya untuk mengharung detik hitam tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayatnya itu.

Keputusan muktamat telah dibuat oleh kakitangan Air Asia berpenampilan bongkak biarpun tidak dipersetujui ramai penumpang lain.

“The captain doesn’t allow this baby on board,” ujar pegawai sama kepada kami.

Warga Malaysia berkunjung ke bandaraya Ho Chi Minh untuk membeli-belah. Lazimnya, ramai tidak membawa baki wang tunai tatkala pulang ke Malaysia.

Di saat perpisahan hampir menjenguk, Izan dipeluk erat oleh ahli keluarganya. Mereka juga tidak berupaya menahan deraian airmata tumpah di pipi.

“Ibu ini diarahkan untuk tinggal bersama anaknya selama lima hari lagi di sini. Barangkali dia tidak mempunyaii wang tunai mencukupi. Kalau hati terbuka untuk menghulurkan bantuan, dipersilakan,” kata saya spontan kepada semua penumpang sedang beratur untuk menaiki pesawat.

Tidak semena-mena, warga Malaysia pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India, tergesa-gesa, tanpa berfikir panang, mengeluarkan matawang pelbagai jenis dari poket serta beg duit mereka dan pantas menghulurkan kepada Izan.

Hebat sungguh warga Malaysia. Memori sebegitu bakal terus terpahat di minda saya, selagi hayat dikandung badan.

Saya berasa amat kagum.

Biarpun mereka tidak mengenali Izan dan keluarga, fakta itu diketepikan. Saya melihat lelaki Cina bertubuh tinggi menyeluk saku lalu menghulurkan sejumlah wang kepada Izan, berdiri di elevator.

Kakitangan Air Asia bertugas bak tidak sabar untuk membawa Izan, Maryam dan dua anak buahnya keluar daripada kawasan itu.

Sebelum beredar, Izan sempat dipeluk oleh beberapa wanita Melayu tidak pernah dikenalinya. Sebilangan wanita lain, berlari mendapatkan ibu bertugas sebagai kakitangan Hong Leong Bank itu dan mendermakan wang tunai.

Saya berasa amat terharu menyaksikan detik memilukan itu tetapi gagal untuk tidak mengizinkan kejadian itu berlaku.

Untuk rekod, beberapa petugas, lelaki dan perempuan kelihatan berdiri di kaunter Air Asia. Gambar mereka saya rakamkan. Siapapun sekali mereka, kumpulan itu dilihat mewakili syarikat penerbangan terbabit.

Andai kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes tiba-tiba berkebetulan muncul di lokasi itu, pasti saya tidak segan untuk merayu …

“Tan Sri, tolong hulurkanlah sedikit bantuan. Mungkin kakitangan Air Asia boleh mencarikan hotel untuk mereka menginap kerana Vietnam, negara asing bagi mereka. Lagipun kini hampir jam 10 malam. Pengguna perkhidmatan syarikat Tan Sri itu juga BUKAN orang kaya dan ternama seperti Tan Sri. Apapun, hakikatnya, Izan dan anaknya adalah pelanggan Air Asia dan mereka telah membayar tambang untuk pulang. Jika penumpang tidak mengenali mereka, sudi membantu, inikan pula Tan Sri, individu tersohor di mata rakyat Malaysia”

Malangnya saya tidak berpeluang bersemuka dan meluahkan rayuan itu kepada Tony tatkala beliau diperlukan.

Saya bukan Richard Branson and I don’t wear skirt.

Lupakan Tony tetapi saya berharap selepas membaca entri ini, beliau dan kakitangan Air Asia akan mengambil tindakan segera menangani kesengaraaan bakal ditempuh penumpang malang pesawat Air Asia terbabit.

Tony, just like what I have told your staff in Vietnam, Izan and Maryam are humans.

Sekitar jam 9.30 malam, kami semua hanya mampu menjadi penonton ketika ibu dan anak itu diarahkan keluar dari pintu 18, lapangan terbang.

