Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

LAPORAN PAC : Najib Tempelak Mahathir Isu RM42 Bilion 1MDB


Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan RM42 bilion tidak hilang daripada syarikat itu seperti didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata di samping menunjukkan bahawa dakwaan dibuat oleh Dr Mahathir itu adalah tidak betul, laporan itu telah mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.

"Kami akan teliti dan bertindak ke atas syor-syor dalam laporan itu.

"Kami akan memastikan pengajaran diambil daripadanya, dan tindakan akan diambil jika terdapat sebarang bukti kesalahan telah dilakukan," katanya dalam kenyataan bagi mengulas laporan itu, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata kini sudah jelas bahawa dakwaan dilemparkan Dr Mahathir terhadap 1MDB didorong oleh kepentingan peribadi, "bukan kepentingan negara, dan hasrat untuk menjatuhkan kerajaan". 

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membuktikan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat tuduhan palsu bahawa RM42 bilion telah hilang daripada 1MDB, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Beliau didorong oleh kepentingan peribadi bukan kepentingan negara, dan keinginan untuk menjatuhkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan media petang ini.

Dalam perkembangan sama, Najib mengakui bahawa laporan itu mengenal pasti kelemahan dalam struktur modal dan pengurusan 1MDB.

"Kita perlu memastikan bahawa pelajaran yang dipelajari, dan tindakan akan diambil jika ada bukti salah laku ditemui," katanya.

Najib berkata, selepas pelbagai dakwaan dibuat terhadap 1MDB seperti kerugian RM42 bilion yang didakwa Dr Mahathir, kabinet di bawah arahan beliau telah meminta Ketua Audit Negara pada Mac tahun lepas menjalankan siasatan bebas dalam akaun kewangan 1MDB.

"Bagi memastikan ini adalah satu proses yang telus, kita juga mengarahkan bahawa penemuan ini diluluskan untuk semakan kepada PAC - sebuah badan bi-partisan yang termasuk ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Selepas satu proses menyeluruh, PAC hari ini mengeluarkan satu laporan dengan keputusannya kepada Parlimen. Laporan ini mewakili konsensus oleh ahli-ahli PAC, dan keputusan ini berdasarkan kepada fakta dengan beratus-ratus jam tinjauan dan penyiasatan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara dan PAC kerana menghasilkan laporan yang komprehensif, konklusif dan muktamad," katanya.

Perdana menteri juga berkata pentadbiran beliau akan terus memberi tumpuan kepada pelan untuk mengukuhkan ekonomi bagi terus berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan dana awam untuk peribadi dan menyatakan dakwaan itu datang daripada orang-orang yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Sementara itu, 1MDB juga mendakwa pengkritiknya mengitar semula tuduhan dengan bermotif politik.

Kenyataan Media oleh Lembaga Pengarah, 1Malaysia Development Berhad
Dikeluarkan pada 7 April 2016
Untuk siaran segera
Kenyataan Media Lembaga Pengarah 1MDB Berkaitan Laporan PAC

Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (“Lembaga Pengarah”) mengambil maklum isi kandungan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berkenaan 1MDB seperti yang dibentangkan di Parlimen pagi ini (“Laporan PAC”). Pihak Lembaga Pengarah melihat Laporan PAC ini sebagai sebuah dokumen yang menyeluruh dan muktamad, yang telah menyatakan fakta-fakta dengan jelas dan telah menyangkal pelbagai dakwaan berkenaan syarikat.

Laporan PAC tersebut telah mengenalpasti beberapa kelemahan dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan oleh 1MDB. Apabila ditinjau kembali, kami dapat memahami bagaimana Jabatan Audit Negara dan PAC boleh mengenalpasti kekurangan-kekurangan ini. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk difahami bahawa keputusan-keputusan yang dibuat ketika itu adalah dalam konteks transaksi yang spesifik pada masa tersebut. Tambahan pula, 1MDB merupakan sebuah syarikat yang kompleks dan mempunyai peranan yang pelbagai dalam menjalankan projek-projek strategik berskala besar, mewujudkan kerjasama dengan entiti-entiti kerajaan asing dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

Pihak umum sedia maklum bahawa 1MDB hanya mempunyai ekuiti tunai sebanyak RM1 juta, yang memerlukan syarikat membuat pergantungan besar kepada pinjaman untuk membiayai pelaburannya. Meskipun berdepan cabaran ini, Lembaga Pengarah telah membuat yang terbaik untuk menguruskan syarikat dengan cara yang tidak akan mengakibatkan beban kewangan kepada Kerajaan.

