Nuffnang

BAHAYA!!! Kebocoran Maklumat Kerajaan Oleh Kakitangan Awam!!!


BUKAN sekali penjawat awam terbabit dalam pembocoran rahsia dan dokumen sulit kerajaan. Sebelum ini, dokumen tidak sah berhubung lawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dipercayai dibocorkan pihak tertentu sehingga Ahli Parlimen DAP mempersoalkan lawatan beliau ke Dubai. 

Pembangkang mendakwa ia tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat berikutan tugas rasmi Muhyiddin hanya beberapa jam berbanding masa untuk bermain golf. Namun, Pejabat TPM kemudian menjelaskan, ia bukan jadual sebenar lawatan kerja beliau ke Dubai, sebaliknya draf awal yang belum dimuktamadkan. Minggu lalu, maklumat berhubung kenaikan kadar tol dibocorkan dan ia tersebar di media sosial susulan laporan sebuah portal yang memetik sumber Kabinet. 

Maklumat sensasi dan rahsia begitu mudah disebarkan melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp. Ia mudah dipercayai oleh rakyat sehingga kadang kala memalukan dan menyebabkan kerajaan serba salah. Walhal, perbincangan mengenai perkara itu belum dimuktamadkan. Siasat motif Bagaimanakah maklumat rahsia itu boleh dibocorkan? 

Apakah motif dan agenda pihak berkenaan membocorkannya? Tahukah mereka implikasi terhadap kerajaan dan negara? Tentu ada dalang dalam kalangan penjawat awam di sebalik pembocoran maklumat berkenaan. Mereka ini adalah musuh dalam selimut yang boleh mendedahkan kerajaan kepada pelbagai kemungkinan. Amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar penjawat awam mentaati ikrar perkhidmatan awam dan tidak membocorkan rahsia kerajaan perlu diambil serius oleh semua penjawat awam. 

Penjawat awam bertanggungjawab menjaga rahsia kerajaan mengikut Surat Pekeliling Am dan Arahan Keselamatan Kerajaan. Mengapa kandungan pekeliling dan arahan berkenaan tidak dijelaskan dan ditegaskan semula dalam kalangan penjawat awam oleh ketua mereka, sama ada dalam mesyuarat atau taklimat khas? Mereka sepatutnya sedar kepentingan menjaga kerahsiaan dan betapa seriusnya implikasi tindakan mereka terhadap kementerian, kerajaan dan negara jika ia jatuh ke tangan musuh politik dan musuh negara. 

Tidak ada mana-mana kerajaan, termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, mahu rahsia mereka didedahkan. Golongan ini mengkhianati amanah yang diberi oleh kerajaan untuk melindungi dan menyimpan sebarang maklumat dan rahsia penting. Penjawat awam tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan memberi maklumat kepada pihak tertentu demi keuntungan peribadi atau dengan niat untuk merosakkan imej dan reputasi kerajaan. 

Kesan buruk Bayangkan kesannya jika ada penjawat awam yang memberi maklumat rahsia dan sensitif mengenai tender dan sebagainya kepada syarikat yang bersaing mendapatkan projek tertentu. Tentu ini tidak adil kepada syarikat yang tidak mendapat maklumat itu. Tindakan itu adalah pengkhianatan terhadap jabatan dan negara. Justeru, tindakan disiplin, termasuk turunkan pangkat atau pecat, jika perbuatan itu boleh mengancam keselamatan negara atau menguntungkan pihak musuh, perlu diambil. 

Kerajaan tidak harus berkompromi dengan mereka ini, sebaliknya tindakan paling tegas perlu dikenakan bagi memastikan perbuatan itu tidak berleluasa. Ketua Jabatan dan Pegawai Keselamatan Jabatan perlu mengkaji semula cara penyimpanan dokumen dan rahsia kerajaan. Mereka juga perlu memberi tanggungjawab menyimpan maklumat rahsia kepada penjawat awam yang mempunyai integriti tinggi. 

Penjawat awam perlu sentiasa menjunjung tinggi amanah yang diberi kepada mereka. Peringatan, teguran atau amaran terhadap penjawat awam yang melanggar peraturan dan disiplin perlu diambil, sama ada kerana kecuaian, ketidakpatuhan, dan kelalaian penjawat awam sehingga kebocoran rahsia rasmi kerajaan di agensi masing-masing berlaku. 

Sebenarnya, penjawat awam boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 atau Akta Rahsia Rasmi 1972. Di bawah Seksyen 8 (1), akta terbabit, menjadi kesalahan bagi mereka yang tidak diberi kuasa memiliki atau mengawal mana-mana rahsia rasmi, menyimpannya, menggunakannya, menyampaikannya atau gagal menjaga rahsia tersebut, dengan munasabah. 

Dalang perlu dikenal pasti dan diheret ke muka pengadilan jabatan atau kementerian. Perbuatan mereka itu hanya memudahkan musuh menyerang kerajaan. Justeru, mereka perlu segera menghentikan perbuatan keji dan tidak bertanggungjawab itu.

SUMBER : BERITA HARIAN
Share this article

0 Komen:

Catat Ulasan

APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....

Nuffnang 3

MENARIK

BB Followers

 
Copyright © 2014 Belia Bangkit • All Rights Reserved.
Distributed By Free Blogger Templates | Template Design by BTDesigner • Powered by Blogger
back to top