Pesawat AK 1455 terbang pada kira-kira jam 10 malam waktu Vietnam, terlewat kira-kira sejam berbanding masa sebenar. Lebih MENAKJUBKAN, tiada sebarang permohonan maaf diumumkan kepada penumpang berikutan kelewatan berlaku.

Sebaik menaiki pesawat, saya menceritakan butiran kejadian kepada ketua pramugari, Kasturi, sedang berdiri berhampiran pintu utama pesawat. Melihat reaksi wajahnya gadis berpakaian serba merah itu, saya dapat menjangkakan kes itu terlalu asing bagi dirinya.

“Tolong maklumkan kepada kapten dan ground staff Air Asia di LCCT supaya Izan dapat dibantu,” pinta saya.

Setelah menjamah nasi lemak tidak berapa enak dipesan, saya sekali lagi kembali menghampiri Kasturi.

“Saya dimaklumkan, ibu dan anak itu telah dibawa ke hospital oleh ground staff kita,” kata gadis tinggi lampai itu.

“Adakah kapten mengetahui kejadian itu? Kerana ground staff tadi memaklumkan saya dan keluarga Izan, kapten tidak membenarkan Mariam menaiki pesawat,” soal saya.

“Kapten hanya tahu sebentar tadi setelah saya maklumkan,” akui Kasturi.

Kapten bertugas, Ariffin Bakar.

Sebenarnya, tiada individu bijak gemar bertindak melanggar undang-undang. Jika kehadiran Maryam di dalam pesawat ternyata membahayakan nyawa semua penumpang, molek jika bayi itu dirawat dengan kadar segera di hospital di Ho Chi Minh terlebih dahulu.

Sewaktu tiba di LCCT, saya mendapatkan berita terkini melalui Norhamiza dan ahli keluarga lain termasuk ibunya, Zaiton Baharom, 71 tahun.

“Memang kami terkejut,” komen Zaiton terkilan.

“Tadi sewaktu saya hubungi melalui telefon, Izan berkata, kakitangan Air Asia itu menghantar mereka sampai ke stesyen teksi dan berkata, I am sorry. Izan kemudian terpaksa pergi membelikan baju Mariam dan dua pasang baju dia sendiri kemudian pergi balik ke May Flower Hotel, tempat kami menginap sebelum ini. Bayarannya, USD60 semalam. Hujung minggu, banyak hotel penuh dan terpaksa tinggal di situ. Ini trip pertama Izan ke Vietnam,” tambah Norhamiza.

“Jadi tidak benarlah kenyataan mereka kononnya Maryam telah dihantar ke hospital oleh kakitangan Air Asia bertugas di lapangan terbang?,” tanya saya kepada ahli perniagaan itu.

“Tidak,” balasnya ringkas.

“Apakah pesanan puan kepada Air Asia?,” soal saya.

“Periksa secara teliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jika Maryam membawa penyakit, sudah pasti kami antara individu paling awal dijangkiti kerana kami bercampur-gaul dengan dia. Saya sendiri tidur sebilik dengan Maryam,” luah Norhamiza, kecewa.

Apakah bakal berlaku kepada Izan dan Maryam? Adakah mereka mempunyai wang mencukupi untuk Maryam melakukan pemeriksaan darah di hospital di Vietnam? Wajarkah Air Asia lepas tangan dalam kes ini?.

POSTING SAMBUNGAN

MAS MEMBANTU MEMBAWA PULANG KE MALAYSIA PENUMPANG AIR ASIA DIDAKWA BERMASALAH

Jam 1.30 tengahari tadi saya menghubungi adik Izan Suhaila Mohd Ali, Saiful Riza, 31 tahun, berada di Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya berasa musykil. Maryam kena chicken pox kira-kira seminggu sebelum berangkat ke Ho Chi Minh, Vietnam, pada hari Rabu, 15 Mei 2013. Doktor di Malaysia telah mengesahkan tahap kesihatan Maryam baik sebelum kami terbang, malah malam sebelum ke sana, Maryam sekali lagi dibawa menjalani pemeriksaaan doktor. Berikutan pengesahan itu berstatus sama, kami membawa Maryam bersama,” ujar Saiful.

