Nuffnang

BEBAS RASUAH : Inisiatif Baru Sedang Dikaji - Paul Low


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan hari ini mengesyorkan agar syarikat-syarikat yang bebas rasuah dalam bisnes masing-masing diberi pengiktirafan dengan memberi ganjaran atau anugerah.


Low berkata, ia antara beberapa inisiatf yang sedang diteliti oleh kerajaan dalam mewujudkan persekitaran berintegriti.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan bentuk anugerah atau ganjaran yang sesuai dan wajar. Difahamkan perkara itu masih dalam perkara kajian.

Beliau yang bertanggungjawab ke atas portfolio tadbir urus dan integriti berkata, syarikat-syarikat yang mengutamakan aspek bebas rasuah dan budaya berintegriti wajar diberi pengiktirafan yang sewajarnya.

“Kita harus beri ganjaran, anugerah kepada syarikat-syarikat yang amalkan pendekatan bebas rasuah dalam perniagaan mereka.

“Sebagaimana kita ambil tindakan ke atas syarikat-syarikat melakukan kesalahan rasuah, syarikat yang tidak amalkan rasuah dalam menjalankan bisnes, perlu diiktiraf,” kata beliau di Matrade di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Anti-Corruption and Ethics (ACE) Centre iaitu sebuah pusat khidmat nasihat dan rujukan amalan-amalan baik berkaitan pencegahan rasuah, yang berfungsi di bawah penyeliaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Low menyifatkan pelancaran ACE sebagai titik tolak dalam mewujudkan persekitaran bebas rasuah di Malaysia dalam jangka panjang.

Dalam ucapannya beliau juga menyeru sektor swasta agar mengamalkan pendekatan dan cara baru menjalankan bisnes yang mengutamakan amalan baik bagi mengelak rasuah.

“Sudah sampai masanya pihak swasta mempertimbangkan amalan pendekatan baru mengendalikan perniagaan, yang seiring dengan amalan-amalan negara lain,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis pelancaran ACE ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato’ Sri Prof. Ir. Dr. Judin Abdul Karim.

Dalam pada itu, sempena majlis pelancaran ACE hari ini, majlis menandatangani jalinan kerjasama antara Global Infrastructure Anti-Corruption Centre (GIACC) yang berpejabat di United Kingdom dan CIDB Holdings Sdn Bhd, juga berlangsung.

Bagi pihak GIACC, jalinan kerjasama ini ditandatangani oleh Neil Stansbury, Pengarah dan Pengasas Bersama GIACC manakala CIDB Holdings pula diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Abdul Latif Hitam. CIDB Holdings Sdn Bhd adalah subsidiari CIDB Malaysia.

Langkah menandatangani jalinan kerjasama atau alliance ini adalah satu titik tolak dalam usaha meningkatkan keberkesanan usaha mencegah rasuah di Malaysia, yang turut selari dengan pembentukan Pakatan Antirasuah Industri Pembinaan (Anti-Corruption Coalition for the Construction Industry), yang diterajui oleh Kementerian Kerja Raya.

Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top