ADAKAH SEMUA DOA DIMAKBULKAN?
Sebagai seorang Muslim, sudah tentu persoalan ini seringkali berlegar di fikiran kita. Doa adalah perbualan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah dan setiap yang dimohon akan didengar Allah. Allah tidak suka kepada hambanya yang tidak pernah memanjatkan doa kepada-Nya.
Selepas berdoa disarankan supaya bertawakal kepada Allah supaya segala permohonan serta doa akan dimakbulkan. Allah berfirman yang bermaksud:
“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan dengan suara yang perlahan serta bermohonlah kepada-Nya dengan perasaan takut serta penuh harapan, sesungguhnya rahmat Tuhan itu adalah dekat kepada orang yang berbuat kebajikan.”
Nabi Muhammad SAW berpesan kepada umatnya supaya sentiasa berdoa kepada Allah sama ada pada masa senang atau susah. Jangan sekali-kali berasakan terlalu lambat doa hendak dimakbulkan hingga kita cepat berputus asa daripada rahmat Allah .
ADAKAH SEMUA DOA DITERIMA?
Bukan tidak diterima tetapi belum sampai masa dan ketikanya...
Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.
Bila Dia lambat memakbulkan doamu, maka Dia sedang mengujimu.
Bila Dia tak makbulkan doamu, maka dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Bersangka baiklah pada Allah dalam apa jua keadaan.
Kasih sayang Allah mendahului kemurkaan-Nya..
APA SEBAB SEBABNYA DOA TAK DIMAKBULKAN?
Bagi mempastikan doa kita diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, hendaklah kita menjaga adab-adab dan tata tertib ketika berdoa, di antaranya ialah hendaklah ia dalam keadaan berwuduk, memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata'ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Ketika berdoa juga disunatkan menghadap kiblat dengan suara yang rendah sambil menadah dua tangan. Apa yang penting, dalam berdoa hendaklah bersungguh-sungguh dan khusyuk serta yakin doa akan diperkenankan.
Selain itu, jika kita tidak mahu doa kita ditolak, kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah adalah daripada sumber yang halal. Dalam sebuah kisah, Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam menceritakan tentang seorang lelaki yang telah melalui suatu perjalanan yang jauh, lelaki tersebut dalam keadaan kusut masai dan berdebu rambutnya, menadahkan kedua-dua tangannya ke arah langit untuk berdua seraya berkata : 'Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedangkan makanan lelaki itu dari sumber yang haram, minumannya dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan ia makan makanan yang haram, lalu bagaimanakah doanya akan diterima?'.
Perlu diingat juga bahawa kita tidaklah boleh berdoa dengan sesuatu yang tidak munasabah dan mustahil ataupun mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada saudaranya yang lain.
Doa itu mempunyai kelebihan dan fadilat yang banyak dan sangat besar. Melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi manakala musibah dan kesusahan boleh terhindar. Selain daru itu, doa juga boleh menghindarkan daripada bala, walaupun bala itu sudah merupakan qada (ketentuan Allah Subhanahu Wata'ala). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis Baginda maksudnya :
"Dari Sulaiman katanya : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan". (Riwayat Al-Imam At-Termidzi)
Oleh itu sentiasalah berdoa baik ketika senang atau susah, namun perlu diketahui bahawa orang yang memperbanyakkan doa ketika ia berada dalam keadaan senang maka Allah akan mengkabulkan doanya ketika ia dalam keadaan susah. Amat rugilah bagi orang yang tidak berdoa kerana menutup bagi dirinya berbagai-bagai kebaikan dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....