Secara khususnya, sebaik sahaja ketidakpadanan aliran tunai (cash-flow mismatch) dikenalpasti pada November 2014, Lembaga Pengarah bertindak segera untuk melantik seorang pakar penstrukturan semula profesional untuk mengetuai 1MDB. Ini membawa kepada perlaksanaan kajian strategik (strategic review) yang seterusnya membawa kepada kejayaan pelan rasionalisasi yang sedang berjalan, yang telah menyelesaikan beban hutang 1MDB. Syarikat telah membayar dan akan terus membayar kesemua hutang jangka pendek dan kesemua hutang bank dengan hasil yang diperolehi daripada penjualan Edra, dan ketika ini mempunyai lebihan tunai kira-kira RM2.3 bilion yang akan diperuntukkan untuk membayar kadar faedah dan keperluan kewangan infrastruktur.

Lembaga Pengarah percaya bahawa ia telah menjalankan peranan dan tanggungjawabnya sebaik yang mungkin, termasuk pelaksanaan pelbagai langkah tadbir urus korporat seperti mewujudkan prosedur operasi standard (standard operating procedure) untuk syarikat dan menubuhkan jawatankuasa audit dan pengurusan risiko Lembaga Pengarah. Di samping itu, Lembaga Pengarah juga telah memastikan kerjasama penuh diberikan kepada semua pihak berkuasa yang sah yang menjalankan siasatan ke atas syarikat. Semua dokumen sokongan yang ada telah pun dikemukakan dengan sewajarnya.

Lebih penting lagi, dana syarikat 1MDB telah diambil kira sepenuhnya dan tidak ada kes "RM42 bilion hilang", seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Juga telah disahkan, 1MDB tidak memindahkan RM2.6 bilion kepada akaun peribadi Perdana Menteri seperti yang telah didakwa.

Lembaga Pengarah juga telah berjaya membawa 1MDB melalui suatu tempoh unik yang mencabar dan percaya bahawa Laporan PAC boleh menjadi titik pengakhiran dakwaan-dakwaan palsu ke atas syarikat. Walau bagaimanapun, berdasarkan hasil Laporan PAC tersebut, Lembaga Pengarah secara kolektif pagi ini telah memutuskan untuk menawarkan perletakan jawatannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), yang merupakan 100% pemegang saham 1MDB.

Ini merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil tetapi kami percaya bahawa ini adalah langkah yang betul dalam situasi ini, bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti yang dicadangkan oleh PAC.

LAPORAN PAC:

Kenyataan Media YB Dato’ Hasan bin Arifin, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen 

1) Hari ini, PAC membentangkan Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan ini dipersetujui sebulat suara serta konsensus ketika mesyuarat penyediaan laporan pada Isnin lalu. 

2) PAC yang dianggotai 14 Ahli Parlimen sembilan ahli daripada parti Barisan Nasional (BN) dan lima daripada parti pembangkang dalam menyiapkan laporan ini secara kolektif dengan mengemukakan rumusan serta cadangan kepada Kerajaan berhubung kawalan pengurusan tadbir urus syarikat 1MDB yang dimiliki Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) 

3) PAC memulakan laporan prosiding Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pada 19 Mei 2015 dan mengakhiri prosiding ini pada 11 Februari 2016 dengan memanggil semua pihak yang bertanggungjawab terhadap syarikat 1MDB termasuk Kementerian Kewangan (MoF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Pengarah 1MDB, pengurusan tertinggi 1MDB dan Juruaudit 1MDB. 

4) PAC ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Audit Negara (JAN) kerana membentangkan Laporan Pengauditan 1MDB kepada PAC pada 4 dan 7 Mac lalu. 

5) Jawatankuasa ini bersandarkan maklumat daripada laporan yang disediakan JAN selaras dengan keputusan Kabinet yang mengarahkan Laporan Audit 1MDB dibentangkan kepada PAC untuk menjalankan siasatan, menyiapkan serta merumuskan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB. 

6) PAC mengakui bahawa syarikat 1MDB mempunyai struktur modal yang lemah dan terdapat beberapa kelemahan tadbir urus yang dijelaskan dengan terperinci dalam laporan ini. 

7) PAC juga mendapati bahawa struktur modal 1MDB terlalu bergantung kepada penggunaan hutang. 

8) PAC juga berpuas hati dengan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB pelan rasionalisasi syarikat 1MDB dan langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam tempoh singkat bagi memulihkan syarikat ini 

9)Atas sebab itu, PAC menyarankan supaya pihak penguatkuasa perlu mengkaji dengan teliti laporan ini dan membuat siasatan lanjut. Jika didapati wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil. 

