AFGHANISTAN adalah salah sebuah negara Islam yang menjadi mangsa rakus Amerika Syarikat apabila ia ditakluki pada Oktober 2001 atas alasan yang sehingga hari ini gagal diberikan oleh negara Uncle Sam itu secara mutlak.
Lebih memburukkan keadaan, beberapa negara yang sebelum ini aman terjebak ke dalam kancah keganasan antaranya Libya dan Syria.
Syria yang bermula dengan revolusi menggulingkan kerajaan pada 2011, akhirnya berakhir dengan jumlah angka korban cukup tinggi saban tahun.
Perbezaan fahaman antara Sunni dan Syiah antara faktor mengapa keadaan di sana gagal dipulihkan.
Disebabkan itu, beberapa gerakan penentangan daripada kumpulan-kumpulan mujahidin dilancarkan kepada tentera penjajah yang menghancurkan bumi umat Islam.
Gerakan-gerakan itu kemudian, semakin berkembang seiring perkembangan teknologi dan media sosial apabila keadaan bergolak di Timur Tengah turut menarik individu Islam dari serata dunia untuk berjihad, termasuk dari negara ini.
Pada dasarnya, gerakan penentangan wujud adalah bagi bertindak balas ke atas kezaliman negara-negara kuasa besar yang sengaja ingin menghancurkan umat Islam.
Namun, sejak kebelakangan ini, pelbagai ideologi yang timbul dari fahaman-fahaman yang tidak selari dengan Islam berkembang luas sehingga menyebabkan munculnya beberapa lagi kumpulan dikategorikan sebagai puak pelampau.
Ideologi kumpulan berkenaan dilihat tidak lagi menyasarkan musuh-musuh agama sebagai lawan mereka, namun negara umat Islam yang bersistemkan demokrasi atau sekular juga dijadikan ancaman oleh mereka.
Perang bersandar adab, disiplin
Bekas Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM), Zainon Ismail berkata, perjuangan umat Islam sekitar tahun 70-an ketika menentang pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan tidak pernah terpalit fitnah seperti apa yang berlaku hari ini.
Menurutnya, perang di antara umat Islam seperti mana yang terjadi hari ini, tidak berlaku di bumi Afghanistan, sebaliknya semua umat Islam yang terdiri dari rakyat tempatan ataupun orang luar bekerjasama mempertahankan maruah agama.
“Mujahidin Afghanistan mempunyai akhlak yang tinggi kerana dipandu oleh ulama dalam dan luar.
“Antaranya ialah Syeikh Abdullah Azam. Beliau merupakan seorang tokoh besar yang berasal dari Palestin dan menjadi pensyarah di universiti Timur Tengah,” katanya.
Zainon yang bersama-sama mengangkat senjata di Afghanistan bermula 1988, mengakui setiap mujahidin yang menyertai perang di rantau itu diajar berperang bersandarkan adab dan disiplin dalam agama.
Menurutnya, setiap musuh yang ditawan juga perlu diberikan layanan baik sehingga akhirnya ada di antara tentera Rusia menyebelahi perjuangan rakyat Afghanistan.
“Tidak berlaku isu-isu seperti mana yang terjadi di Syria, di mana musuh-musuh yang ditawan oleh kumpulan tertentu dipenggal leher, dibakar, diperkosa dan sebagainya,” katanya.
Rancang siri pengeboman
Jelasnya lagi, pada masa itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mempunyai sumbangan cukup besar terhadap konflik di sana apabila beliau mengizinkan rakyat Malaysia untuk berjuang mengangkat senjata menentang pencerobohan Rusia.
“Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Mahathir tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas rakyat Malaysia yang ke sana kerana situasi di sana sememangnya menarik simpati seluruh masyarakat antarabangsa.
“Malah Tun sendiri membenarkan Afghanistan membuka kedutaannya di negara ini. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana tidak memberi tekanan kepada rakyat Malaysia yang ke sana,” katanya.
Bagaimanapun katanya, selepas Rusia menarik semua tentera dari negara dicerobohinya itu, dia kemudiannya pulang ke tanah air dan menubuhkan KMM.
“Selepas enam tahun pulang dari Afghanistan, saya bersama rakan-rakan lain menubuhkan KMM untuk melakukan aktiviti jangka masa panjang.
“Ideologi KMM ketika itu adalah menganggap kerajaan sedia ada sebagai kafir kerana tidak melaksanakan sistem pemerintahan negara dengan sebetulnya,” katanya.
Tambahnya lagi, kumpulan itu turut merancang untuk melakukan beberapa siri pengeboman di kawasan pelancongan sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur termasuk menara KLCC.
“Perancangan kami adalah untuk sabotaj keselamatan dan ekonomi Kerajaan Malaysia. KMM juga ada merancang untuk sabotaj sukan Komanwel 1998 yang dianjurkan di Kuala Lumpur.
“Namun perancangan kami gagal kerana kawalan keselamatan oleh pihak berkuasa yang begitu ketat, itu antara faktor sabotaj tersebut tidak diteruskan,” katanya.
Fahami jihad sebelum bertindak
Zainon atau dikenali dengan nama penanya C N Al-Afghani berkata, ideologi seperti itu lahir kerana mereka terpengaruh dengan pendekatan radikal pihak-pihak tertentu selepas tamat berjuang di Afghanistan.
Menurutnya, KMM akhirnya lumpuh apabila percubaan mereka untuk merompak bank pada tahun 2001 digagalkan oleh pihak berkuasa.
“Disebabkan kejadian itu, masyarakat memandang serong kepada kami. Saya turut ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos 2001 hingga September 2006, walaupun tidak lagi menganggotai KMM ketika itu," katanya.
Dalam pada itu, Zainon turut meluahkan rasa syukur kepada ALLAH SWT kerana perancangan kumpulan itu melakukan beberapa siri serangan gagal.
“Saya bersyukur kerana ALLAH gagalkan perancangan kami. Jika ia berlaku, sudah pasti ia akan membawa fitnah terhadap umat Islam di Malaysia.
“Banyak pengajaran yang boleh diambil. Kepada anak muda yang cenderung untuk menyertai perjuangan yang dicetuskan oleh pihak tertentu, mereka perlu mengutamakan dan mendahului ilmu jihad itu sendiri sebelum bertindak kerana ia boleh datangkan fitnah," katanya. - SUMBER
Zainon patut ceritakan bagaimana beliau dan kawannya menjadi begitu extrim sehingga ada perasaaan menentang dan sanggup berperang dengan pemerintah supaya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia.
BalasPadam