KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan maut selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh ibunya di Kampung Bukit Besar awal hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu berlaku ketika ibu mangsa Faziah Yusuf, 35, cuba mengalih kedudukan kereta jenis MPV Proton Exora di garaj bagi memudahkan suaminya yang bertugas sebagai guru untuk keluar.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Zamri Shamsuddin berkata ketika mengundurkan kenderaan ibu mangsa tidak menyedari anak bongsunya merangkak keluar dari rumah ke belakang kereta.
"Akibat perlanggaran itu mangsa Muhammad Faqih Mohd Fitri yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini," katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu bapa mangsa Mohd Fitri Ngah, 40, berkata mengalih kenderaan bagi memudahkannya keluar bekerja memang menjadi rutin harian isterinya.
Namun ketika isteri sedang mengundurkan kereta, anaknya itu, bongsu dari enam beradik merangkak keluar ke garaj kereta di hadapan rumah dan mereka hanya menyedari kejadian itu setelah mendengar teriakan dari jirannya.
"Mendengar teriakan itu saya bergegas keluar rumah dan melihat isteri telah memangku anak kami dan bergegas menghantar ke Hospital.
"Biasanya anak saya tidak pernah merangkak keluar rumah namun hari ini dia merangkak sehingga ke garaj kereta," katanya ketika ditemui di rumah mayat HSNZ.
- SUMBER
0 Komen:
Catat Ulasan
APA Kata Anda?
Ada berita dan info menarik di tempat anda? Kongsikan di SINI....