Blogger Tips and TricksLatest Tips And TricksBlogger Tricks

NAIK TARIF AIR : Khalid Sekolahkan Azmin Ali



KENYATAAN MEDIA

TIADA RASIONAL MUNASABAH UNTUK MENAIKKAN TARIF AIR SELANGOR

Kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor semalam tentang kepastian bahawa tarif air bakal naik sebaik sahaja proses penyusunan semula selesai sepenuhnya nyata bercanggah dengan semangat dan hasrat asal pengambilalihan industri perkhidmatan air oleh Kerajaan Negeri daripada syarikat konsesi.
Di samping persoalan mengenai nama syarikat yang dilantik sebagai penilai bebas bagi nilai pampasan ekuiti kepada SPLASH dan caj konsultansi yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri, saya amat terkejut dan terkilan dengan perubahan mendadak pada dasar-dasar awam seumpama ini memandangkan antara sebab asal utama penstrukturan semula indusri air dilaksanakan adalah supaya rakyat boleh menikmati perkhidmatan air yang lebih efisien dan pada tarif yang berpatutan.

Mengikut perancangan awal, kenaikan tarif hanya akan dipertimbangkan selepas tiga hingga empat tahun industri perkhidmatan air Selangor berjaya distruktur semula sepenuhnya manakala sebarang kenaikan dijamin tidak akan melebihi 12 hingga 15 peratus setiap tiga tahun.

Saya yakin banyak lagi usaha yang perlu dan boleh dilakukan sebelum langkah drastik menambah beban rakyat akibat lonjakan kos sara hidup dengan menaikkan tarif air sebaik sahaja proses pengambilalihan selesai. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri boleh mengelakkan pembaziran dan ketirisan dalam kos operasi dengan memotong perbelanjaan yang tidak perlu, mengurangkan kontrak berlapis-lapis (multi-level contracts) dan menghentikan serta-merta penganugerahan sub-kontrak.

Tambahan pula, sebagai pemilik mutlak, Kerajaan Negeri tidak perlu lagi mematuhi terma dan syarat yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi atau mengikut kaedah operasi lama yang dipraktikan oleh syarikat konsesi. Sebaliknya, ia mempunyai kuasa menetapkan kaedah "pricing" dan "costing" yang baharu di setiap peringkat operasi sebagai salah satu strategi kawalan kos keseluruhan; sekaligus mengurangkan malah menghapuskan keperluan menaikkan tarif.

Oleh kerana industri perkhidmatan air kini milik rakyat Selangor, amat wajar kerajaan negeri faham secara mendalam segala butiran dalam akaun dan rekod kewangan operator perkhidmatan air terutama aspek perbelanjaan. Dari situ, satu formula lestari boleh digarap bagi mengelakkan kenaikan tarif buat jangka masa panjang.

Bagi memastikan hak dan kepentingan rakyat terpelihara, saya menggesa agar satu badan pengawasan bebas industri air ditubuhkan dengan fungsi antara lain, memantau metodologi penetapan tarif dan mutu perkhidmatan di samping memastikan keabsahan justifikasi dan legitimasi keperluan menaikkan tarif seperti yang didakwa. Meskipun kewajaran bagi kenaikan tarif wujud, perkara tersebut perlu dibentangkan di Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu agar semua wakil rakyat faham dan jelas tentang isu-isu yang terlibat.

Sebagai peringatan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH), terdiri daripada PKR, DAP dan PAN terutama PKR dan DAP yang jarang melepaskan peluang menggasak dan menghentam Barisan Nasional tetapi diam seribu bahasa berhadapan kepincangan dan kebobrokan di rumah sendiri di Selangor dan Pulau Pinang, tibalah masanya untuk hentikan sikap hipokrit dan berdolak-dalih. Diberi peluang dengan kawalan dan kuasa penuh sekarang, Kerajaan Negeri harus buktikan keupayaan mengurus industri perkhidmatan air lebih baik daripada era Barisan Nasional di samping mengotakan semua tawaran dalam Manifesto Pilihanraya Umum ke-13.

Ingin juga saya nasihatkan para pemimpin dari PH dan PAS bahawa "perjuangan "reformasi" yang dilaungkan selama ini bukan hanya untuk mencari salah dan kelemahan Barisan Nasional tetapi juga sebagai panggilan bermuhasabah untuk memperbaiki diri sendiri jika mahu terus membina dan memperteguh keyakinan rakyat bahawa mereka mampu membentuk kerajaan yang lebih baik.

ADUN PELABUHAN KLANG
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Networkedblog

MENARIK

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top