MELAKA - Sebuah masjid berusia lebih 70 tahun di Melaka Tengah dekat sini dikesan telah silap dalam penetapan arah kiblat.
Imam I Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, Sabtu Kina berkata, kedudukan arah
lebih kurang 10 sentimeter terpesong dari arah kiblat sebenar, yang
sepatutnya mencondong ke kiri, wujud sejak masjid tersebut didirikan.
Menurutnya, perkara itu dikesan semasa bermulanya projek penambahan bangunan masjid penghujung tahun lalu oleh pelukis pelan.
Ia turut mendapat perhatian Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Kita segera atasi keadaan itu dengan memasang pita pelekat penanda
arah kiblat sebenar bagi mengelak kekeliruan jemaah,” katanya ketika
ditemui di kediamannya di Kampung Paya Ikan, semalam.
Sabtu yang menjadi imam sejak 17 tahun lalu bagaimanapun berkata, ia
kesilapan tidak disengajakan berdasarkan faktor usia masjid itu yang
dibina pada tahun 1940-an.
Terdahulu, masjid warisan itu tidak dirobohkan, sebaliknya akan dinaik
taraf sebahagian bangunan bagi keselesaan lebih 1,000 jemaah.
Sementara itu, salah seorang jemaah masjid tersebut, Abdul Wahab Baba,
55, berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan
pemeriksaan di semua masjid lama di negeri ini.
“Semak semula arah kiblat di masjid lama kerana kita tak mahu sembahyang dengan kiblat tidak betul,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Maim, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, beliau
sudah maklum berkaitan perkara itu dan kesalahan terbabit adalah tidak
disengajakan.
“Mungkin ada silap sedikit dan boleh dibaiki kecuali kita sengajakan,
itu satu kesalahan. Sama juga seperti kita sembahyang di hotel luar
negara yang mungkin boleh tersilap arah kiblat,” katanya yang juga Ketua
Menteri Melaka.
Sementara itu, umat Islam yang pernah menunaikan solat di Masjid Al
Ehsan, Bukit Baru dinasihatkan tidak perlu risau dengan solat mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md
Amin berkata, biarpun kesalahan arah kiblat berlaku, namun hukum
sembahyangnya adalah sah.
Menurutnya, ia tidak menyalahi apa-apa kesalahan kerana yang penting niat untuk menunaikan solat.
“Zaman dahulu, kita tiada teknologi canggih untuk menentukan arah
kiblat tepat dan hasilnya mendapat arah yang tidak terlalu tepat.
“Berbeza sekarang, kita ada alat canggih dengan pelbagai penggunaan sistem yang baru,” katanya.
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....