KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengamalkan dasar berkecuali dalam semua tindakan dan operasinya serta sama sekali tidak menyebelahi mana-mana parti politik ketika melaksanakan tanggungjawab.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin juga menegaskan dasar itu dipegang PDRM dalam menghadapi pilihan raya umum.
"Jadi janganlah bercakap kita ni 'anjing' kepada kerajaan atau bagai 'lembu dicucuk hidung' yang ikut sahaja telunjuk orang-orang tertentu dalam mencapai sesuatu hasrat.
"Ini kerana institusi kepolisan ini telah wujud sejak 206 tahun dan telah menunjukkan profesionalisme dari segi mengambil tindakan," katanya kepada Bernama dalam temu bual mengenai persiapan PDRM menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13), di sini.
Katanya mereka yang menuduh sedemikian perlu bertanggungjawab dan membuktikan PDRM sebagai 'alat kerajaan'.
Mohd Bakri berkata sikap berkecuali juga diamal PDRM ketika melakukan siasatan berhubung sebarang kes dan penyiasatan dilaksana tanpa rasa takut atau dipengaruhi mana-mana pihak.
Segala hasil siasatan termasuk yang membabitkan ahli politik, akan diserah kepada Peguam Negara dan merekalah yang menentukan sama ada perlu didakwa atau sebaliknya, katanya.
"Kita (PDRM) tak berhak dan (tidak) mempunyai kuasa (buat keputusan). Di sini sudah nampak kita telus," katanya.
Mengenai persediaan menghadapi PRU13, Mohd Bakri berkata PDRM diberi latihan dan kursus khas termasuk 'ex ballot III' bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik ketika proses itu berlangsung.
"Dari sudut penyiasatan pula, kita telah menjalankan kursus-kursus 'in service' berdasarkan kepada keperluan dalam pilihan raya," katanya.
Mohd Bakri berkata pegawai dan anggotanya telah dilatih dan bersedia sejak empat bulan lepas bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.
"Kita juga telah berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jabatan Peguam Negara berkaitan dengan langkah-langkah dan tindakan kita bersama mereka," katanya.
Sebanyak 112,000 anggota polis akan terlibat bertugas pada PRU13. - Bernama
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....