Nuffnang

Politik Berintegriti Tinggi Mula Diterima Pemimpin Parti


KONSEP Kepimpinan Melalui Teladan’ merujuk kepada perlunya pemimpin menunjukkan kepimpinan yang terbaik dan berintegriti kepada rakyat.

Pemimpin sebenarnya ikon atau ikutan yang menjati contoh di mata pengikutnya. Maka seseorang pemimpin yang mengamalkan amalan dan gaya kepimpinan terbaik selalunya dihormati. Bukan ditakuti.

Cabaran terbesar parti dan ahli politik berkaitan dengan integriti. Pemerintah terutamanya parti yang memegang kuasa berhadapan dengan persoalan memantapkan integriti dan menangani tuntutan dan harapan rakyat yang kian meningkat.

Secara keseluruhan rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Politik yang bersih dan mengamalkan integriti dalam pentadbiran membolehkan pelaksanaan setiap dasar, program dapat berjalan dengan lancar.

Keperluan memupuk budaya integriti sejak akhir-akhir ini semakin memberangsangkan. Kesungguhan ini dapat ditunjukkan dengan penganjuran Kolokium Tadbir Urus dan Integriti Kerajaan Negeri Melaka berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia September lalu.

Berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), memperlihatkan komitmen dan keseriusan barisan kanan anggota pentadbiran kerajaan negeri Melaka. Ini termasuklah Ketua Menterinya dalam mendapatkan pengalaman dan pengetahuan terbaharu dalam soal budaya berintegriti.

Datuk Seri Ir Idris Haron mengumumkan barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan Adun BN akan menandatangani Ikrar Integriti semasa sidang Dun akan datang. Dijangkakan waktu terdekat. Syabas.

Menyedari bahawa Ikrar Integriti merupakan janji untuk mencegah bersama dan mengelak diri daripada rasuah, seramai 41 anggota Pengurusan Tertinggi Kerajaan Negeri Melaka, termasuk Ketua Menteri menghadiri Kolokium Tadbir Urus dan Integriti Kerajaan Negeri Melaka.

Turut terlibat sebagai peserta ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, empat Ahli Parlimen, Exco Kerajaan Negeri Melaka (10), senator (tiga), timbalan exco (sembilan), timbalan speaker, penasihat undang-undang, pegawai kewangan negeri, pegawai daerah (tiga) dan datuk bandar serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran (empat).

Kolokium ini merupakan sebahagian daripada usaha ke arah menandatangani Ikrar Integriti. Kolokium ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Merakyatkan SPRM dan memupuk budaya integriti yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Malah, ia juga selaras dengan kenyataan Idris sendiri pada 6 April 2015, yang menzahirkan kesediaan Kerajaan Negeri Melaka untuk menandatangani Ikrar Integriti.

Sebagai langkah menerapkan budaya integriti di kalangan pemimpin Kerajaan Negeri Melaka, kepimpinan Idris telah mewajibkan kesemua Exco, Timbalan Exco, ketua agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, untuk menyertai pasukan Askar Wataniah yang menerapkan nilai integriti sebagai komponen asas.

“Pasukan Wataniah dapat membina tanggapan integriti dan kualiti di kalangan masyarakat. Ini semua usaha kami hendak menjadikan Melaka negeri bebas rasuah,” kata Idris lagi.

Siri program termasuk kolokium kali ini, yang merupakan kali pertama diadakan oleh mana-mana Kerajaan Negeri, menunjukkan bahawa “Kerajaan Negeri Melaka serius dalam memupuk nilai-nilai integriti di kalangan anggota pentadbiran” dan di semua peringkat agensi kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

Beliau juga memperlihatkan komitmen bahawa Kerajaan Negeri Melaka sedia menyertai dalam apa jua projek perintis atau pilot project yang dilaksanakan oleh SPRM dalam usaha memerangi rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Datuk Mustafar Ali menyifatkan penyertaan Pengurusan Tertinggi Kerajaan Negeri Melaka termasuk Ketua Menteri menunjukkan komitmen tinggi pihaknya dalam memupuk dan mengamalkan budaya berintegriti yang tinggi di Negeri Melaka.

“Kerajaan Negeri Melaka merupakan Kerajaan Negeri yang pertama menghadiri kolokium di MACA dan tinggal di asrama MACA. Saya melihat ini satu komitmen yang cukup tinggi. Saya ucapkan syabas,”

Program ini menyediakan input, penghayatan serta pengamalan ke arah Ikrar Integriti bagi menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Melaka, seterusnya memperbaiki persepsi masyarakat terhadap SPRM, meningkatkan pengetahuan pihak pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Melaka, di samping menjadikan mereka sebagai tokoh pencegahan rasuah dan berperanan sebagai pihak yang mempertahankan SPRM dan mewujudkan hubungan dan rangkaian dengan golongan pihak pengurusan tertinggi Kerajaan Negeri Melaka dalam usaha menyebarkan dan menyampaikan mesej-mesej pencegahan rasuah untuk disampaikan kepada pihak bawahan masing-masing serta memperolehi maklumat berkualiti.

Pada program ini, para peserta telah mengikuti sesi dialog bersama Mustafar yang menyampaikan ceramah bertajuk Peranan Ahli Politik Dalam Memperkasakan Integriti manakala Ketua Strategik Pembangunan Kepimpinan SPRM, Faridah Hanim Haron pula mengupas aspek Kepimpinan Berteraskan Integriti; Dr. Anis Yusal pula membincangkan tajuk Integriti Dalam Politik (Do’s & Dont’s) manakala Presiden International Movement for a Just World (JUST), YBhg. Dr. Chandra Muzaffar menyentuh tajuk Kuasa Politik dan Integriti.

Akhir Ogos lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan bahawa beliau dan kesemua 11 Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri akan mengisytiharkan harta masing-masing kepada SPRM dalam tempoh masa terdekat.

“Pahang merupakan negeri pertama yang melakukan perkara ini dan saya harap ia akan dijadikan contoh dan ikutan kepada negeri-negeri lain bagi menangani rasuah,” katanya.

Dalam pada itu, Ikrar Integriti juga telah disempurnakan oleh barisan Exco Kerajaan Negeri dan Adun Sabah dan Sarawak. Di Sabah, kesemua Adun termasuk pembangkang juga telah melafazkan Ikrar Integriti.

Keadaan pada hari ini sudah berbeza berbanding persekitaran satu dekad yang lalu. Ahli-ahli politik juga memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti sebagaimana diharapkan oleh rakyat dan pengundi masing-masing.

* Prof Madya Dr. Ismail Sualman, pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Sumber: Sinar Harian
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top