Dato’ Hasan bin Arifin
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Merangkap Ahli Parlimen Rompin

Komen Najib berkaitan Laporan PAC boleh didapati di Statement by Prime Minister on Public Accounts Committee Report on 1MDB

Share this article

9 Komen:

  1. Pemilihan PAU dah banyak kali tangguh.
    Laporan Kewangan Tahunan 1mdb asyik2 tak ikut jadual, tangguh lagi.
    Apa nie...nak memanupulasi macam mana lagi.

    Perbuatan melampau Najib menipu, membohong, menyamun, menganiaya, menindas rakyat, membuat kami bangkit mahu beliau diadili mengikut undang2 setimpal dengan perbuatannya. Malahan kami tidak rela jika beliau hanya diusir mendapat safe passage ke negara lain sambil terus menikmati hasil samunannya meratah duit rakyat & perbendaharaan negara. Kami mahu Najib mendapat hukuman yang setimpal sebagai peringatan kepada pemimpin-pemimpin lain - jangan sekali2 ambil kesempatan atas amanah yang rakyat beri kepada kamu. Ingat.... KUASA RAKYAT mengatasi kuasa kamu yg kami rakyat pinjamkan. Kamu hanya pemegang amanah.
    Bila kamu ingkar & pecah amanah, nah.... sekarang kamu terimalah hakikatnya.

    BalasPadam
  2. Menanggapi Najib kebal dan tidak boleh dijatuhkan adalah pendapat bodoh & sengal. Beliau masih selamat kerana dilindungi oleh AG Pak Pandir & KP Khalid.

    Ingat.....selain Marcos & Suharto, sejarah juga mengingatkan kita kembali kezaliman seorang pemimpin negara dari Peru yang kesudahannya terpegok ke dalam penjara atas kesalahan menipu, menyeleweng public fund masuk ke akaun peribadi, menculik & pembunuhan kejam pada tahun 1990an. Siapa kata pemimpin negara kebal dari hukuman undang. Sudah ada precedence (contoh) kita boleh buat yg sama.
    Bekas Presiden Peru, Alberto Fujimori telah diekstradisikan ketika beliau melarikan diri ke Jepun dihadapkan ke mahkamah Peru mengikut International Laws.

    BalasPadam
  3. Katakanlah Bank Negara tahu akan transaksi duit derma berbilion masuk ke akaun Najib. Yang musykilnya duit itu untuk parti, tapi orang no 2 ketika itu langsung tak tahu pasal derma RM2.6 bilion masuk dalam akaun peribadi Najib, termasuk bendahari dan semua Ahli Majlis Tertinggi.

    Apakah kejadahnya itu.......????? Adakah pimpinan2 UMNO (selain Najib) semua tunggul kayu? Adakah parti UMNO milik peribadi Najib? Mengapa dirahsiakan dari pengetahuan Tan Sri Muhyiddin serta semua Ahli MT? Cukup aneh & mencurigakan bila Najib senyap aje, ada udang di sebalik batukah? Bila dah kecoh, baru nak cakap. Jadi, apa guna fungsi Bendahari?

    BalasPadam
  4. bagi lah laporan pac ke poc ke ppu ke...puak puak neraka ni suka juga cari lobang fitnah...mcm babi lah...bagi kfc nk juga mkn tahiiii

    BalasPadam
  5. KALAU MACAM TU...APEK DAP TAN SENG GIAW DAN TONY PUA TU...DAH MAKAN DEDAK LA YER?

    DIA ORANG NI...BILA DAH MASUK KUBOR BARU BOLIH SENYAP. SELAGI HIDUP TAK PUAS2. FIIIIIIITNAH MEMANJANG. CER PERGI AMBIL SEMBAHYANG...BUAT SEMBAHYANG SUNAT TAUBAT. PAS TU BUAT SEMBAHYANG ISTIKHARAH. INSYA ALLAH TUHAN BERI PETUNJUK.

    BalasPadam
  6. Itu la Melayu x boleh pakai....Melayu sendiri nak jatuhkan...apasal DSN memerintah ko mati kebuluran ke....xde kan...sudah sudah la tu....ko berpolitik mcm ni pun ko x dapat apa pun...apa apa pun aku sokong Dato Seri Najib...

    BalasPadam
  7. Othman...jwb soalan aku psl perwaja dan 30b forex hangus masa Tun di putramerdeka.

    BalasPadam
  8. hahahahaha.....orang lain kaya...hangpa bertekak x sudah sudah.....tunggu jer PRU 14......tahu la untung nasib yang bertanding kelak...apa ada hal

    BalasPadam
  9. Najib memang gentleman. Ada fitnah, jom buat siasatan cari pencerahan. X macam Guan eng, walaupun bukti depan mata masih lagi menafikan.

    BalasPadam

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top