Memang Air Asia berhak melarang penumpang untuk tidak menaiki pesawat jika didapati membahayakan nyawa penumpang lain. Maklumat itu tercatat di salinan terma dan syarat perincian penerbangan.

“Masalahnya, sehingga malam tadi, kami sekeluarga masih lagi kabur, mengapakah Maryam tidak dibenarkan pulang? Dia tidak demam dan apabila ditanyakan kepada kakitangan Air Asia di lapangan terbang Ho Chi Minh, mereka tidak langsung memberikan penjelasan. Jururawat memeriksa suhu badan Maryam hanya membisu. Mungkin kerana dia tidak mampu berbahasa Inggeris,” kata kakitangan agensi pelancongan itu.

“Jauh bezanya berbanding kemahiran bahasa Inggeris Tony Fernandes,” celah saya.

Di ruangan komen entri terdahulu, muncul kenyataan, petugas melarang Maryam menaiki penerbangan, BUKAN kakitangan Air Asia tetapi pekerja lapangan terbang.

Jika kenyataan itu sahih, di manakah wakil Air Asia di Ho Chi Minh? Wakil bertugas untuk membantu sekiranya penumpang mendepani masalah? Adalah kebajikan mereka diserahkan sepenuhnya kepada ground staff, didakwa pekerja lapangan terbang?

Adakah kejadian berlaku, bukti nyata nasib penumpang sah pesawat Air Asia boleh diperkotak-katikkan sesuka hati? Jika wanita di dalam gambar di atas TIDAK terbabit dengan syarikat penerbangan tambang murah itu, mengapakah mereka bertugas di pintu 18 terpampang logo Air Asia?

Maaf, kerana saya amat jarang menaiki pesawat Air Asia, justeru memerlukan sedikit pencerahan.

“Seperkara lagi, sewaktu kami menaiki pesawat Air Asia di LCCT pada jam 7 pagi Rabu lalu untuk ke Ho Chi Minh, tidak pula timbul sebarang masalah. Tidak pula Maryam ditahan dan dilarang menaiki pesawat sewaktu check in. Sedangkan pada ketika itu Maryam mengalami chicken pox dalam tempoh kira-kira seminggu. Apapun, dia tidak demam lagi,” jelas Saiful.

“Adakah wakil Air Asia Malaysia menghubungi setakat ini?,” soal saya.

“Tidak,” responnya pantas.

Ayah Maryam, Mohd Reza Mat Jan dijangka bakal terbang ke Ho Chi Minh petang esok.

“Pada mulanya dia ingin ke sana hari ini. Dia bimbang mengenangkan nasib isteri dan anaknya tetapi paspot Reza disimpan di peti keselamatan bank. Oleh itu penerbangan terpaksa ditunda esok,” kata Saiful.

Jam 3.15 petang, saya menghubungi Norhamiza.

“Saya menelefon adik, Ahmad Johanis, kini bertugas dengan Tourism Malaysia di New York, Amerika Syarikat. Dia kemudian menghubungi Tourism Malaysia di Vietnam. Wakil Tourism telah bercakap dengan kakitangan Kedutaan Malaysia di Vietnam. Staf MAS baik budi, menjemput Izan, Maryam dan dua saudara kami dan membawa mereka ke hospital. Mereka ke hospital kerajaan, caj hanya USD20 untuk pemeriksaan Maryam. Hospital swasta mengenakan caj lebih mahal, USD200. Wakil Hong Leong Bank di sanapun menghubungi Izan, menawarkan tempat tinggal, jika tiada. In Shaa Allah, andai tiada aral melintang MAS akan menguruskan penerbangan balik mereka hari ini juga,” jelas kakak Izan itu, tenang.


Justeru itu,  ayah  Maryam membatalkan hasratnya untuk terbang  ke Ho Chi Minh.-19/5/2013
Untuk membaca keseluruh kisah dan gambar-gambar sila layari Bersama Mazidul
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top