Nuffnang

MARUAH DAN KEBAJIKAN TENTERA AKAN TERUS DIBELA DAN DIPERTAHAN - NAJIB




Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan tetap membela kebajikan dan mempertahankan maruah angkatan tentera, sekalipun cuba diperlekehkan pihak tertentu.

Perdana Menteri berkata rakyat juga sebenarnya bertanggungjawab untuk bersama-sama mempertahankan maruah angkatan tentera yang selama ini berkorban nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

"Tanggungjawab rakyat dan masyarakat ialah untuk berdiri teguh di belakang pasukan keselamatan, bukanlah menidakkan sumbangan dan pengorbanan mereka," katanya ketika berucap di majlis ramah mesra bersama warga kem Batu 10 di Kuantan, Ahad.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Panglima 4 Briged Mekanize Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib.

Najib, yang pernah menjadi Menteri Pertahanan selama 14 tahun, berkata beliau berasa hati yang amat pedih apabila anggota tentera diperlekehkan setiap kali berlakunya ancaman daripada pengganas atau ekstremis.

Perdana Menteri berkata tohmahan pihak tertentu kononnya kejadian pencerobohan pengganas asing bersenjata di Lahad Datu, Sabah, baru-baru ini sebagai sandiwara merupakan satu pengkhianatan kepada negara dan pandangan yang terpesong sama sekali terhadap ATM.

"Ada yang sayang ATM dan bela ATM, ada pulak yang semata-mata nak main politik dalam apa jua isu. Soal keselamatan bukan satu bahan politik, ideologi politik tertentu. Kalau anak bangsa sabung nyawa bertarung di medan perjuangan, rakyat wajib berdiri teguh di belakang (mereka)," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memastikan kebajikan anggota tentera, latihan, logistik dan keperluan ATM dipertingkatkan bagi memastikan pasukan keselamatan negara mampu menangani apa jua ancaman dari dalam dan luar.

"Saya faham berkenaan ketenteraan, keperluan anggota tentera, latihan, strategi pertahanan dan sebagainya, dan saya sebagai ketua kerajaan akan terus memastikan kerajaan menjaga tentera kita.

"Kalau jaga kebajikan tentera, mereka akan berjuang habis-habisan untuk bangsa dan negara," katanya sambil disambut sorakan lebih 5,000 warga tentera di majlis berkenaan.

-BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Komen

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top