Nuffnang

Tahap Pemahaman Konsep 1Malaysia Meningkat 84 Peratus


KAJANG, 25 Dis (Bernama) -- Tahap pemahaman konsep 1Malaysia di kalangan rakyat telah meningkat sehingga 84 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 75 peratus, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata perkara ini dibuktikan menerusi soal selidik yang dijalankan oleh kementerian berkenaan pada pertengahan Jun hingga Julai lepas bagi mengukur tahap kejayaan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kaji selidik yang dijalankan ke atas 15,353 responden telah menunjukkan 84 peratus menyatakan (1Malaysia) ini perkara baik dan tidak menyanggahi kemudaratan ataupun perpecahan manakala penerimaan terhadap konsep itu sebanyak 72 peratus.

Justeru, kita perlu melihat 1Malaysia ini adalah milik kita...jika kita sayangkan Rukun Negara, Perlembagaan Malaysia, lagu Negaraku dan perjuangan 1 Negara bangsa, kita perlu menghormati konsep itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krimas 1Malaysia anjuran ahli perniagaan Datuk Seri Vanatiah Anthony dan isteri Datin Seri Elispetoo Sinnappan di Kampung Baru Sungai Chua di sini.

Rais berkata pemahaman terhadap konsep 1Malaysia juga dilihat meningkat berbanding soal selidik ke atas 12,212 responden pada Oktober tahun lepas yang hanya sebanyak 69 peratus dan kesedaran konsep itu sebanyak 82 peratus. Sehubungan itu, katanya, konsep 1Malaysia perlu dijayakan oleh semua pihak tanpa terhad kepada batasan politik untuk kesejahteraan perjuangan bangsa dan negara.

Beliau berkata amalan rumah terbuka yang dianjurkan oleh masyarakat di negara ini yang dihadiri pelbagai kaum, menunjukkan keharmonian perpaduan yang terjalin meskipun kerajaan Selangor mengetepikan 1Malaysia sebagai lambang politik.

"Tidak benar, kita harus jangan sempitkan soal ini...dalam susunan alur kemasyarakatan, kita perlu melihat Malaysia dalam kepelbagaiannya dan apa yang dianjurkan Najib tidak terasas politik langsung sebaliknya meneruskan perjuangan semenjak (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman sehingga pada zaman beliau (Najib) garap semula pemahaman dan muhibah untuk menjalin kasih sayang antara kita (rakyat)," katanya.

Mengenai segelintir artis perempuan yang berpakaian menjolok mata pada Anugerah Skrin 2010 anjuran Media Prima Berhad yang berlangsung semalam, Rais berkata pihak terbabit perlu membuat penilaian semula dalam memastikan setiap majlis pengiktirafan terhadap penggiat filem dan drama diterima penonton.

"TV3 perlu membuat beberapa penilaian semula sekiranya perasan orang ramai sedemikian (pakaian seksi) pada majlis anugerah semalam dan sebagai menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hanya memfokuskan kepada keadaan mutu filem dan drama tidak fokus kepada siapa memakai apa," katanya.

Beliau berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan agensi media lain harus melakukan perkara yang sama apabila menganjurkan sesuatu majlis atau program dengan memelihara adat ketimuran yang diamalkan meskipun negara ini telah mencapai tahap kemajuan dan kemodenan yang pesat.

-- BERNAMA

Sindri Mau Pikir, Sindri Mau Ingat
read more...

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top