Nuffnang

SIJIL HALAL : Tiada Maaf Bagi Penyelewengan - JAKIM!!!


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sekali lagi menegaskan tidak akan bertoleransi terhadap sebarang penyelewengan dalam pengeluaran sijil halal oleh badan pensijilan dan anggota gabungan mereka.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata penyelewengan itu akan menjejaskan integriti rangkaian bekalan makanan halal, dan seterusnya menjejaskan nama baik umat Islam dan agama Islam secara keseluruhan.

“Sehubungan itu, Jakim tidak akan teragak-agak untuk membatalkan senarai mana-mana badan pensijilan sekiranya langkah itu didapati perlu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Badan Pensijilan Halal 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini, Jakim membatalkan pengiktirafannya terhadap kira-kira 10 Badan Pensijilan (CB) Halal Luar Negara berikutan kegagalan mereka memenuhi garis panduan tertentu.

Kes itu turut melibatkan beberapa CB yang mengeluarkan ‘sijil gelap’, atau memberi sijil halal kepada syarikat tanpa melakukan proses sewajarnya, katanya.

Othman berkata beberapa organisasi bertindak lebih jauh dengan mewujudkan tanggapan bahawa dasar program pengiktirafan Jakim bagi badan pensijilan mewujudkan banyak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

“Izinkan saya menegaskan bahawa program pengiktirafan CB bukanlah untuk terus memecahbelahkan umat Islam, sebaliknya untuk mewujudkan peluang lebih baik kepada mereka,” katanya.

Badan pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf adalah sebuah badan pengesahan halal yang dilantik dan diiktiraf oleh Jakim bagi mengesahkan status halal untuk bahan mentah, produk makanan, bahan ramuan kritikal, daging dan produk berasaskan haiwan yang diimport ke Malaysia.

Sehingga kini, Jakim telah memberi pengiktirafan kepada 57 badan pensijilan halal luar negara dari 33 buah negara di dunia serta kepada 16 buah badan berautoriti daripada Pertubuhan Kerjasama Islam. – BERNAMA
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top